Friday, September 28, 2012

BAJET 2013 : KENYATAAN MEDIA.



Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini diharapkan meneruskan dasar afirmatif yang beliau telah perkenalkan sejak tiga tahun lepas. Belanjawan itu akan lebih kepada "pengembangan sedikit tetapi lebih berhemat" bagi memastikan perkembangan sosial yang mampan, selain mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah.

Walaupun ada pihak yang akan cenderung melabelkan Belanjawan 2013 sebagai "belanjawan pilihan raya" tetapi harus diingat bahawa usaha memperbaiki kehidupan rakyat telah menjadi seruan lantang Najib sejak memegang jawatan pada April 2009 dan ianya adalah seiring dengan prinsip "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Saya mengharapkan Belanjawan 2013 ini akan dapat menangani kebimbangan para pembayar cukai kelas pertengahan bandar yang pendapatan antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan kerana sebelum ini Belanjawan negara lebih tertumpu kepada kemiskinan luar bandar. Namun begitu, langkah untuk memastikan kesejahteraan komuniti secara keseluruhannya termasuk penduduk luar bandar, wanita, belia, kakitangan awam dan perniagaan haruslah diberikan perhatian yg berterusan agar kesinambungan dasar bagi merancakkan ekonomi domestik, yang telah menyaksikan pertumbuhan yang agak menggalakkan tahun ini berterusan.

Pelaksanaan beberapa projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) turut memberikan banyak rangsangan kepada ekonomi tempatan dan kerajaan juga dijangka memperhebatkan lagi insentif untuk pasaran modal sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kajian semula industri automotif negara juga haruslah diberikan perhatian kerana lebih 500,000 rakyat yang dikaitkan dengan industri itu berhadapan dengan risiko. 

Akhir sekali diharapkan Kerajaan terus kekal komited untuk terus menurunkan defisit fiskal kepada sekitar 4.0 peratus pada 2013 daripada 4.5 peratus pada 2012 dan 3.0 peratus menjelang 2015.

Semoga Belanjawan 2013 ini dapat memberikan manafaat kepada semua golongan masyarakat di Malaysia.

Tahniah Kerajaan Malaysia & Tahniah YAB Dato Seri Najib Tun Razak.

Thursday, September 27, 2012

KRISIS AIR SELANGOR.



Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari ini membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar yang sangat angkuh berkaitan perjanjian pembekalan air dari negeri Pahang.

Pengerusinya, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, kenyataan dan sikap Exco Kerajaan Negeri itu langsung tidak mencerminkan portfolio yang dipegangnya iaitu ‘Kerajaan Prihatin’ kerana lebih mengutamakan politik daripada kepentingan ramai terutama rakyat negeri Selangor.

“Saya turut kesal dengan kenyataan Xavier bahawa Selangor tetap tidak berganjak untuk tidak membenarkan pembianaan Loji Rawatan Air Langat 2 kerana dakwanya bekalan air mentah di negeri ini masih mencukupi.

Xavier dan kerajaan Selangor sengaja tidak mahu memahami bahawa projek Langat 2 perlu disegerakan sebelum berlaku krisis air yang dijangka berlaku pada 2016 yang memberi kesan kepada penduduk di Lembah Klang,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru rakyat Selangor perlu lihat, fahami dan nilai sendiri sikap dan mentaliti wakil rakyat PKR ini yang bodoh sombong serta hanya mementingkan politik kepartian semata-mata. Barangkali mengetahui tidak akan memerintah Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13, kerana itu mereka berdegil untuk tidak melaksanakan projek Langat 2.

Ini adalah strategi kerajaan pakatan pembangkang yang sengaja mahu menyusahkan rakyat dengan menyekat apa juga projek yang mahu dijalankan kerajaan Persekutuan dengan alasan-alasan tidak relevan yang mengelirukan rakyat.

“Dan apabila sesuatu berlaku, mereka (kerajaan negeri) akan segera menuding jari menyalahkan kerajaan Pusat, sekaligus mendapat mileage politik daripada isu yang sengaja ditimbulkan oleh mereka sendiri.

Justeru rakyat juga dinasihatkan agar melihat isu ini dengan fakta yang tepat, bukan sekadar mendengar omong kosong oleh pemimpin yang mempunyai agenda politik dan sarat dengan agenda terselindung.

Malah kenyataan Xavier juga mengelirukan apabila beliau mengatakan bekalan air mentah di Selangor mencukupi sedangkan sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu ‘mengimport’ air mentah dari Tasik Kenyir yang didakwanya lebih murah,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Namun kos memasang saluran paip sahaja sejauh 500 kilometer melalui rizab saluran gas dari tasiki Kenyir ke Langat dianggarkan RM11.3 bilion, tidak termasuk kos pam dan operasi sedangkan kos projek Langat 2 termasuk loji rawatannya hanya RM6.2 bilion!

“Kalau Xavier tidak tahu mengira atau membezakan angka mana yang lebih besar dan merugikan, saya boleh bantu mengajar ilmu matematik yang paling mudah!

Saya mencabar Xavier untuk berdebat isu air, biar rakyat menilai yang mana benar dan mana yang auta. Kalau tidak faham, Xavier boleh belajar dengan pihak yang lebih arif, boleh memberi kenyataan dangkal yang boleh memeningkan kepala rakyat.

