Saturday, January 28, 2012

PERKENAL KRAFTANGAN CARA E-PASARAN.



Kenyataan saya yang dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini. Berita lanjut sila Klik Di Sini.

KERJASAMA KPTM,KETENGAH TUBUH KOLEJ KE 10.



Kenyataan lengkap saya mengenai cadangan kerjasama penubuhan kolej KPTM yang ke 10 . Selanjutnya boleh Klik Di Sini.

Tuesday, January 24, 2012

KONSEP WASATIYYAH BELA NASIB RAKYAT.

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah KananPerakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA)Kolej Perniagaan (COB)Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

KONSEP wasatiyyah atau kesederhanaan sesuai diamalkan dalam semua kehidupan rakyat Malaysia. Amalan wasatiyyah tidak kira waktu kerana ia boleh membendung aktiviti ekstremis dalam semua perkara.

Ketika dunia dalam keadaan bercelaru dengan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, politik dan ekonomi, konsep wasatiyyah adalah kaedah terbaik mengatasi pelbagai kecelaruan ini. Ramai melihat perbuatan-perbuatan ekstrem telah merosakkan dunia.

Sebagai contoh, pembangunan yang berleluasa tanpa mengira kelestarian alam sekitar menjadikan dunia semakin panas. Ekologi alam sekitar kini tidak mengikut aturan yang sepatutnya. Maka, akibat tangan-tangan manusia yang ekstrem, pelbagai bencana telah berlaku.

Iklim tidak boleh lagi diramal dengan tepat. Dahulu, di Malaysia banjir berlaku pada penghujung tahun, tetapi tidak pada masa sekarang. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa hatta di mana-mana sahaja sekalipun. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, di negara jiran kita, Singapura banjir boleh berlaku di tengah-tengah bandar seperti di Orchard Road.

Bayangkan apa akan terjadi, jika sekiranya, banjir berlaku di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagaimana pernah berlaku banjir di Orchard Road, Singapura sebanyak dua kali?

Akibat aktiviti-aktiviti ekstremis yang merobek muka bumi, menggondol bukit-bukau dan gunung-ganang, mengambil hasil bumi seperti pasir dan balak tanpa satu mekanisme terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar, maka, yakinlah satu hari nanti, akan ada balasan yang setimpal menanti kita. Kelak, putaran ganas ini akan menghimpit kita semua. Atas dasar kecelaruan ini, maka lahirlah pelbagai inisiatif memperbetulkan keadaan, umpamanya penggunaan teknologi hijau.

Langkah sebegini dicetuskan selepas pelbagai kemungkaran dilakukan oleh golongan ekstremis ini. Yang telah menjadikan mereka kaya-raya. Golongan yang dikenali sebagai elitis dunia. Yang tidak mempedulikan apa akan berlaku pada masa akan datang. Sudah tentu, tidak menghiraukan majoriti nasib rakyat. Yang penting, mereka boleh mengkayakan diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Oleh yang demikian, pemberontakan rakyat berlaku di sana-sini. Tahun lalu sahaja ramai pemimpin telah rebah disingkirkan oleh rakyat mereka sendiri. Sebab itulah, para pemimpin tidak boleh sesekali meminggirkan konsep wasatiyyah dalam membela nasib rakyat. Amalan wasatiyyah sangat sesuai untuk menjaga kebajikan rakyat dan memakmurkan negara.

Sebagai contoh, di Malaysia antara isu yang paling menjadi tumpuan rakyat ialah isu ekonomi. Apabila lahirnya idea-idea untuk menjaga kebajikan rakyat seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE), hasilnya sewajarnya dinikmati oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Sekali lagi, ia tidak boleh sesekali meminggirkan nasib rakyat majoriti. Atau hanya memberi manfaat terbesar di kalangan golongan elitis yang mempunyai kuasa, pangkat dan wang ringgit.

Masih ramai rakyat yang menjalani kehidupan serba susah. Masih ramai rakyat tidak mempunyai keperluan asas seperti rumah yang selesa. Mereka ini perlu dibantu bukannya dipinggirkan dengan membina rumah-rumah mewah yang tak mampu dimiliki.

Di Malaysia, umum mengetahui golongan yang paling susah tidak lain tidak bukan, kaum bumiputera. Ramai di antara mereka tidak memiliki rumah. Kalau ada pun, rumah mereka tidak begitu selesa. Maka bantuan disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan seperti nelayan bagi memperbaiki rumah mereka merupakan satu tindakan yang membela nasib rakyat.

Rakyat tidak mahu mendengar idea menukar lot berstatus bumiputera kepada bukan bumiputera dilaksanakan, gara-gara kononnya lot berstatus bumiputera yang gagal dijual dijadikan alasan kerugian besar pemaju hartanah.

