Thursday, June 28, 2012

RAFIZI DICABAR PULANGKAN SEMULA WANG RAKYAT. GPRS



Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari ini mencabar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memulangkan semula wang rakyat yang digunakan untuk membayar gajinya sepanjang bertugas sebagai Ketua Eksekutif  di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Rafizi perlu rasa berdosa kerana menggunakan wang rakyat tetapi gagal berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi ekonomi negeri Selangor kerana lebih gemar berpolitik.

 “Rafizi tidak perlu putar belit kenyataan. Beliau letak jawatan kerana mahu tumpu pilihan raya, bukan kerana ikhlas mahu melepaskan jawatan itu. Jika memang duit rakyat, saya cabar Rafizi pulangkan kembali elaun diterima sepanjang menjawat jawatan berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online  mengulas kenyataan Rafizi yang melepaskan jawatan ketua eksekutif kerana tidak selesa menerima gaji daripada tabung rakyat apabila tumpuannya cenderung kepada aktiviti politik.

Sohaimi berkata, Rafizi dilihat gagal dalam meningkatkan ekonomi negeri Selangor sejak menyandang jawatan berkenaan pada tahun 2009.
“Beliau juga sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana kegagalannya itu,” katanya.

Rafizi menyandang jawatan berkenaan sejak 2009.

Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor diterajui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Monday, June 25, 2012

PERDANA MENTERI MENGHARGAI KARYA KARTUNIS TEMPATAN.

YAYASAN KARTUNIS 1MALAYSIA DITUBUHKAN.



Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Kartunis Sepanjang Hayat kepada kartunis, Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat pada majlis ramah mesra bersama kartunis di Pasar Budaya, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Sohaimi Shahadan (kiri) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (dua, kanan).
KUALA LUMPUR 24 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Yayasan Kartunis 1Malaysia bagi memajukan industri kartun dan animasi tempatan selain kebajikan para penggiat bidang berkenaan.

Perdana Menteri berkata, yayasan itu juga bertujuan menghargai peranan, sumbangan serta jasa para kartunis dalam membantu membangunkan perpaduan masyarakat melalui karya masing-masing.

Beliau turut mengumumkan peruntukan dana permulaan RM300,000 kepada yayasan itu yang disampaikan melalui Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Katanya, para kartunis yang kebanyakannya kini telah mengubah wacana mereka kepada bidang animasi, berperanan penting dalam pembinaan negara bangsa dengan menerapkan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Tentu sekali bila saya ungkapkan Gagasan 1Malaysia, saya mahu para kartunis dapat menerapkan mesej 1Malaysia dan agenda transformasi negara di dalam karya mereka," katanya.

Beliau berucap pada Pameran Kartun dan Animasi 1Malaysia 2012 yang julung kali diadakan di pekarangan Pasar Seni, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Acara anjuran bersama Konsortium Cartoonist At Work (CAW) dan KP1M itu direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Perhimpunan Terbesar Kartunis di negara ini, dengan mengumpulkan 356 orang penggiat bidang berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyampaikan pelbagai hadiah sempena pameran dua hari berkenaan, termasuk 11 anugerah dalam bidang tersebut.

Kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, yang dikenali melalui karya The Kampung Boy dianugerahkan Kartunis Sepanjang Zaman.

Turut menerima anugerah ialah 10 lagi kartunis dan animator termasuk Mior Sariman Mior Hassan bagi kategori Pencetus Revolusi Kartun; Jaafar Taib (Kartunis Dedikasi); Hassan Abd. Muthalib (Bapa Animasi Malaysia); Tan Sri Lim Kok Wing (Karyawan Inovatif) dan Reggie Lee (Kartunis Masyarakat Malaysia).

Thursday, June 21, 2012

KEMELUT KERAJAAN SELANGOR MERUNCING.



Kuala Lumpur, 21 Jun – Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Shohaimi Shahadan melihat perlekatakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Pegawai Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor hari ini membuktikan jelas pergolakan dan krisis dalaman yang semakin teruk dalam kepimpinan kerajaan negeri Selangor.

Menurut beliau itulah realitinya PKR yang bukannya bertunjangkan perjuangan rakyat tetapi untuk mengejar jawatan masing-masing.

“Apakah ini ada kaitan dengan Azmin…Biarlah mereka yang mengulas panjang lebar krisis terbaru itu. Dan apakah ini juga mempunyai kaitan dengan krisis yang melibatkan antara Azmin dan Khalid serta Faekah Husin.

