Saturday, January 28, 2012

PERKENAL KRAFTANGAN CARA E-PASARAN.



Kenyataan saya yang dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini. Berita lanjut sila Klik Di Sini.

KERJASAMA KPTM,KETENGAH TUBUH KOLEJ KE 10.



Kenyataan lengkap saya mengenai cadangan kerjasama penubuhan kolej KPTM yang ke 10 . Selanjutnya boleh Klik Di Sini.

Tuesday, January 24, 2012

KONSEP WASATIYYAH BELA NASIB RAKYAT.

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah KananPerakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA)Kolej Perniagaan (COB)Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

KONSEP wasatiyyah atau kesederhanaan sesuai diamalkan dalam semua kehidupan rakyat Malaysia. Amalan wasatiyyah tidak kira waktu kerana ia boleh membendung aktiviti ekstremis dalam semua perkara.

Ketika dunia dalam keadaan bercelaru dengan pelbagai krisis seperti krisis kemanusiaan, politik dan ekonomi, konsep wasatiyyah adalah kaedah terbaik mengatasi pelbagai kecelaruan ini. Ramai melihat perbuatan-perbuatan ekstrem telah merosakkan dunia.

Sebagai contoh, pembangunan yang berleluasa tanpa mengira kelestarian alam sekitar menjadikan dunia semakin panas. Ekologi alam sekitar kini tidak mengikut aturan yang sepatutnya. Maka, akibat tangan-tangan manusia yang ekstrem, pelbagai bencana telah berlaku.

Iklim tidak boleh lagi diramal dengan tepat. Dahulu, di Malaysia banjir berlaku pada penghujung tahun, tetapi tidak pada masa sekarang. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa hatta di mana-mana sahaja sekalipun. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, di negara jiran kita, Singapura banjir boleh berlaku di tengah-tengah bandar seperti di Orchard Road.

Bayangkan apa akan terjadi, jika sekiranya, banjir berlaku di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagaimana pernah berlaku banjir di Orchard Road, Singapura sebanyak dua kali?

Akibat aktiviti-aktiviti ekstremis yang merobek muka bumi, menggondol bukit-bukau dan gunung-ganang, mengambil hasil bumi seperti pasir dan balak tanpa satu mekanisme terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar, maka, yakinlah satu hari nanti, akan ada balasan yang setimpal menanti kita. Kelak, putaran ganas ini akan menghimpit kita semua. Atas dasar kecelaruan ini, maka lahirlah pelbagai inisiatif memperbetulkan keadaan, umpamanya penggunaan teknologi hijau.

Langkah sebegini dicetuskan selepas pelbagai kemungkaran dilakukan oleh golongan ekstremis ini. Yang telah menjadikan mereka kaya-raya. Golongan yang dikenali sebagai elitis dunia. Yang tidak mempedulikan apa akan berlaku pada masa akan datang. Sudah tentu, tidak menghiraukan majoriti nasib rakyat. Yang penting, mereka boleh mengkayakan diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Oleh yang demikian, pemberontakan rakyat berlaku di sana-sini. Tahun lalu sahaja ramai pemimpin telah rebah disingkirkan oleh rakyat mereka sendiri. Sebab itulah, para pemimpin tidak boleh sesekali meminggirkan konsep wasatiyyah dalam membela nasib rakyat. Amalan wasatiyyah sangat sesuai untuk menjaga kebajikan rakyat dan memakmurkan negara.

Sebagai contoh, di Malaysia antara isu yang paling menjadi tumpuan rakyat ialah isu ekonomi. Apabila lahirnya idea-idea untuk menjaga kebajikan rakyat seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE), hasilnya sewajarnya dinikmati oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Sekali lagi, ia tidak boleh sesekali meminggirkan nasib rakyat majoriti. Atau hanya memberi manfaat terbesar di kalangan golongan elitis yang mempunyai kuasa, pangkat dan wang ringgit.

Masih ramai rakyat yang menjalani kehidupan serba susah. Masih ramai rakyat tidak mempunyai keperluan asas seperti rumah yang selesa. Mereka ini perlu dibantu bukannya dipinggirkan dengan membina rumah-rumah mewah yang tak mampu dimiliki.

Di Malaysia, umum mengetahui golongan yang paling susah tidak lain tidak bukan, kaum bumiputera. Ramai di antara mereka tidak memiliki rumah. Kalau ada pun, rumah mereka tidak begitu selesa. Maka bantuan disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan seperti nelayan bagi memperbaiki rumah mereka merupakan satu tindakan yang membela nasib rakyat.

