Monday, March 4, 2013

MANA JANJI PAKATAN SELANGOR ?



KUALA LUMPUR 2 Mac - Kerajaan negeri Selangor jelas telah menipu rakyat kerana sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 untuk memberikan elaun khas kepada ibu yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sikap yang ditunjukkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut membuktikan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politik.

Beliau berkata, kebanyakan janji tidak dapat dilaksanakan, malah tergamak mengatakan manifesto pilihan raya bukan janji untuk ditunaikan.

"Rakyat memilih mereka kerana yakin kerajaan negeri akan menunaikan janji tetapi setelah mentadbir hampir lima tahun ini, hak rakyat diketepikan dan tidak pernah menerima elaun yang dijanjikan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai demonstrasi aman menuntut elaun khas bagi suri rumah di sini hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini menjanjikan elaun RM50 sebulan akan diberikan kepada suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka melalui perihal sosial dan kebajikan rakyat.

Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi di hadapan Dataran Bandar Baru Selayang tersebut turut dihadiri Presiden Penyatuan Suri-Suri Rumah Negeri Selangor, Datin Reny Rahyu Mohd. Ishak.

Dalam perkembangan sama, Sohaimi menegaskan, mereka memberikan tempoh selama seminggu kepada Abdul Khalid untuk menunaikan janjinya atau seluruh suri rumah di Selangor akan membawa isu itu ke mahkamah.

"Kami akan membantu suri rumah berkenaan mendapatkan bantuan guaman dan memfailkan saman kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri atas kegagalan mereka menunaikan janji," ujarnya.
Sementara itu, menurut Datin Reny Rahyu, kegagalan kerajaan negeri Selangor menunaikan janji terserlah apabila mereka gagal mengagihkan elaun tersebut kepada golongan suri rumah.

"Kami akan bergerak ke Kota Raja, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Gombak bagi memberi kesedaran kepada suri rumah tentang hak yang masih belum dituntut,'' jelasnya.

Beliau turut mendesak kerajaan negeri Selangor menunaikan janji-janji terdahulu sebelum mengemukakan janji baharu dalam manifesto PRU-13 melalui caruman wanita Malaysia.

No comments:

Post a Comment