Ini menggambarkan betapa ceteknya pemikiran golongan segelintir usahawan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kebajikan dan nasib rakyat. Nampak sangat mereka tidak mempunyai perancangan bagi memastikan kesemua nasib rakyat terjamin. Telah ditetapkan agar kuota bumiputera hanya dijual untuk kaum bumiputera, maka ikutlah polisi tersebut, bukannya polisi yang mengikut kita. Ini satu tindakan yang tidak mengikut konsep wasatiyyah tetapi berpandukan hawa nafsu untuk mengaut keuntungan melampau. Rakyat mengetahui semua ini.

Begitu juga apabila kerajaan memberi tempoh selama tiga bulan untuk mengkaji semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar mengambil kira semua perkara yang ditimbulkan oleh rakyat (pekerja bawahan sektor awam), ini satu lagi tindakan yang membela nasib rakyat keseluruhannya.

Secara umumnya, SBPA satu skim yang baik tetapi apabila ia hanya membela nasib segelintir golongan elitis yang mendapat laba yang lumayan dengan kenaikan gaji yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat bawahan tidak berpuas hati. Bukankah, pelaksanaan SBPA untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat bawahan yang rata-ratanya berpendapatan rendah?

Perkara ini tidak akan membantu jika sekiranya hanya golongan atasan atau elitis yang memperoleh kenaikan gaji terbesar. Ambil kira semua sudut secara wasatiyyah sebelum melaksanakan SBPA. Barulah, situasi menang-menang akan berlaku dan inilah yang sebenarnya disyorkan oleh Islam agar tidak berlaku kecelaruan dalam kehidupan seharian. Yang ini akan menjadikan nasib rakyat terbela dan negara pula akan sentiasa maju dan makmur.

Thursday, January 19, 2012

ANWAR PUNCA PAS GERHANA.


Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata kenyataan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya undang-undang homoseksual di negara ini sebagai lapuk membuktikan secara jelas sikap sebenar Ketua Pembangkang yang amat bercanggah dengan prinsip Islam.
Beliau berkata, ia membuktikan Anwar adalah manusia yang gila kuasa apabila sanggup melakukan apa saja termasuk isu yang berkaitan dengan agama Islam semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipecat daripada parti dan digugurkan daripada EXCO Selangor baru-baru ini, berkata atas dasar itulah beliau tidak boleh bersekongkol dengan Anwar ketika masih bersama PAS, apatah lagi menggadai prinsip perjuangan untuk menegakkan syiar Islam, mempertahankan kedudukan Melayu dan mendaulatkan institusi Raja.
“Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia perlu menolak perjuangan Anwar Ibrahim. Kalau gay, lesbian, homoseksual dan pertukaran jantina hendak dihalalkan di Malaysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah. 


“Pandangan Anwar bukan saja di Mumbai yang disiarkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) World News. Bagi saya itulah pandangan peribadi dan pandangan asasi Anwar. Atas dasar itu saja pun saya tidak boleh bersama dengan perjuangan beliau,” katanya pada persidangan media, di kediamannya di sini, semalam. 


Sehubungan itu, beliau mengulangi pemecatannya daripada PAS bukan akibat mengkritik parti kerana perkara itu sudah diselesaikan, tetapi semata-mata menegur pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menghadapi kes mahkamah bersifat peribadi. 

“Saya hairan bagaimana PAS boleh tunduk dengan tekanan PKR yang meminta saya dipecat. Apakah PAS sudah hilang maruah diri,” katanya. Ketika diwawancara BBC baru-baru ini, Anwar mendakwa undang-undang berkaitan hubungan sejenis atau homoseksual di negara ini sudah lapuk dan harus dikaji semula yang turut mendapat sokongan PAS. 

Hasan juga berkata, tindakan PAS menyokong kenyataan Anwar diibaratkan sebagai ‘bulan yang bakal gerhana’ apabila parti berteraskan perjuangkan Islam itu seolah-olah menyokong kegiatan songsang, termasuk hubungan sejenis. 

Mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menyifatkannya sebagai pemimpin ‘gila kuasa dan gila duit’ yang disiarkan satu laman portal berita, Hasan berkata rakyat boleh menilai siapa sebenarnya gila kuasa. 

“Gila kuasa?.. siapa gila kuasa? Tuan-tuan fikir saya ke Anwar? Saya ada kuasa sebagai Ahli EXCO... cuba bayangkan, ahli EXCO hidupnya selesa separuh mewah... Alhamdulillah, tapi saya sanggup mengorbankan jawatan itu kerana satu idealisme. 

