Saturday, July 28, 2012

ISU TALAM :KENYATAAN MEDIA DATO' SRI IR MOHD ZIN MOHAMED.


Kenyataan Media Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed mengenai isu TALAM

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,
1.                  Isu pengambilalihan hutang TALAM dilihat cuba diketepikan oleh pihak Kerajaan Negeri pimpinan Khalid Ibrahim. Beliau masih lagi berdolak dalih mengenai isu ini dan sejak kenyataan saya yang terakhir, tiada pihak yang tampil memberikan jawapan yang benar-benar meyakinkan semua pihak.
2.                  Sekarang ini pula, beberapa NGO telah mengemukakan persoalan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengenai proses pengambilalihan hutang TALAM yang bernilai RM392 juta itu. Jumlah ini begitu tinggi untuk ditanggung oleh PKNS dan Pengurus Besar PKNS, En Othman Omar wajar memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat Selangor.
3.                  En Othman Omar perlu memberikan penjelasan sebab utama mengapa PKNS sanggup mengambilalih hutang TALAM? Padahal, semua pihak tahu PKNS diwujudkan pada asalnya bagi membantu golongan tidak mampu untuk memiliki rumah dan hartanah. Adakah agenda asal PKNS ini telah dipadam oleh pihak Kerajaan Negeri? Bukankan Kerajaan Negeri pernah berjanji akan menyediakan rumah mampu milik kepada Rakyat Selangor? Banyak manakah rumah yang telah disediakan?
4.                  Kenapa pula sekarang PKNS menjadi satu badan yang berperanan mengambil alih hutang Syarikat Korporat dan mengabaikan kebajikan rakyat Selangot yang masih lagi belum mampu?
5.                  Saya juga ingin menuntut penjelasan dari pihak En Othman Omar mengenai peranan terbaru PKNS ini?
6.                  Jika ini merupakan satu peranan baru PKNS, saya berpendapat juga adalah wajar untuk PKNS mengambil alih hutang-hutang individu kurang mampu yang masih berhutang dengan PKNS. Ini merupakan langkah yang lebih adil memandangkan PKNS sanggup mengambil alih hutang bernilai jutaan ringgit.
7.                  Saya memohon agar rakyat Selangor dapat menilai dengan objektif sikap Kerajaan Negeri yang tidak mengamalkan prinsip accountability yang dilaungkan oleh mereka sendiri. Kenapa bersikap ‘double standard’ terhadap hutang kepada PKNS? Akhirnya, siapa sebenarnya yang memutuskan untuk mengambil alih hutang TALAM ini?
Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor

Thursday, July 26, 2012

MERAIKAN PENIAGA GOLONGAN OKU.



Peniaga di kalangan golongan orang kelainan upaya (OKU) digesa membabitkan diri secara aktif di dalam persatuan supaya pelbagai aktiviti dapat dirancang untuk mereka selain meningkatkan sumber pendapatan menerusi peluang yang terhasil.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ia secara tidak langsung dapat menghindarkan mereka daripada terus berasa rendah diri dengan kekurangan yang dimiliki sebaliknya memberi tumpuan kepada kegiatan diusahakan demi mengubah taraf kehidupan masing-masing.

“Pada masa ini rekod menunjukkan golongan OKU masih kurang menyertai apa juga persatuan terutama yang khusus kepada mereka menyebabkan sering terpinggir daripada arus semasa. Peluasan skop kemahiran kendiri perlu dilakukan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan perniagaan yang bermanfaat kepada mereka serta keluarga.

“Kita lihat, mereka masih lagi bersikap rendah diri sedangkan mempunyai kelebihan deria istimewa berbanding manusia normal. Jika ia digilap, pasti akan membuahkan hasil yang lebih baik seperti penubuhan koperasi OKU dan sebagainya,” katanya pada majlis Nur Ramadan bersama Persatuan Peniaga-Peniaga Cacat Selangor yang turut dihadiri penaungnya, Abdul Malik Abdullah serta 50 peniaga OKU sekitar Selangor, di sini, malam tadi.

Beliau yakin kumpulan ini mampu melakukan lebih baik daripada apa yang ada sekarang kerana ramai yang sudah berjaya. Cuma jika digilap sedikit dan diketahui masalah mereka secara lebih tepat, mungkin ia dapat diselesaikan.

“Kita akan membantu memberikan motivasi serta bertukar-tukar pandangan dengan peniaga terbabit sebagai usaha membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan hidup serta meneroka dimensi baru perniagaan.

Saya sarankan kerajaan memberi insentif kepada mereka untuk membantu bersaing secara sihat. Jadi kita mahu mereka buktikan yang mereka tidak pernah mengalah walaupun serba kekurangan,” katanya.





SUMBER BLOGER SAHABAT GUNUNG.

Monday, July 23, 2012

JK KHAS KABINET MENOLAK CADANGAN SELANGOR.


Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor hari ini menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu berkata soal pengambilalihan Syabas tidak boleh dilakukan kerana kerajaan negeri Selangor tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.



“Ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan (membabitkan) prosedur yang tidak boleh dipenuhi kerajaan negeri Selangor dan Syabas.


“Kita akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad,” katanya pada sidang media di sini.



Hadir sama pada mesyuarat hari ini ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala.



Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan menetapkan keutamaan untuk diselesaikan serta melaporkan keputusan-keputusan jawatankuasa kepada Jemaah Menteri.



Jawatankuasa akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali.



Muhyiddin berkata pada mesyuarat hari ini, jawatankuasa juga memutuskan bahawa Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan diteruskan dan tawaran akan dibuka dalam tempoh sebulan akan datang.



Beliau berkata Peguam Negara akan mengkaji undang-undang tanah agar Langat 2 yang akan mempunyai kapasiti 1,130 juta liter sehari (MLD) dapat diteruskan untuk membekalkan air kepada penduduk di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.



“Mesyuarat hari ini berpendapat walau apa keadaan sekali pun, projek ini (Langat 2) perlu diteruskan. Walaupun kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan, namun sampai hari ini kerajaan negeri (Selangor) tidak member kebenaran.



“Saya telah mengarahkan Peguam Negara segerakan perkara ini. Peguam Negara akan bermesyuarat petang ini untuk meneliti perkara ini,” katanya.



Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan Pusat akan memastikan projek pembinaan Langat 2 ditawarkan kepada syarikat yang berupaya dan berharap ia boleh bermula pada tahun ini.



“Jawatankuasa berpendapat ini merupakan satu perkara yang penting dan kalau ia tidak dilaksanakan mengikut pandangan kita (kerajaan pusat), situasi (masalah air) akan bertambah buruk.



“Kita mahu menentukan syarikat yang ditawarkan boleh memulakan kerja sebaik kerajaan negeri memberi kebenaran,” katanya sambil menambah projek Langat 2 akan mengambil masa tiga setengah tahun untuk siap.

Mengenai cadangan Syabas pada 14 Julai lalu untuk mengadakan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Muhyiddin berkata ia belum perlu dilaksanakan buat masa kini namun beberapa tempat di sekitar Lembah Klang akan menghadapi masalah air.


“Pada masa ini, kawasan-kawasan tertentu yang dikategorikan merah (kawasan yang sering menghadapi masalah air dan bekalan air bersih) akan menghadapi masalah air dan Syabas akan menyediakan bekalan air di kawasan tersebut,” katanya sambil menambah antara kawasan berkenaan termasuk Kapar, Klang, Taman Indah Seputeh, Pandan Indah dan Pandan Perdana di Kuala Lumpur.



Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata jawatankuasa juga memutuskan Syabas dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan menyediakan pelan kontingensi dalam beberapa hari ini sekiranya catuan air perlu diadakan.



Sementara itu, ketika ditanya sebab wakil kerajaan negeri Selangor tidak dijemput dalam mesyuarat hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana mesyuarat adalah di peringkat persekutuan dan mahu meneliti daripada “sudut kita”.



“Perkara-perkara tertentu nanti, kerajaan negeri Selangor akan terlibat. Di peringkat itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan mereka,” katanya.

