Wednesday, August 31, 2011

SALAM KEMERDEKAAN !


Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

Merdeka, Merdeka , Merdeka.

1. Alhamdulillah bersyukur kita di atas nikmat kurniaan Ilahi apabila sekali lagi kita diberi peluang untuk menyambut lalu meraikan hari ulangtahun kemerdekaan ke 54 negara.

2. Namun di dalam menelusuri arus pendewasaan kemerdekaan, masyarakat kita kerap kali diuji dengan pelbagai cabaran mendatang. 

3.Hari ini  pendewasaan kemerdekaan kita tidak lagi berhadapan dengan proses tumpah darah mahupun mengangkat senjata, sebaliknya rakyat malaysia diuji dengan pelbagai ide halus anasir propaganda yang sengaja cuba mencetuskan resah rakyat terhadap makna kemerdekaaan.

4. Pengertian dan sejarah kemerdekaan cuba dirosak racun dengan cucukan pelbagai dakyah sempit dan fakta songsang pensejarahan.

5.Pengertian semangat dalam sejarah ke arah kemerdekaan,proses kemerdekaan, institusi dan individu sebelum dan pasca merdeka hatta perlembagaan yang wujud selepas kita mencapai kemerdekaan cuba disongsang kan fakta demi meraih populariti politik.

6. Hak dan fakta sebenar kemerdekaan digodak. Isinya dimanipulasi, jalinan kesan hasil kemerdekaan dikocak hanya kerana mahu menyempitkan pemikiran rakyat akan makna roh kemerdekaan.

7. Kita wajib pertahankan erti dan fakta kemerdekaan yang sudah tersedia termaktub sejarah pembinaan sebuah negara bangsa. 

8.Ya memang benar di dalam menelusuri arus kematangan demokrasi yang mengizinkan kita punyai pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat, namun ia sama sekali tidak mengizinkan kita untuk lupa pada persetujuan asas semangat negara bangsa. Asas kenegaraan 54 tahun ini jangan sama sekali kita lupakan.

9. Bangkitlah kita wahai anak malaysia, raikan kemerdekaan ini dengan jiwa dan roh anak merdeka. Pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu harus dijadikan asas kekuatan roh kita dan ia wajib dipasakkan pula dengan pengertian yang cukup luar biasa 5 prinsip rukunegara.

Salam Kemerdekaan Ke 54 Negara Tercinta.

Monday, August 29, 2011

SALAM AIDILFITRI DARI SAYA DAN KELUARGA.


Allah Maha Besar,
Allah Maha Agung,
Allah Maha Segalanya.
Allahu Akbar, Wa Lillaahil Hamd.

Hari Raya adalah Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan,
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?

Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang mencipta duka.

Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya. 31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Itulah Hari Kemerdekaan Negara.

Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.

Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.

Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.

Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?

Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?

Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.

Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.

Penjajah Pertama adalah Syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.

“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.

Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.

Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?

Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.

Penjajah Kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]

Itulah sebesar-besar penjajah.

Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.

Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?

Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?

Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?

Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.

Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.

Pelajaran Ramadhan adalah untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?

Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.

Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah. Itulah AIDIL FITRI

Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam dan budaya kita, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.

Marilah sama-sama kita memohon kemaafan sesama kita agar ikatan silaturrahim  dapat dipertingkatkan, jalinan ukhwah terus diperkukuhkan.

Salam Kemaafan
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Dengan ingatan tulus Ikhlas daripada:
DATO SOHAIMI SHAHADAN
& DATIN RABIATUL ADAWIAH serta keluarga

Saturday, August 27, 2011

JURANG GAJI SISWAZAH MELAYU : SATU BADAN KHAS PERLU DITUBUH.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Saya telah mengeluarkan kenyataan agar perlunya satu badan khas ditubuhkan oleh kerajaan dalam menangani isu jurang perbezaan gaji di antara siswazah melayu dan bukan melayu.

2.Malahan satu bentuk kerjasama antara syarikat swasta dan badan khas tersebut dijangka boleh membantu menyelesaikan isu perbezaan gaji yang diterima oleh siswazah yang terlibat.

3. Untuk membaca penuh kenyataan saya yang disiarkan oleh BERNAMA, anda boleh KLIK DI SINI.

Friday, August 26, 2011

FOTO MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA MEDIA.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

Terima Kasih saya ucapkan kepada rakan saya, bloger mahaguru58 di atas kesudiannya menyiarkan artikel/foto mengenai majlis berbuka puasa pihak kami bersama media yang dianjurkan semalam.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut,anda boleh KLIK DI SINI.


Thursday, August 25, 2011

ISU MAJLIS SYURA :KENYATAAN AKHBAR DARI PEJABAT DYMM SULTAN SELANGOR.


Kenyataan akhbar Penubuhan Majlis Penasihat Syura

ADALAH saya dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor merujuk kepada kenyataan yang terdapat dalam media cetak, media elektronik dan media alternatif pada hari ini 23 Ogos 2011 berhubung dengan Penubuhan Majlis Penasihat Syura oleh Kerajaan Negeri Selangor.

D.Y.M.M. Sultan Selangor amat terkejut dan menitahkan kepada saya membuat penjelasan tentang pendirian Baginda mengenai isu kenyataan tersebut, yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah sama sekali tidak benar.

Apa yang berlaku ialah Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato' Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos 2011 yang lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor.

D.Y.M.M. Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor memanggil pihak gereja bersama-sama dengan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor, tetapi Baginda menasihatkan supaya Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor menjemput sekali Sahibus Samahah Timbalan Mufti Selangor untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

Oleh yang demikian, isu tentang D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah tidak benar. Pendirian D.Y.M.M. Sultan Selangor berkaitan dengan Majlis Penasihat Syura ataupun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana Negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dato' Haji Mohamad Munir Bani
Dato' Lela Bakti Setiausaha Sulit
kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor