Monday, January 28, 2013

LANGAT 2 AKAN DITERUSKAN DEMI RAKYAT.



Tak ada lagi basa-basi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu menegaskan kerajaan pusat akan meneruskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dalam masa terdekat walaupun tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor.
"Kerajaan pusat kata, lulus tak lulus kita sudah tawar kontrak bina Langat 2...dalam sebulan dua, kita buat juga Langat 2 demi kepentingan rakyat dan bukan Menteri Besar ataupun pakatan pembangkang," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program mesra rakyat 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff, Sabak Bernam hari ini.
Beliau berkata buat masa sekarang bagi menampung permintaan air yang semakin meningkat di kalangan rakyat, beberapa buah loji rawatan air di negeri itu terpaksa meningkatkan tahap pengeluaran sehingga 100 peratus.
Projek Langat 2 dan sistem agihannya mengalami kelewatan sebanyak 40.55 peratus iaitu kira-kira 29 bulan disebabkan keengganan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberikan kelulusan yang diperlukan.
Mengikut perancangan asal, projek yang merupakan sebahagian komponen Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor itu akan dilaksanakan melalui dua fasa melibatkan 23 pakej pembinaan bagi setiap fasa.
Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.
Mengenai usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari empat syarikat konsesi di negeri itu, Muhyiddin berkata kerajaan pusat tidak menghalang usaha itu selagi ianya berlandaskan undang-undang dan peraturan.
"Kerajaan pusat tidak sekat usaha kerajaan negeri ambil alih empat syarikat konsesi ini. Pergilah ambil alih konsesi air dan buat rundingan dengan pihak konsesi ini," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri Selangor ada ikatan dan perjanjian dengan semua syarikat konsesi dan mereka harus selesaikan pengambilalihan secara rundingan atas dasar persetujuan antara pembekal dan pembeli.
"Justeru, kerajaan negeri tidak boleh mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi secara sewenang-wenangnya sebab terikat dengan undang-undang dan akta yang termaktub dalam perjanjian konsesi," katanya.
Empat syarikat konsesi air di Selangor ialah Syarikat Pengeluar Air Berhad, Konsortium Abbas, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Puncak Niaga.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata laporan lengkap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini.
"Kita telahpun mengadakan rundingan meja bulat dan menerima pandangan dari pelbagai pihak untuk pelan ini bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya dan menurutnya pihak kementerian sudah berjumpa seramai 17,000 orang yang menyertai inisiatif itu.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan sebuah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di Sabak Bernam yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan dan menaik taraf PPD.
Beliau juga mengumumkan peruntukan RM3.65 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan di daerah Sabak Bernam iaitu pembinaan 30 unit rumah, sebuah surau di Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff, menaik taraf jalan dan kemudahan asas.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk memulakan lawatan ke daerah ini dengan menghadiri beberapa program mesra rakyat di samping mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Umno Bahagian Sabak Bernam dan Bahagian Sungai Besar.-26/1/2013
AGENDADAILY.

Saturday, January 26, 2013

PENYATUAN UMMAH , DARI BANGSAMORO KE PALESTIN.