KRISIS AIR : WAKIL KERAJAAN NEGERI PATUT DITUKAR.

Sunday, July 22, 2012

MB USAH MAIN WAYANG.


SIARAN AKHBAR

MB USAH MAIN WAYANG: GPRS

Konflik isu air antara Kerajaan Negeri Selangor dengan syarikat pengendali konsesi air, Syabas tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak, tetapi hanya akan memberi kesan kepada rakyat.

Kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu mempolitikkan perkara ini kerana masalah berlaku adalah kesilapan dan kelemahannya tetapi bijak mengalih pandangan rakyat kononnya Syabas yang bersalah, bukan kerajaan negeri.

Inilah permainan kotor kerajaan negeri. Isu sebenar ialah kekurangan bekalan air terawat akibat permintaan yang meningkat, bukan kerana kekeringan air sungai, air lombong atau air empangan. Memang tidak logik jika berlaku krisis air kalau empangan banyak air atau pada musim hujan sekarang ini.

Rakyat perlu faham bahawa pengeluaran air di loji rawatan yang ada tidak cukup untuk menampung penggunaan yang semakin meningkat kerana loji sedia ada hanya mampu merawat air dalam kapasiti tertentu walaupun beroperasi pada tahap maksimum, 24 jam sehari tanpa henti. Kerana itu ada kawasan yang terpaksa menerima catuan kerana bekalan air bersih dari loji rawatan tidak mencukupi.

Untuk menyelesaikan masalah ini, sebuah loji baru perlu dibina untuk meningkatkan pengeluaran air terawat. Ini bukan satu gurauan, jika air empangan sedia ada disalurkan kepada pengguna seperti mana saranan MB, tidak sampai 7 hari air empangan itu akan  kering kontang.

Kita kesal kerana mempunyai Menteri Besar dan barisan exco yang dangkal pemikiran, yang cetek ilmunya tetapi mahu menjuarai isu air semata-mata survival politik dan mahu terus menipu rakyat. Kerajaan negeri gagal dalam menjalankan tanggungjawab tetapi mahu menjadikan Syabas sebagai kambing hitam.

Menteri Besar tidak perlu bersandiwara. Loji adalah di bawah tanggungjawan kerajaan negeri malah ada syarikat loji rawatan milik kerajaan negeri.  Untuk pastikan bekalan cukup juga adalah tanggungjawab kerajaan negeri. Syabas hanya mengagihkan air yang dirawat oleh loji rawatan. Siapa yang perlu dipersalahkan jika air tidak cukup: kerajaan negeri atau Syabas? Ini hanya taktik lapok mereka supaya rakyat terus menyalahkan Syabas.

Meminjam analogi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menggunakan padi dan beras sebagai contoh: rakyat mahukan beras, bukannya padi. Air empangan ibarat padi manakala air terawat ibarat beras. Kecuali Menteri Besar dan barisan exco mahu makan padi, mereka boleh guna air dari lombong atau air empangan sedia ada. Bagaimana mana mahu mendapatkan beras jika kilang memproses padi tidak mencukupi? Itulah senario yang pelru difahami sekarang.

Kita hairan kenapa Exco Ronnie Liu hanya menunjukkan air empangan yang penuh, kenapa tidak minum sahaja air empangan itu? Ini kerana mereka hanya berpolitik dan bersandiwara untuk menipu rakyat kerana mereka juga tahu air tersebut perlu dirawat terlebih dahulu sebelum diminum. Air mentah yang belum dirawat mempunya risiko bakteria dan sebagainya.
Tambah pelik apabila Menteri Besar mahu mengambil alih pengurusan Syabas dan mengumumkan  pelantikan kumpulan professional yang tiada pengalaman untuk meneliti operasi harian Syabas sedangkan hakikatnya mereka mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat itu dan Syabas sendiri diaudit oleh Audit Negara. Jadi apa relevan tindakan Menteri Besar ini?