Rakyat tidak mahu mendengar idea menukar lot berstatus bumiputera kepada bukan bumiputera dilaksanakan, gara-gara kononnya lot berstatus bumiputera yang gagal dijual dijadikan alasan kerugian besar pemaju hartanah.

Ini menggambarkan betapa ceteknya pemikiran golongan segelintir usahawan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kebajikan dan nasib rakyat. Nampak sangat mereka tidak mempunyai perancangan bagi memastikan kesemua nasib rakyat terjamin. Telah ditetapkan agar kuota bumiputera hanya dijual untuk kaum bumiputera, maka ikutlah polisi tersebut, bukannya polisi yang mengikut kita. Ini satu tindakan yang tidak mengikut konsep wasatiyyah tetapi berpandukan hawa nafsu untuk mengaut keuntungan melampau. Rakyat mengetahui semua ini.

Begitu juga apabila kerajaan memberi tempoh selama tiga bulan untuk mengkaji semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar mengambil kira semua perkara yang ditimbulkan oleh rakyat (pekerja bawahan sektor awam), ini satu lagi tindakan yang membela nasib rakyat keseluruhannya.

Secara umumnya, SBPA satu skim yang baik tetapi apabila ia hanya membela nasib segelintir golongan elitis yang mendapat laba yang lumayan dengan kenaikan gaji yang terlalu tinggi menyebabkan rakyat bawahan tidak berpuas hati. Bukankah, pelaksanaan SBPA untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat bawahan yang rata-ratanya berpendapatan rendah?

Perkara ini tidak akan membantu jika sekiranya hanya golongan atasan atau elitis yang memperoleh kenaikan gaji terbesar. Ambil kira semua sudut secara wasatiyyah sebelum melaksanakan SBPA. Barulah, situasi menang-menang akan berlaku dan inilah yang sebenarnya disyorkan oleh Islam agar tidak berlaku kecelaruan dalam kehidupan seharian. Yang ini akan menjadikan nasib rakyat terbela dan negara pula akan sentiasa maju dan makmur.

Thursday, January 19, 2012

ANWAR PUNCA PAS GERHANA.


Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata kenyataan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya undang-undang homoseksual di negara ini sebagai lapuk membuktikan secara jelas sikap sebenar Ketua Pembangkang yang amat bercanggah dengan prinsip Islam.
Beliau berkata, ia membuktikan Anwar adalah manusia yang gila kuasa apabila sanggup melakukan apa saja termasuk isu yang berkaitan dengan agama Islam semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipecat daripada parti dan digugurkan daripada EXCO Selangor baru-baru ini, berkata atas dasar itulah beliau tidak boleh bersekongkol dengan Anwar ketika masih bersama PAS, apatah lagi menggadai prinsip perjuangan untuk menegakkan syiar Islam, mempertahankan kedudukan Melayu dan mendaulatkan institusi Raja.
“Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia perlu menolak perjuangan Anwar Ibrahim. Kalau gay, lesbian, homoseksual dan pertukaran jantina hendak dihalalkan di Malaysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah. 


“Pandangan Anwar bukan saja di Mumbai yang disiarkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) World News. Bagi saya itulah pandangan peribadi dan pandangan asasi Anwar. Atas dasar itu saja pun saya tidak boleh bersama dengan perjuangan beliau,” katanya pada persidangan media, di kediamannya di sini, semalam. 


Sehubungan itu, beliau mengulangi pemecatannya daripada PAS bukan akibat mengkritik parti kerana perkara itu sudah diselesaikan, tetapi semata-mata menegur pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menghadapi kes mahkamah bersifat peribadi. 

“Saya hairan bagaimana PAS boleh tunduk dengan tekanan PKR yang meminta saya dipecat. Apakah PAS sudah hilang maruah diri,” katanya. Ketika diwawancara BBC baru-baru ini, Anwar mendakwa undang-undang berkaitan hubungan sejenis atau homoseksual di negara ini sudah lapuk dan harus dikaji semula yang turut mendapat sokongan PAS. 

Hasan juga berkata, tindakan PAS menyokong kenyataan Anwar diibaratkan sebagai ‘bulan yang bakal gerhana’ apabila parti berteraskan perjuangkan Islam itu seolah-olah menyokong kegiatan songsang, termasuk hubungan sejenis. 

Mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menyifatkannya sebagai pemimpin ‘gila kuasa dan gila duit’ yang disiarkan satu laman portal berita, Hasan berkata rakyat boleh menilai siapa sebenarnya gila kuasa. 

“Gila kuasa?.. siapa gila kuasa? Tuan-tuan fikir saya ke Anwar? Saya ada kuasa sebagai Ahli EXCO... cuba bayangkan, ahli EXCO hidupnya selesa separuh mewah... Alhamdulillah, tapi saya sanggup mengorbankan jawatan itu kerana satu idealisme. 

“Bayangkan ada seorang itu sanggup kumpul orang di Sabah dan di Sarawak. Jumpa orang di sana, jumpa orang di sini untuk menawan Putrajaya pada 16 September. Dia gila kuasa atau saya gila kuasa. Bayangkan atas nama gila kuasa, dalam penjara pun akan jadi Perdana Menteri,” katanya. 

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang tidak akan menyertai UMNO dan mendakwa perjuangannya masih lagi bersama PAS walaupun sudah disingkirkan daripada parti berkenaan.

PAS DIMALUKAN DI SELANGOR !


Pas Selangor menerima tamparan hebat apabila bukan sahaja Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman tidak dilantik menjadi Exco kerajaan negeri yang baru malah turut kehilangan portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan itu Jumaat lalu.

Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Melalui satu rombakan kecil pentadbiran negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, beliau kekal menguasai portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri manakala portfolio Belia dan Sukan diserahkan kepada Dr. Ahmad Yunus.

Pengumuman Dr. Ahmad Yunus menggantikan Hasan itu turut mengesahkan laporan Utusan Malaysia mengenai perkara itu sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu langkah yang dilihat sebagai menjaga hubungannya dengan Pas yang mahu Dr. Abdul Rani menggantikan tempat Hasan, Abdul Khalid mengumumkan Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel).

Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dari Pas pula dipilih sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat). Kedua-dua jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Hasan pula masih kekal memegang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ekoran pelantikannya itu berdasarkan kepada watikah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa bagi sesi 2012 hingga 2014.

Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini berkata, pihaknya sendiri telah bercakap dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemilihan Dr. Ahmad Yunus sebagai Exco baru selain mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti tersebut termasuk dengan Dr. Abdul Rani mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pemilihan Dr. Ahmad Yunus dibuat atas pertimbangan kerja dan mempercepatkan proses menyelesaikan pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, langkah tersebut bukannya membelakangkan pandangan Pas yang sebelum ini menyenaraikan Dr. Abdul Rani sebagai calon pilihan parti tersebut untuk menggantikan tempat Hasan.

Malah katanya, pemilihan Dr. Ahmad Yunus dan juga pengagihan jawatan-jawatan membabitkan agensi kerajaan negeri kepada Dr. Abdul Rani dan Dr. Shafie telah direstui oleh kepimpinan Pas sendiri.

''Kita bincang dengan kepimpinan dan mereka yang matang jika rasa keadaan menjamin perubahan kepada negeri dan pakatan (pembangkang), kita kena ubah dan saya diberikan tanggungjawab untuk menentukan.

''Jadi saya rasa pelantikan Dr. Ahmad Yunus mendapat restu daripada kepimpinan Pas dan Dr. Abdul Rani sendiri, maknanya ia bukan satu pelantikan yang tidak mengambil kira pemikiran dan juga pandangan daripada semua pihak dan Tuanku Sultan Selangor juga diberikan latar belakang tentang pemilihan tersebut," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid menjelaskan, langkah beliau mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama dibuat memandangkan anggota pentadbirannya iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Zauyah Be T. Loth Khan adalah ahli MAIS.

''Oleh sebab itu, saya ambil alih (portfolio hal ehwal agama Islam) agar saya dapat pengerusikan mereka (Khusrin dan Zauyah) untuk melihat perkembangan dan pembangunan Islam di negeri ini," katanya yang bukan ahli MAIS.

Ditanya mengenai tumpuannya terhadap portfolio tersebut berbanding Hasan yang sebelum ini bertegas soal arak dan kegiatan gerakan memurtadkan umat Islam, Abdul Khalid berkata, usaha meningkatkan martabat Islam adalah berterusan dan menjadi tugas beliau sebagai individu beragama Islam serta rakan-rakan wakil rakyat lain yang beragama Islam lain tanpa mengira soal parti.

Namun, katanya, perjalanan tugas tersebut perlu dilakukan secara berhemah dan mengambil kira keadaan persekitaran.

''Tujuan kita adalah meningkatkan syariat Islam dan sebab itu ada adab dan cara. Kejayaan Islam berkembang adalah kerana ia mempunyai sistem yang adil kepada semua pihak dan saya akan belajar, sudah tentu akan juga berbincang untuk cara terbaik kita dapat memerintah negeri tetapi tidak hilang panduan dan pandangan mengenai syariah Islam," katanya.