“Saya tidak mahu mencampuri urusan dalaman mereka namun kepada rakyat amat jelas hari ini pergolakan kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR semakin kronik dan seolah-olah hilang hala tuju.

“Ini adalah bukti pergolakan dan krisis balas dendam yang berlaku dalam kepimpinan kerajaan negeri, mereka terlalu berpolitik hingga mengabaikan tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Selangor,“ katanya.

Terdahulu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Perkara itu turut dimaklumkan dalam twiternya sebentar tadi.

Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor diterajui Ketua Umum PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai penasihat. Rafizi pula menyandang jawatan Ketua Eksekutif di pejabat itu sejak 2009 lalu.

Dalam tulisan lanjut di twiternya, beliau berkata belum membuat sebarang perancangan namun mahukan rehat dan menumpukan kepada ibadah sempena bulan Ramahan ini.

Tegas beliau lagi PKR sebagai sebuah parti yang tidak pernah terlepas daripada apa jua dakwaan melibatkan masalah pemimpinnya meskipun sering menyalahkan pihak lain khususnya parti lawan mereka dengan ungkapan fitnah dan konspirasi.

“Isu seks, salahguna kuasa sehinggalah yang paling terbaru pemimpin tertinggi parti itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion susulan daripada akuan berkanun bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid sebelum ini.

“Begitu juga dengan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR yang turut didakwa bersama isterinya,Shamsidar Taharin memiliki aset dipercayai bernilai lebih RM30 juta sepanjang 1992 hingga 1994.

“Semua dakwaan itu dilihat lebih menjurus kepada peribadi individu dalam parti pembangkang itu. Namun,di peringkat kerajaan negeri di bawah pimpinan PKR, Pas dan DAP di Selangor ini lain pula keadaannya apabila dikatakan menjalankan tadbir urus kononnya untuk manfaat seluruh rakyat tetapi hakikatnya, pentadbiran mereka penuh dengan kecelaruan sehingga menyusahkan rakyat,” ujarnya.

GPRS

Friday, June 8, 2012

PENDIDIKAN PERCUMA, PELUANG PAKATAN UNTUK BUKTIKAN.



Ini merupakan peluang terbaik untuk kerajaan negeri Selangor membuktikan kepada rakyat bahawa PKR mampu memberikan pendidikan percuma. Sepatutnya kerajaan negeri berterima kasih kepada PTPTN kerana kenyataan Menteri Besar, dia tunggu nak Putrajaya baru nak melaksanakan pendidikan percuma ini, ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

“100 hari selepas ke Putrajaya, baru laksanakan pendidikan percuma. Itu untuk seluruh Negara, sekarang ini kita nak tengok kerajaan negeri yang kewangannya sungguh banyak, ada RM600 juta untuk ekonomi yang dipanggil program Merangkatkan Ekonomi Selangor (MES), kalau betul mereka (PKR) mampu memberikan pendidikan percuma, sepatutnya inilah peluang yang terbaik untuk mereka buktikannya.

Ini kerana Unisel kepunyaan kerajaan negeri. Jadi, dia boleh bagi percuma, tak payah bayar yuran dan sebagainya. Saya yakin, jika kerajaan negeri istihar mereka tak mampu memberikan pendidikan percuma, pihak PTPTN pasti akan memberikan semula pinjaman kepada para pelajar di Unisel,” ujarnya kepada media selepas pelancaran program Pelancaran Projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (Puncak) Peringkat Parlimen Gombak oleh Timbalan Perdana Menteri petang tadi di sini.

Tambahnya, inilah peluang kerajaan negeri melaksanakan janji pengajian percuma, jika tak boleh buat mereka (kerajaan negeri) kena declare mereka tidak akan mampu memberikan pendidikan percuma dan apa yang mereka laung-laungkan kepada rakyat dan golongan mahasiswa selama ini semuanya tipu, pembohongan politik untuk memancing undi.

“Saya cabar menteri besar, beritahu adakah Unisel ini untung atau rugi. Kalau nak mentadbir Unisel pun tak mampu, macammana mereka kata nak bagi pendidikan percuma?,” tambahnya.

Wednesday, June 6, 2012

SOALAN : APA JASA NIK AZIZ DALAM MENYATUKAN UMAT ISLAM ?