“Bayangkan ada seorang itu sanggup kumpul orang di Sabah dan di Sarawak. Jumpa orang di sana, jumpa orang di sini untuk menawan Putrajaya pada 16 September. Dia gila kuasa atau saya gila kuasa. Bayangkan atas nama gila kuasa, dalam penjara pun akan jadi Perdana Menteri,” katanya. 

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang tidak akan menyertai UMNO dan mendakwa perjuangannya masih lagi bersama PAS walaupun sudah disingkirkan daripada parti berkenaan.

PAS DIMALUKAN DI SELANGOR !


Pas Selangor menerima tamparan hebat apabila bukan sahaja Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman tidak dilantik menjadi Exco kerajaan negeri yang baru malah turut kehilangan portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan itu Jumaat lalu.

Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Melalui satu rombakan kecil pentadbiran negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, beliau kekal menguasai portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri manakala portfolio Belia dan Sukan diserahkan kepada Dr. Ahmad Yunus.

Pengumuman Dr. Ahmad Yunus menggantikan Hasan itu turut mengesahkan laporan Utusan Malaysia mengenai perkara itu sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu langkah yang dilihat sebagai menjaga hubungannya dengan Pas yang mahu Dr. Abdul Rani menggantikan tempat Hasan, Abdul Khalid mengumumkan Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel).

Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dari Pas pula dipilih sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat). Kedua-dua jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Hasan pula masih kekal memegang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ekoran pelantikannya itu berdasarkan kepada watikah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa bagi sesi 2012 hingga 2014.

Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini berkata, pihaknya sendiri telah bercakap dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemilihan Dr. Ahmad Yunus sebagai Exco baru selain mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti tersebut termasuk dengan Dr. Abdul Rani mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pemilihan Dr. Ahmad Yunus dibuat atas pertimbangan kerja dan mempercepatkan proses menyelesaikan pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, langkah tersebut bukannya membelakangkan pandangan Pas yang sebelum ini menyenaraikan Dr. Abdul Rani sebagai calon pilihan parti tersebut untuk menggantikan tempat Hasan.

Malah katanya, pemilihan Dr. Ahmad Yunus dan juga pengagihan jawatan-jawatan membabitkan agensi kerajaan negeri kepada Dr. Abdul Rani dan Dr. Shafie telah direstui oleh kepimpinan Pas sendiri.

''Kita bincang dengan kepimpinan dan mereka yang matang jika rasa keadaan menjamin perubahan kepada negeri dan pakatan (pembangkang), kita kena ubah dan saya diberikan tanggungjawab untuk menentukan.

''Jadi saya rasa pelantikan Dr. Ahmad Yunus mendapat restu daripada kepimpinan Pas dan Dr. Abdul Rani sendiri, maknanya ia bukan satu pelantikan yang tidak mengambil kira pemikiran dan juga pandangan daripada semua pihak dan Tuanku Sultan Selangor juga diberikan latar belakang tentang pemilihan tersebut," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid menjelaskan, langkah beliau mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama dibuat memandangkan anggota pentadbirannya iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Zauyah Be T. Loth Khan adalah ahli MAIS.

''Oleh sebab itu, saya ambil alih (portfolio hal ehwal agama Islam) agar saya dapat pengerusikan mereka (Khusrin dan Zauyah) untuk melihat perkembangan dan pembangunan Islam di negeri ini," katanya yang bukan ahli MAIS.

Ditanya mengenai tumpuannya terhadap portfolio tersebut berbanding Hasan yang sebelum ini bertegas soal arak dan kegiatan gerakan memurtadkan umat Islam, Abdul Khalid berkata, usaha meningkatkan martabat Islam adalah berterusan dan menjadi tugas beliau sebagai individu beragama Islam serta rakan-rakan wakil rakyat lain yang beragama Islam lain tanpa mengira soal parti.

Namun, katanya, perjalanan tugas tersebut perlu dilakukan secara berhemah dan mengambil kira keadaan persekitaran.

''Tujuan kita adalah meningkatkan syariat Islam dan sebab itu ada adab dan cara. Kejayaan Islam berkembang adalah kerana ia mempunyai sistem yang adil kepada semua pihak dan saya akan belajar, sudah tentu akan juga berbincang untuk cara terbaik kita dapat memerintah negeri tetapi tidak hilang panduan dan pandangan mengenai syariah Islam," katanya.

Kepada soalan adakah beliau berasa lebih selesa sekarang tanpa kehadiran Hasan dalam barisan Exco, Abdul Khalid menepis soalan itu dengan menyatakan pihaknya tidak menjawab soalan berbentuk spekulasi.