Kerajaan negeri turut menuduh Datuk Seri Noh Omar mempunyai kepentingan dalam syarikat yang akan membina Loji Langat 2. Tuduhan ini sangat lucu kerana tender masih belum dibuka, bagaimana kerajaan negeri tahu Datuk Seri Noh ada kepentingan dalam syarikat yang membina loji. Buktikan tuduhan itu, jangan bersandiwara untuk menipu rakyat.

Kalau Menteri Besar telus, kita cabar beliau buka tender membina Loji Langat 2. Jangan bersandiwara lagi. Kita yakin jika Loji Langat 2  siap dibina kelak, harga air tidak akan naik malah akan menjadi lebih murah kerana bekalan sudah banyak dan lebih daripada mencukupi.
Belum buat loji macam mana Menteri Besar tahu harga air akan naik?  Buat dahulu baru tahu. Kerajaan negeri hanya sedia tanah kerana kos pembinaan loji akan dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat. Malah selepas siap, loji tersebut akan menjadi milik kerajaan negeri seperti mana loji-loji yang lain.

Kita nasihatkan Menteri Besar dan barisan exco, cukup-cukuplah menipu rakyat. Kalau tidak mampu menjalankan tanggungjawab, Menteri Besar dan exco boleh letak jawatan. Jangan nak berlagak pandai tapi tidak ubah seperti ‘ayam berkokok ekor bergelumang tahi’.

Kita cabar Menteri Besar dan Exco agar tidak lagi menggunakan air terawat, sebaliknya menggunakan air mentah yang disalurkan terus dari lombong atau Sungai Klang. Barulah cakap serupa bikin! Justeru rakyat jangan terus tertipu dengan permainan sandiwara pemimpin kerajaan pakatan pembangkang ini.

DATUK SOHAIMI SHAHADAN
Pengerusi  Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS)

Saturday, July 21, 2012

SALAM RAMADHAN.



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 

Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud  Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

Daripada Abu Hurairah telah berkata : Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata : Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Thursday, July 19, 2012

URUS SAMPAH TAK PANDAI, INIKAN PULAK URUS AIR.



Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan membidas kerajaan negeri Selangor kerana lebih sibuk mahu mencampuri hal pengurusan Syabas, daripada menumpukan usaha untuk menunaikan janji-janji pilihanraya mereka serta menambah baik sistem pentadbiran negeri Selangor yang kini dilihat semakin kucar kacir dan bercelaru.


Menurut beliau, tindakan pengambilalihan serta campur tangan kerajaan negeri dalam isu Syabas ini adalah semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada tertumpu kepada kegagalan kerajaan negeri,  dalam melaksanakan segala janji-janji dan manifesto mereka pada PRU yang lepas kepada rakyat di negeri ini.

“Kenapa kerajaan negeri Selangor sibuk-sibuk mahu ambil tahu tentang hal-hal pengurusan air, sedangkan mereka bukannya pakar dalam hal tersebut? Biarlah pakar yang uruskan hal itu. Masalah kutipan sampah pun masih tak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri,  sekarang ada hati pula nak uruskan hal air yang menjadi perkara penting dalam kehidupan rakyat.

“Kalau sampah pun tak mampu nak kutip, bagaimana nak uruskan hal air yang sudah tentu perlukan kepakaran yang lebih besar dari hal-hal kutipan sampah. Tindakan kerajaan negeri ini kelak bakal mengundang masalah bagi rakyat Selangor. Silap-silap haribulan,  isu air di Selangor akan menjadi lebih kritikal seperti mana yang  berlaku Kelantan hari ini,” tegas beliau di sini hari ini.

Sepatutnya  menurut beliau, kerajaan negeri perlu menumpukan perhatian terhadap isu-isu rakyat yang sehingga kini masih banyak lagi isu-isu  permasalahan rakyat yang masih belum selesai.

“Selesaikan dulu permasalahan rakyat dan tak payah sibuk-sibuk mahu ambil alih Syabas dan biarkanlah mereka saja yang menguruskan hal air ini kerana Syabas merupakan syarikat yang pakar dalam hal-hal pengurusan air,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, lihat saja isu penyelewengan yang berlaku dalam isu Talam Corporation apabila kerajaan negeri mula campur tangan dengan alasan kononnya untuk membantu syarikat tersebut.