TAHNIAH KEPADA PENGGERAK KONVENSYEN MEDIA SOSIAL SELANGOR.





Tahniah saya ucapkan kepada penganjur dan petugas yang komited.

Saya difahamkan setakat ini Konvensyen Media Sosial ini telah menjelajah hampir 8 buah negeri.

Ini adalah usaha yang cukup penting dalam kita melakukan proses penyampaian maklumat dengan kaedah baru dan pelbagai.

Syabas sekali lagi saya ucapkan rakan sekalian. 
Lagi foto sila Klik Di Sini.

Friday, June 1, 2012

MALAYSIA DALAM LANDASAN TERBAIK.



KUALA LUMPUR: Transformasi ekonomi Malaysia semakin diiktiraf global dengan ekonomi negara sekarang berada di kedudukan ke-14 paling kompetitif di dunia, mengatasi beberapa negara maju. 

Menurut Institute for Management Development(IMD) yang berpangkalan di Switzerland, Malaysia memperoleh markah tinggi berbanding Australia, United Kingdom, Korea Selatan, China dan Jepun.

"Malaysia mengukuhkan keseluruhan daya saingnya dengan meningkat daripada kedudukan ke-16 tahun lalu," menurut IMD dalam satu kaji selidik 59 negara yang mengukur sejauh mana negara dunia menguruskan ekonomi dan sumber manusia untuk meningkatkan kemajuan.

Ranking ini menempatkan Malaysia di hadapan negara seperti Australia (ke-15), United Kingdom (ke-18), Korea (ke-22), China (ke-23), Jepun (ke-27), Perancis (ke-29), Thailand (ke-30), Indonesia (ke-42) dan Filipina (ke-43). 

Menurut rangking IMD, 15 ekonomi paling kompetitif di dunia ialah Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Sweden, Kanada, Taiwan, Norway, Jerman, Qatar, Belanda, Luxembourg, Denmark, Malaysia dan Australia.

Di kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kurang daripada AS$20,000, Malaysia mengekalkan kedudukan keduanya di kalangan 29 negara mengatasi China, Chile dan Thailand. 

Di kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia naik satu tangga ke kedudukan keempat selepas Hong Kong, Singapura dan Taiwan. 
Menurut IMD, rangking daya saing "semua ekonomi Asia merosot selain Hong Kong (1), Malaysia (14) dan Korea (22)."

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam satu kenyataan, berkata penambahbaikan keseluruhan rangking Malaysia dalam kaji selidik IMD itu mencerminkan kesan daripada langkah yang diambil kerajaan untuk menambah baik daya saing ekonomi. 

"Langkah yang pelbagai ini termasuk menambah baik penyediaan dan kecekapan perkhidmatan awam dan meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawapan," katanya. 

Mustapa berkata, daya saing dipertingkat Malaysia itu adalah hasil daripada inisiatif berani dan inovatif yang diambil kerajaan tahun lepas bagi memacu pembangunan, pertumbuhan dan mewujudkan sektor swasta berdaya tahan. 

Kaji selidik IMD itu menilai negara mengikut prestasi ekonomi; kecekapan kerajaan; kecekapan perniagaan; dan prasarana. 

Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam kategori kecekapan perniagaan iaitu kedudukan ke-6 daripada ke-14 tahun lalu, dan kategori kecekapan kerajaan iaitu ke-13 daripada ke-17. 

Peningkatan rangking dicatatkan dalam subkategori kecekapan dan produktiviti perniagaan, kewangan, peraturan perniagaan dan rangka kerja institusi sosial. 

Dalam kategori prestasi ekonomi, walaupun Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam 10 rangking utama, namun ia jatuh tiga mata daripada tangga ketujuh tahun lalu. 

Ini disebabkan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan dan kebimbangan akan peningkatan harga. 

Dalam kategori prasarana, rangking Malaysia naik sedikit ke kedudukan ke-26 daripada 27. 

Bahagian yang diberi perhatian ialah kesihatan dan alam sekitar, pendidikan dan prasarana saintifik. 

"Kami menyedari bahawa terdapat bahagian di mana kami masih boleh menambah baik daya saing kami. 

"Perhatian khusus akan diberi bagi menangani bahagian kebimbangan ini. Objektif keseluruhan kami masih sama: untuk mencapai rangking 10 terbaik dalam tempoh terdekat ini," katanya. - BERNAMA