Kepada soalan adakah beliau berasa lebih selesa sekarang tanpa kehadiran Hasan dalam barisan Exco, Abdul Khalid menepis soalan itu dengan menyatakan pihaknya tidak menjawab soalan berbentuk spekulasi.

Wednesday, January 18, 2012

PANDANGAN ANWAR MERBAHAYA.


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini yang didakwanya sudah lapuk merupakan satu penyimpangan pemikiran dan mampu memesong akidah umat Islam.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, ia juga satu ancaman terhadap kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam walaupun isu berkenaan mendapat sokongan daripada golongan yang mengamalkan budaya songsang itu.

Sambil menyelar pandangan terbabit, beliau menegaskan, Ketua Pembangkang itu seharusnya merujuk hal tersebut berlandaskan al-Quran serta Sunnah dan bukan kepada platform hak asasi manusia.

''Pandangan Anwar itu merupakan satu penyimpangan pemikiran yang kini telah menjadikan hak asasi manusia sebagai rujukan tertinggi dalam percaturan politik di Malaysia. Ini adalah sesuatu yang berbahaya jika ia dibiarkan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang mempertikai undang-undang berkaitan kegiatan seks songsang dengan menyifatkan ia sebagai lapuk dan tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, pemikiran seperti yang dilontarkan Anwar boleh mengakibatkan akidah dan pemahaman umat Islam berubah daripada berpaksikan al-Quran dan sunnah kepada ideologi bukan Islam.

''Tidak ada mana-mana pihak yang mampu untuk mengubah dasar undang-undang dan perlembagaan di Malaysia yang berpaksikan sebagai sebuah negara Islam, diduduki oleh pelbagai kaum," ujarnya.

Beliau kemudiannya melahirkan kebimbangan bahawa pemikiran sedemikian boleh menimbulkan kecelaruan terhadap masyarakat khususnya golongan muda.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, kenyataan Anwar itu seolah-olah mahu membawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi mutlak yang membawa maksud bebas tanpa sekatan dan had.

''Seperti diamalkan di Norway, ia telah memberi kesan buruk kepada nilai-nilai masyarakat. Boleh kahwin sesama jenis dan sebagainya.

''Kenyataan beliau juga seolah-olah memberi 'pengiktirafan' kepada satu hukum yang Allah haramkan dalam al-Quran, Benda yang Allah kata sangat-sangat jijik.

''Selain itu, apa yang dicadangkan (disuarakan) Anwar, seolah-olah membuka ruang (kepada homoseksual) boleh dipraktikkan secara terbuka," katanya.

Selain itu, ujar Fathul, kenyataan Anwar turut mencalar kredibiliti Pas yang sehingga kini membisu dalam isu berkenaan.

''Di mana suara Pas? Bagi saya, kenyataan Anwar itu, keburukannya lebih besar daripada kebaikan. Saya juga tak setuju nak kata baik kerana ia bercanggah dengan nilai-nilai Islam," tegasnya.

INSTITUT WASATIYAH KUKUHKAN MARTABAT ISLAM.


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berharap penubuhan Institut Wasatiyah akan mengukuhkan kedudukan Islam dan menonjolkan ia sebagai sebuah ajaran yang syumul (lengkap), bersifat pertengahan dan tidak ekstrem.

Sambil menyambut baik langkah menubuhkan institusi tersebut, Setiausaha Agungnya, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, ia juga kena pada masanya dalam usaha menjulang maqasid syariah dan Perlembagaan Persekutuan, lebih-lebih lagi ketika negara Islam dilabel sebagai pelampau.

"Penubuhan institusi ini adalah langkah terbaik untuk memastikan segala idea wasatiyah diaplikasikan secara praktikal dan bukan sekadar gagasan pemikiran semata-mata.

"Institut berkenaan juga perlu memainkan peranan sebagai sebuah institusi berautoriti dalam menjawab segala salah faham yang timbul berkenaan Islam ekoran keadaan semasa di mana dunia Islam diserang pelbagai gagasan pemikiran ekstrem yang bercanggah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penubuhan Institut Wasatiyah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini, hari ini.

Institusi tersebut merupakan salah satu inisiatif terbaru kerajaan untuk mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.

Menurut Mohd. Roslan, pihaknya juga berharap penubuhan institut berkenaan akan dapat menterjemahkan segala khazanah berkaitan wasatiyah dalam kitab-kitab turath serta koleksi akademik semasa ke dalam penggubalan dasar pentadbiran negara.