KUALA LUMPUR, 23 Jan – Lawatan Kemanusiaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza semalam adalah bukti  menunjukkan perpaduan dan sokongan teguh Malaysia dan rakyatnya terhadap perjuangan Palestin.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Malaysia boleh menghantar bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestian, tetapi beliau melihat lawatan itu sebagai simbol sokongan berterusan yang amat kuat kepada Palestin.
“Hari ini kita bukan sahaja mempunyai juara rakyat bukan sahaja di Malaysia, malah kini kita mempunyai juara umat yang amat prihatin dengan kesusahan dan keperitan hidup rakyat di Palestin.
“Kita nak ucap tahniah juga kerana beliau menjadi Perdana Menteri yang pertama menjejakkan kaki ke bumi Palestin, ini tidak bermakna lima Perdana Menteri yang terdahulu tidak baik, tetapi kesemua mereka juga menjuarai perjuangan rakyat Palestin namun atas sebab-sebab keselamatan, mereka tidak berkesempatan untuk pergi,” ujarnya ketika ditemui selepas program lawatan ke peti-peti undi dalam Parlimen Segambut, sebentar tadi.
Dalam masa yang sama, Ahmad Maslan turut menyelar tindakan pemimpin pembangkang khususnya Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam Wall Street Journal yang menyebut beliau menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.
“Inilah perbezaan pemimpin BN dan pembangkang, inilah yang kita harapkan pemimpin akan terus menjuarai permasalahan umat di dunia Islam yang amat mencabar sekarang ini,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh berkata lawatan Najib adalah yang julung kali dilakukan oleh seorang perdana menteri asing yang bukan dari negara Arab, ke Gaza. Pada lawatan ke Gaza, Najib dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa atas sokongan yang diberi terhadap perjuangan Palestin.
Najib, dalam ucapan penerimaannya, berkata beliau berbesar hati menerima ijazah kehormat itu bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.
Pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor turut dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh universiti berkenaan atas kerja-kerja kebajikan beliau.
Najib berkata komitmen Malaysia boleh dilihat daripada dana dan bekalan perubatan yang disumbangkan pada misi kemanusiaan tahun lepas, dan dalam semangat rakyat Malaysia yang datang membawa sumbangan itu. -MediaUMNO

Wednesday, January 23, 2013

KERAJAAN NEGERI GAGAL BATAL SAMAN.

SHAH ALAM 23 Jan. - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membatalkan saman 2,020 ibu tunggal di sini hari ini.

Keputusan telah dibacakan Hakim Datuk Yaacob Mohamad Sam setelah mendengar hujah dari pihak peguam, Vishal Kumar yang mewakili pihak defenden dan Azyan Alia Yusof bagi pihak pemohon.

Hakim juga memutuskan  perkara itu kerana mendapati plaintif mempunyai asas untuk membuat tuntutan itu.sebagaimana terkandung pada manifesto Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12)  lalu.

Susulan keputusan tersebut, pihak mahkamah mengarahkan pihak defendan memfailkan penyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.

Isu ini mula dibangkitkan pada bulan November tahun lalu menerusi fail saman yang dikumpulkan seramai 2,020 ibu tunggal terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM10.9 Juta ekoran kegagalan menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya dalam manifesto PRU12.

Ianya disusuli dengan demonstrasi sekumpulan ibu tunggal di hadapan bangunan Kerajaan Negeri Selangor bagi tersebut turut menyerahkan memorandum berkaitan tuntutan tersebut kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Rodziah Ismail.

Mereka menamakan kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.
 

KLPOS

Monday, January 14, 2013

KRISIS AIR : AHLI AKADEMIK MEMBIDAS SELANGOR.


SHAH ALAM 12 Jan. - Seorang ahli akademik dan pakar air hari ini mendedahkan tembelang kerajaan Selangor yang hanya menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung krisis bekalan air sedangkan kerajaan negeri gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian konsesi air.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata agak melucukan juga apabila Syabas dituduh sebagai punca krisis air yang kini melanda 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang dan kerajaan negeri mahu menyaman syarikat itu.

Beliau berkata kerajaan Selangor sebenarnya memiliki 30 peratus saham dalam Syabas dan walaupun bukan majoriti, ia pegangan saham yang besar dan malah mempunyai dua pengarah dalam lembaga syarikat berkenaan.

"Sebenarnya Syabas adalah di bawah kendalian kerajaan Selangor tetapi kerajaan negeri seolah-olah cuba menutup bahawa mereka mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

"Seolah-olah mereka cuba menyatakan Syabas ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri.
"Apabila memiliki 30 peratus saham, ini kuasa yang besar dalam perniagaan tetapi kerajaan Selangor seolah-olah tidak nak ambil tahu pun apa yang berlaku dalam Syabas, seolah-olah Syabas adalah entiti yang bukan kena mengena dengan mereka dan ditambah seronoknya cerita, kerajaan negeri nak saman Syabas," kata Dr Zaharuddin.