Hal-hal yang berkaitan rakyat tidak usahlah dipolitikkan kerana kelak rakyat yang menanggung derita. Projek Langat 2 tidak boleh disiapkan semalaman apabila krisis air melanda kelak. Malah kerana kedegilan dan keangkuhan kerajaan negeri, kelewatan untuk menyiapkan Langat 2 boleh menyebabkan kosnya melonjak sehingga 70 peratus,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, GPRS mahu rakyat menolak kerajaan negeri yang mementingkan diri sendiri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Wednesday, September 19, 2012

MANIFESTO : KERAJAAN NEGERI DI SAMAN LAGI.

Seramai 2,020  pengguna air hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi RM1.15 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor kerana tidak menikmati air percuma seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 Pakatan Rakyat (PR) empat tahun lalu.

Selain kerajaan Selangor, plaintif yang terdiri daripada penduduk kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya, turut menamakan Menteri Besar Tan Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mereka memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada jam 9.45  pagi menerusi peguam Kamarudin Ahmad.

Kamarudin ketika ditemui pemberita selepas memfailkan tuntutan itu berkata, saman akan diserahkan kepada semua defendan dalam tempoh seminggu.

Ini merupakan kumpulan kedua pengguna di Selangor mengambil tindakan perundangan dalam isu air percuma.

Kamarudin dipetik berkata, saman akan diserahkan kepada semua defendan dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata, tuntutan itu membabitkan kumpulan kedua pengguna air meter pukal selepas kumpulan pertama membabitkan 711 pengguna air dari kawasan Shah Alam memfailkan tuntutan hampir RM500,000 pada 11 September lepas.

"Saman ini adalah usaha terakhir plaintif bagi mendapatkan keadilan dan pembelaan dari sistem kehakiman negara memandangkan kerajaan negeri Selangor telah membuat keputusan untuk tidak melayan tuntutan hak Skim Air Percuma daripada pengguna meter pukal domestik dalam negeri Selangor," katanya.

Dalam penyata tuntutan, kesemua 2,020 pengguna air itu mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.

Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas layak menerima subsidi
RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal, lapor Bernama.

Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya kerajaan negeri Selangor memulakan skim air percuma tersebut pada 1 Jun 2008.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma tersebut dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh Syabas.

Plaintif mendakwa Abdul Khalid melalui kenyataan akhbar 30 Ogos lalu berkata bahawa pengguna air yang masih memakai meter pukal tidak layak menikmati skim subsidi air percuma itu.

Plaintif mendakwa Syabas seharusnya menukar meter mereka memandangkan kerajaan Selangor mengarahkan Syabas membuat penukaran meter individu kepada mereka sejak 2007 tetapi gagal berbuat demikian.

Mereka mendakwa dengan kegagalan itu mereka tidak seharusnya dipersalahkan selain dinafikan pula hak menikmati subsidi air percuma serta menanggung kerugian.

Plaintif menuntut ganti rugi RM1.15 juta daripada kerajaan negeri dan/atau Syabas atau secara alternatif dibayar ganti rugi sejumlah potongan 20 meter padu air yang mereka bayar setakat ini dari Jun 2008 sehingga Ogos 2012.

Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan kerajaan Selangor merangkumi semua pengguna air di negeri ini tanpa mengira sama ada pengguna meter pukal atau individu selain perintah injunksi mandatori supaya Syabas mengeluarkan bil air dengan rebat atau potongan yang dijanjikan kepada plaintif.

DOLAK DALIK MB SELANGOR.



Gerakan Prihatin Rakyat Selangor melihat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hanya berdolak-dalik dalam menangani isu tuntutan air percuma ini.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, apa yang dituntut oleh penduduk dan rakyat Selangor ini sangat jelas, air percuma diberikan serta merta dan dibayar tunggakan bermula dari tahun 2008 hingga ke hari ini kepada mereka yang belum menerima air percuma ini.

“Jadi Menteri Besar tak perlu berdolak dalik, kalau inilah kerja MB, sedia disaman dan kerajaan negeri sedia untuk berhadapan dengan saman penduduk, ini sebenarnya bukan penyelesaian. Kita nampak ini bukanlah satu tindakan yang tidak bijak dan Exco-exconya pun berdolak dalik serta tidak ada satu langkah atau usaha yang dibuat oleh Menteri Besar sebagai respon terhadap apa yang dibuat dan disuarakan oleh penduduk.

Selepas ini, dengan respon dan maklum balas yang diterima, saya yakin lebih banyak penduduk yang akan menfailkan saman-saman terhadap MB dan kerajaan negeri Selangor kerana mereka (MB dan kerajaan negeri) yang memulakan provokasi kepada penduduk-penduduk yang tidak mendapat air percuma. Kita bercabap hanya untuk mereka yang belum dapat air percuma, yang menuntut ini ialah mereka yang bukan sahaja tidak mendapat malah belum merasa air percuma, dalam nilai duit ataupun air itu sendiri,” ujarnya kepada pemberita selepas bersama-sama dengan sebahagian penduduk yang menfailkan saman di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 2,020 pengguna air dari kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM1.1 juta terhadap kerajaan negeri Selangor atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma.

Selain kerajaan negeri sebagai defendan pertama, plaintif, Kamarulazman Kamarudin yang mewakili 2,019 pengguna air lain turut menamakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mereka memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.45 pagi ini melalui Tetuan Kamarudin & Partners. 

GPRS