“Kita sebagai rakyat di negeri ini, tidak mahu isu air yang menjadi punca utama kehidupan manusia dipolitikkan oleh kerajaan negeri sehingga memberi kesan terhadap kehidupan dan kesihatan rakyat. Kita di Selangor tidak mahu menjadi seperti rakyat di Kelantan yang menderita dan kesusahan apabila krisis air yang berpanjangan itu masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan seolah-olah tiada kesudahannya.

“Kami  nasihatkan Tan Sri Khalid sebagai ketua kerajaan, agar tidak sibuk-sibuk dengan hal Syabas, sebaliknya tumpukanlah perhatian bagaimana untuk melaksanakan janji-janji mereka yang sehingga kini masih banyak yang tidak dapat ditunaikan lagi,” akhiri beliau.

UCAPAN PENUH PERDANA MENTERI DI BRICKFIELDS.

ISU APARTMEN SEKINCHAN, NG SUE LIM PERLU JAWAP.

Monday, July 16, 2012

WUJUD PENYELEWENGAN PROJEK PERUMAHAN SEKINCHAN.



Anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar hari ini mendakwa berlaku penyelewengan dalam dua projek perumahan di Sekinchan di sini, termasuk melanggar dasar yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata projek pembinaan Kondominium Sekinchan Perdana di sini dibina tidak mengikut dasar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) yang menetapkan setiap  pembinaan di atas 0.4 hektar tanah hanya boleh membabitkan 60 unit rumah.

"Malah mengikut dasar itu, rumah yang dibina tidak boleh melebihi 12 tingkat," katanya pada sidang media selepas melancarkan dua produk Agrobank Paddy-i dan Paddy Cash-i baru-baru ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mendakwa pembinaan kondominium itu membabitkan 94 unit rumah dengan ketinggian 18 tingkat jelas tidak mengikut dasar yang ditetapkan JPBD.

Beliau turut mempersoalkan penjualan 24 unit rumah di Pangsapuri Damai di Taman Sekinchan Damai yang sepatutnya diperuntukkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam tetapi dijual kepada sebuah syarikat swasta.

"Saya bertanya dan saya harapkan jawapan. Ini bukan tuduhan tetapi pertanyaan yang memerlukan penjelasan," kata Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

Noh berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan Ng Sue Lim perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu memandangkan projek berkenaan berada dalam kawasannya.

Noh berkata perkara itu juga sepatutnya dibawa ke Jawatankuasa Mengenai  Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sekiranya kerajaan negeri benar-benar mengutamakan ketelusan.

Sumber GPRS.

SEMOGA BERJAYA KONTIJEN MALAYSIA KE OLIMPIK LONDON.

PM LANCAR KEDAI RAKYAT.

Saturday, July 14, 2012

ISU TALAM : LANTIK FIRMA BILA DAH TERLONDEH.



Keputusan kerajaan negeri untuk melantik sebuah firma audit dan akauantan bagi mengkaji proses perlaksanaan kutipan hutang  Talam Corporations menimbulkan persoalan.



Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Soohaimi Shahadan berkata mengapa selepas isu berkenanan didedahkan kepada umum, secara tiba-tiba kerajaan negeri ingin melantik firma audit dan akauntan sedangkan perkara itu sepatutnya perkara itu dilakukan dari peringkat awal bukannya selepas diketahui umum.
  
“Mengapa sekarang baru nak panggil juru audit dan akauantan, mengapa tidak dibuat ketika urusan itu dilaksanakan, ‘’dah tergantuk baru nak tergadah’’, apakah itu semua sekadar hendak mengaburi mata rakyat mengenai perkara itu.

“Dulu cerita nak bentang kertas putih mengenai isu ini, tetapi sehingga kini tiada pun kertas putih yang dibentangkan, kini nak lantik firma audit dan akuantan pula, apakah yang sebenarnya berlaku, jika perkara ini tidak didedahkan sudah pasti semuanya itu akan berlalu begitu sahaja,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang mengesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berterus terang dan bukannya berdolak dalik dengan pelbagai alasan termasuk untuk firma audit dan akuantan.