Beliau berkata tindakan itu samalah seperti menyaman kerajaan Selangor sendiri yang memiliki 30 peratus saham di samping mempunyai dua pengarah dalam Syabas iaitu Noorusa'adah Othman dan Suhaimi Kamaralzaman.

“Kenapa asyik salahkan orang lain? Kenapa tidak dibincangkan semasa mesyuarat lembaga pengarah, menyatakan ini yang tak betul, ini yang perlu dibetulkan," kata beliau.

Dr Zaharuddin berkata kerajaan negeri nyata hanya mahu menjadikan isu air
“mainan politik" semata-mata dan beliau tidak faham apa yang kerajaan Selangor cuba mengaburi rakyat ketika ini. - BERNAMA

Thursday, January 10, 2013

KRISIS AIR SELANGOR MEMUNCAK.



Menuding jari dan meletakkan Syabas sebagai kambing hitam sebenarnya perlakuan kerajaan negeri Selangor dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim, bertujuan jntuk menepis dan mengelak dari dipertangungjawabkan di atas krisis air yang sedang berlaku sekarang ini.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Dato' Sohaimi Shahadan berkata, krisis air sudah lama dijangkakan oleh pakar-pakar air dalam negara yang telah melakukan 'water demand study' semenjak tahun 80an dan 90an lagi dan mengesyorkan beberapa langkah yang perlu kerajaan ambil bagi mengelakkan krisis ini daripada berlaku di Lembah Klang dan antaranya ialah menambah sumber air seperti projek Langat2, Projek Mitigasi 1 dan 2, NRW dan lain-lain kerja penyelerenggaan. Semua kerja-kerja ini memerlukan CAPEX yang besar dalam bentuk pinjaman luar dan dari kerajaam pusat.

"Apabila kerajaan pakatan DAP, PKR dan PAS mengambil alih kerajaan Selangor pada tahun 2008 dan mencadangkan penstrukturan semula industri air di negeri Selangor, telah mengakibatkan pembekuan projek-projek CAPEX ini termasuk projek NRW semenjak Julai 2008 yang mana kerja penukaran atau penyelenggaraan pam air agihan Syabas adalah juga termasuk di dalam kos-kos CAPEX.

Akibatnya kekangan kewangan telah berlaku disebabkan kegagalan mendapatkan sumber kewangan daripada kemudahan-kemudahan kewangan yang telah diatur sebelum ini dan juga sumber kewangan baru disebabkan tindakan pembekuan ini," ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tong-tong air kepada penduduk Flat Pandan Jaya, sebentar tadi di sini.

Tambahnya, semua permasalahan dan krisis ini telah dijangkakan akan berlaku tetapi telah dihalang oleh kerajaan pakatan Selangor dengan pembekuan CAPEX atas asas 'Mala Fide' untuk menghalang penyelewengan, projek kroni dan lain-lain kononnya.

“Dalam masa yang sama, mereka (kerajaan negeri) mencadangkan penstrukturan semula industri air yang mana cadangan itu hanya tinggal cadangan yang tidak praktikal, tanpa merujuk kepada pakar-pakar air sebenar dan cadangan penstrukturan semula hanya berasaskan keputusan politik semata-mata.

Lembah Klang merupakan kawasan yang mempunyai pertumbuhan penduduk dan pembangunan yang tinggi dan cepat peningkatannya dan semua ini telah dijangkakan. Maka perancangan dan unjuran permintaan air bagi memenuhi kehendak-kehendak ini telah diatur dan dilakukan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Amat malang sekali akhirnya rakyat telah menjadi mangsa politik kerajaan Pakatan Selangor tanpa memikirkan akibat dan apabila berlaku krisis sebegini, dengan mudah mereka menuding jari menyalahkan orang lain.