“Mengapa sukar sangat Menteri Besar untuk menjelaskan perkara ini, apakah ada cerita tersembunyi sehingga kini mereka tidak mampu memberi jawapan yang jelas, sebaliknya berdolak-dalik dengan pelbagai cerita.

“Kalau dulu mereka kata mereka akan mentadbir secara telus dan tidak akan melindungi apa-apa jua perkara yang berlaku, tetapi mengapa kini banyak sangat alasan yang diberi, ia bukan sahaja membabitkan isu Talam sahaja, malah isu lain seperti masalah pasir juga sehingga kini tiada suatu jawapan konkrit yang diambil terhadap perkara itu,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri supaya berani tampil memperjelaskan isu berkenaan dan bukannya membiarkan ia berlanjutan dengan pelbagai jawapan yang berbelit-belit, rakyat Selangor hanya ingin jawapan yang benar mengenainya. -MediaUMNO

Wednesday, July 11, 2012

GERAKAN PERIHATIN RAKYAT SELANGOR (GPRS) HANTAR MEMORANDUM BANTAHAN.




Berang dengan sistem pengurusan negeri oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Gagap, hampir 1,500 rakyat hari ini bertindak menghantar memorandum tuntutan kepada pemimpin tertinggi negeri itu.

Apa yang dilihat, semakin hari semakin terdedah tembelang kerajaan pakatan pembangkang di Selangor hingga menyebabkan rakyat semakin sesak nafas dan tidak tahan lagi.

Justeru, kesemua rakyat yang berhimpun pagi tadi merasakan mereka perlu bertindak menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati.

Demonstrasi demi demonstrasi diadakan sebagai bukti penolakan terhadap kepimpinan Abdul Khalid yang tidak lebih sebagai ‘saudagar janji’ sahaja dan lebih mengutamakan kroni.

Antara rasa tidak puas hati mereka, termasuk dakwaan salah tadbir urus melibatkan Universiti Industri Selangor (Unisel), Yayasan Selangor dan kemelut padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya.

Demonstrasi ini turut mendapat sokongan daripada beberapa NGO lain yang turut menyertainya. Antaranya, adalah Persatuan Bekas Veteran Tentera Malaysia, Waris Malaya, Belia 4B, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan juga beberapa kumpulan pendesak India yang mendakwa masyarakat itu terus dipinggirkan mendapati mereka berang kerana mendakwa Abdul Khalid mengetepikan nasib kaum tersebut.

Sambil melaungkan “Khalid Bodoh” mereka mengegarkan pagar SUK dan melemparkan air botol minuman ke dalam kawasan SUK. Turut hadir pada demonstrasi ini adalah ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus dan ADUN Kuala Kubu Baharu, Wong Kun Mun.

Kumpulan itu bersurai apabila pada jam 11.36 pagi, ketuanya dibenarkan masuk bagi menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada wakil pejabat Menteri Besar.

Antara intipati memorandum yang diserahkan oleh Ketua Seketariat Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Zubir Zainuddin serta wakil NGO itu, Mohd Zainal Kamis adalah berkaitan tindakan kerajaan Selangor yang secara terang telah mempolitikkan Universiti Industri Selangor (UNISEL).

Menurut Zubir, tindakan mempolitikkan institusi pengajian tinggi itu adalah dosa paling besar Abdul Khalid kerana disebabkan kerakusan pemimpin Pakatan Rakyat itu telah menyebabkan universiti yang ditubuhkan pada 1999 untuk melahirkan modal insan di kalangan generasi muda di negeri ini bakal menjadi gajah putih.

“Rakyat Selangor menjadi rimas dan semakin hilang kepercayaan dengan kepimpinan sekarang, selepas empat tahun mentadbir, kerajaan pakatan pembangkang ini bukan sahaja gagal melaksanakan janji-janji dalam manifesto pilihan raya, malah terlalu lemah daripada aspek pentadbiran sehingga menjuruskan negeri ini ke arah kemunduran.

“Tidak mustahil negeri yang disayangi ini akan hancur sekiranya tidak diselamatkan. Inilah ‘kehebatan’ yang dimiliki oleh pemimpin pakatan pembangkang ini yang hanya mampu merosakkan Selangor,” katanya.

Selain itu, GPRS turut membuat tuntutan berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran Yayasan Selangor.

“Jangan ingan rakyat Selangor bodoh… kita tahu bahawa Laporan Audit setakat November 2012 menunjukkan institusi itu rugi sebanyak RM7.41 juta.

PAKATAN SELANGOR : SKANDAL TAK BERKESUDAHAN.

Sunday, July 8, 2012

PERASMIAN MENARA FELDA MELENYAPKAN PEMBOHONGAN PAKATAN.



AGENDA DAILY -Apa lagi pembangkang nak kelentong peneroka selepas ini tak tahulah kerana selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), perasmian Menara Felda berhampiran KLCC, ibarat melenyapkan segala pembohongan serta fitnah pembangkang terhadap Felda selama ini.
Bukan saja harga saham itu melonjak dengan premium 89 sen daripada harga asal pada Jumaat, Menara Felda setinggi 50 tingkat di kawasan perniagaan Segi Tiga Emas di ibu negara itu juga sudah catat keuntungan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan bangunan beharga RM700 juta itu Sabtu malam berkata, nilai semasa Menara Felda yang menjadi kebanggaan peneroka itu telah meningkat kepada RM965 juta.
"Belum masuk lagi sudah untung RM265 juta, bukankah ini satu keputusan yang menguntungkan...iaitu mencatat keuntungan 38 peratus," katanya.
"Sesiapa yang cuba menipu dan mengkhianati kita, nampaknya niat mereka tidak kesampaian. Kita telah membuktikan segala tuduhan bersifat palsu dan fitnah belaka," katanya berucap pada sambutan Hari Peneroka 2012.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi meraikan kira-kira 20,000 warga Felda termasuk 12,000 peneroka dari seluruh negara.
Najib berkata dua penipuan terbesar golongan yang disifatkan sebagai 'makhluk perosak' ialah Felda sudah bankrap dan tanah peneroka akan tergadai dengan penyenaraian FGVH.
"Mana ada syarikat bankrap boleh disenaraikan. Sekarang ini sudah senyap, tandanya orang tak terima (dakwaan itu), tak masuk akal. Hakikatnya tanah peneroka tak tergadai. Ini adalah penipuan paling besar dan mereka (pembangkang) sebenarnya mati akal," katanya.
Katanya, jika saham Facebook merudum, saham FGVH yang kedua terbesar selepas Facebook terus melambung naik.
Beliau berkata penyenaraian FGVH dan pembinaan Menara Felda yang siap dua tahun lebih awal membuktikan badan itu sudah berjaya melakukan transformasi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Najib berkata kejayaan itu disumbang peneroka yang tidak mudah tertipu dengan dakyah pembangkang untuk menggagalkan usaha memajukan Felda.
Sementara itu, Najib membayangkan kemungkinan memberi imbuhan tambahan kepada peneroka pada masa hadapan.
"Kita masih ada dana. Kita tak belanja semua dan kita masih banyak perancangan untuk jana kekayaan. Kita bela peneroka Felda. Kalau tuan puan (peneroka) baik, kita bagi lagi,”.
"Felda sudah berjaya. Kita nak beri mesej kepada makhluk perosak, kepada rakyat dan dunia bahawa Felda sudah berjaya dan boleh terus dapat manfaat daripada perjuangan, idea dan perancangan yang jitu," katanya.
Menurut Najib, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menjana lebih banyak kekayaan buat Felda dan membela nasib rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pembayaran kedua RM5,000 kepada isteri peneroka akan dibuat selewat-lewatnya bulan Ramadan ini, diikuti dengan baki bayaran kepada anak-anak mereka.-7/7/2012- OLEH ROSLAN BIAN