“Bagi menghadapi krisis bekalan air, kita difahamkan keupayaan Syabas adalah terhad kepada kemudahan yang sdiaada. Dianggarkan Syabas hanya boleh memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 10,000 akaun dalam sesuatu keadaan gangguan bekalan air.

Kerajaan negeri perlu bersedia dengan pelan tindakannya bagi menangani krisis air apabila bilangan pengguna terlibat melebihi kapasiti Syabas, bukan hanya berpolitik sepanjang masa dan menuduh orang lain di atas kesalahan dan kesilapannya dari awal,” tambahnya lagi.

SUMBER BLOG SAHABAT GUNUNG

Wednesday, January 9, 2013

KALIMAH ALLAH : RAKYAT WAJIB HORMATI TITAH SULTAN SELANGOR.



SEREMBAN 8 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat khususnya di negeri Selangor wajar menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu.

Menurut beliau, titah dan ketetapan Sultan Selangor itu adalah tepat dan baginda sebagai ketua agama mempunyai hak serta kuasa di peringkat negeri Selangor berhubung perkara tersebut.

"Titah itu juga harus dihormati kerana ada dalam Perlembagaan yang mana bidang agama kuasa terletak di bawah duli Tuanku," kata beliau di Klana Resort, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan lebih 2,000 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin tempatan, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri itu.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sultan Selangor hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta agar kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd. Misri Idris dalam satu kenyataan berkata, berikutan gesaan itu, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa anggota Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertinggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 6 Januari lepas.

Menurutnya, baginda membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.

Dalam perkembangan lain, berhubung penarikan diri pemerhati bebas antarabangsa bagi memantau pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin menjelaskan, keputusan itu adalah hak masing-masing dan tidak wajar dipersoalkan.

"Kalau pihak tertentu tidak berminat dan merasakan sistem pilihan raya ini telus, maka tidak wajar mereka hadir untuk sama-sama memerhatikan perjalanan pilihan raya berkenaan. Itu hak mereka. Kita kena hormat dan kenapa hendak dipertikaikan," ujarnya.

Ditanya persiapan jentera Barisan Nasional (BN), Muhyiddin optimis parti itu mampu mengukuhkan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang termasuk merampas kembali kawasan yang tewas sebelum ini.

"Saya juga ingin mengingatkan, tiada isu yang berbangkit, bermakna kita kena pertahankan situasi sedia ada. Jangan kita menambah atau menokok dengan masalah baharu. Kalau ada pun kita perlu selesaikan segera kerana akan bawa masalah kepada parti.

"Ambil kira tempoh yang mendatang ini iaitu dari tarikh ini sehingga Parlimen dibubarkan yang tinggal beberapa minggu lagi. Walaupun situasi amat baik buat masa ini, apabila sampai pilihan raya kelak, situasi boleh berubah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa gembira dengan persiapan jentera parti negeri itu serta sokongan rakyat yang semakin meningkat.

"Bilangan kerusi untuk kita menang di Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum akan datang adalah lebih baik, begitu juga di peringkat Parlimen.

"Saya nasihatkan mereka terus kukuhkan kedudukan dan perkemas gerak kerja di peringkat bahagian dan kawasan untuk meningkatkan sokongan pengundi daripada orang Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli dan sebagainya.

"Saya mahu hubungan dieratkan di peringkat bahagian," katanya.


Monday, January 7, 2013

BR1M KEKAL JIKA BN TERUS MEMERINTAH.



Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan sahaja akan kekal sekiranya Barisan Nasional menang pilihanraya umum ke 13 tetapi kadarnya mungkin lebih dari RM500 yang diberi sekarang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin memberi bayangan itu ketika berucap di majlis Perhimpunan Rakyat di Padang UPSI Tanjung Malim, Sabtu malam.
" Kalau kita doa BN menang lagi, BRIM tiga, empat, lima dan enam selama-lamanya . . .dengan pendapatan yang baik hasil daripada pungutan cukai kita sampai RM125 bilion melimpah-ruah dalam tabung Perdana Menteri,kita minta naikpun saya fikir dia boleh timbangkan kalau tak banyak sangatpun dia naik pada RM500 kot-kot RM1,000, saya pun tak tahulah,’’ujarnya.
Menurut beliau kemungkinan ini tidak mustahil kerana siapa pernah menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan rakyat BR1M sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bantuan seperti BRIM ini tidak lain tidak bukan adalah usaha kerajaan membantu rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik sekaligus mengurangkan beban perbelanjaan keluarga mereka.
"Kita nak membantu dan membela rakyat bukan setakat dengan kata-kata tapi mesti kita buktikan dengan kita laksanakan,’’ katanya.
Katanya rakyat harus bersyukur kerana ekonomi negara berkembang baik dan tidak bankrap berbanding banyak negara lain seperti Greece, Sepanyol dan Italy yang sudah muflis
Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan tohmahan pembangkang bahawa kerajaaan BN gagal membela nasib rakyat.
Katanya kemakmuran dan keamanan negara membuktikan kerajaan BN berada di landasan yang betul untuk terus menerajui negara.
"Semua telah elok, tersusun dan terancang, mempunyai ekonomi yang baik, tiada pergaduhan, kenapa nak sokong pembangkang?," katanya.
Muhyiddin berkata lebih 55 tahun sejak merdeka, BN telah meletakkan asas penubuhan negara bangsa yang kukuh dan kuat dan yang paling penting ketika ini adalah untuk mengekalkannya.
"Yang paling penting adalah untuk menentukan hala tuju negara dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
"Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan pada tahun 2020 Malaysia akan menjadi negara maju mengikut acuan sendiri," katanya.
Untuk rekod sejak kerajaan melaksanakan BRIM1.0, pembangkang menggunakan macam-macam helah untuk menghasut rakyat konon pemberian itu satu helah membeli undi.
Sebaliknya rakyat diperingkat akar umbi menyambut baik pemberian BRIM 1.0 dan melihatnya sebagai bukti mereka tidak dipinggirkan.
Untuk BRIM 2.0 kira-kira 6 juta orang bakal mendapat durian runtuh mulai  2 Februari ini apabila segala proses pendaftaran dan perbincangan diperingkat tertinggi selesai.
BRIM 1.0  memberi manafaat kepada  4.3 juta orang yang memperoleh RM500 setiap seorang.-6/1/2012- OLEH YUSOF HARUN

Thursday, January 3, 2013

KRISIS AIR : KHALID PUSING CERITA.



SHAH ALAM: Tindakan kerajaan Selangor menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai punca masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang sejak seminggu lalu mendapat reaksi negatif orang ramai.
 
Dalam mesej Twitter kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi laman rasmi negeri Selangor, Media Selangorku, beberapa pembaca meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah gangguan air itu dan bukannya menuding jari mencari kesalahan pihak lain.
 
mnadam mnordin @cepetang
"@Khalid_Ibrahim YB, berhenti tuding jari dan selesaikan masalah ni..susah nak mandi wajib..takkan YB nak tanggung dosa tak boleh solat?~ :p".
 
AH @azizulbinhassim
"@Khalid_Ibrahim mohon isu air ini dapat diselesaikan dengan segera, susahkan kami terutamanya orang tua & kanak2. Terima kasih!".
 
Ayu Zulkifli @Bonita_rosetta
"@Khalid_Ibrahim YB jgn nak tukaq cerita..YB kn nak recycle ayaq?;)".
 
Seorang lagi pembaca pula mempersoalkan tindakan Menteri Besar menyalurkan bantuan bekalan air dari negeri Selangor ke kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
 
@warisbanjar
"MBS s/guna kuasa - air Slgr utk selesai masalah air kwsn dia BTR! Aku x izin guna hak anak slng!".