"Adalah menjadi harapan kami agar penubuhan institusi ini akan memperteguhkan lagi kekuatan mobilasi agensi-agensi hal ehwal Islam sedia ada seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Institusi Kefahaman Islam Malaysia (Ikim); Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan sebagainya.

"Oleh itu, kami mewakili golongan agama bersedia memberikan input serta bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan objektif penubuhan institusi itu terlaksana dengan jayanya," jelasnya.

BR1M, AGENDA RAKYAT DIDAHULUKAN.


 Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukannya gula-gula politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sambil menempelak pembangkang yang mempolitikkannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan ikhlas membantu rakyat bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tegas beliau, BR1M adalah terjemahan daripada rintihan rakyat yang dijelmakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam bentuk memberikan bantuan kepada mereka yang layak.

Menurutnya, ia salah satu daripada agenda transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

“Sebenarnya pembangkang amat panik dan terdesak kerana momentum rakyat kepada BN pada masa ini begitu meningkat. Perdana menteri melalui pelbagai program turun padang telah mendengar sendiri rintihan dan keperluan rakyat.

“Refleks daripadanya beliau telah mewujudkan NKRA khusus bagi mengurangkan kos sara hidup, hasilnya muncullah BR1M,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyampaian BR1M Parlimen Semporna di Padang Pekan Semporna di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Tambah Muhyiddin, bantuan BR1M bukannya kecil, malah ia melibatkan peruntukan sehingga RM4 bilion kepada lebih empat juta ketua isi rumah.

Sehubungan itu, beliau berkata, langsung tiada sebab untuk rakyat menolak dan tidak menerima kerajaan BN.
“Saya tidak faham kenapa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh BN sebuah kerajaan tidak bertanggungjawab dan membiarkan rakyat berada dalam penderitaan.

“Saya ingin tanya, adakah ada kes rakyat negara ini mati kerana kebuluran, apa yang saya tahu ramai yang mati kerana terlebih makan hingga dihidapi penyakit seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan sebagainya,’’ katanya.

Tuesday, January 17, 2012

FOTO MAJLIS PENYAMPAIAN GERAN DAN DANA PEMBANGUNAN INDUSTRI KREATIF.





Datuk seri utama rais yatim di majlis penyampaian geran dana pembangunan industri kreatif di auditorium skmm putrajaya.

Terima kasih kepada bloger DET atas foto yang diambil.

Monday, January 16, 2012

UNDANG-UNDANG BERKAITAN HOMOSEKS ADALAH RELEVAN.


 Undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini relevan dan berperanan luas dalam mengekang gejala di luar tabii yang melanggar kejadian semula jadi itu daripada terus menular.

Sambil membidas tindakan mempertikaikan undang-undang tersebut, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kewujudan undang-undang berkaitan homoseksual itu selaras dengan undang-undang Islam dan lain-lain peraturan agama di Malaysia.

Di dalam Perlembagaan, katanya, secara jelas menyatakan bahawa Islam sebagai agama rasmi dan tiada pihak boleh meminda undang-undang yang sememangnya selaras dengan agama Islam.

"Pada pendapat saya, kita tidak harus terikut-ikut dengan pendekatan hak asasi tajaan Barat. Undang-undang berkaitan homoseksual yang ada selaras dengan undang-undang Islam dan semua peraturan agama lain di Malaysia.

"Menghalalkan gejala homoseksual dan seumpamanya akan merosakkan reputasi negara kita pada mata dunia Islam sebagai negara Islam yang berpegang kuat kepada undang-undang agama itu di samping menjadi sebuah negara di ambang status negara maju.

"Kenapa kita harus merosakkan semua itu dengan meminda undang-undang sedia ada demi kepentingan kumpulan-kumpulan songsang ini? Saya rasa ini adalah untuk kepentingan politik peribadi jangka masa pendek yang dapat memberi kesan jangka panjang teramat besar kepada orang islam khususnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikai undang-undang berkaitan kegiatan seks songsang tersebut dengan menyifatkannya sebagai lapuk dan tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.

Pakar undang-undang, Prof. Dr. Roselina Ahmad Sufi berkata, kenyataan bahawa sesebuah undang-undang tidak relevan atau lapuk adalah tidak tepat kerana undang-undang yang dimaktubkan Parlimen adalah terpakai selagi ia tidak dimansuhkan.

Justeru, katanya, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan perlu mematuhi dan mendaulatkan undang-undang tersebut.

"Jika terdapat pihak yang mengatakan ia tidak relevan, adalah wajar untuk kerajaan meneliti semula setelah mengambil kira pandangan semua lapisan rakyat berkenaan klausa-klausa mana yang tidak relevan.

"Namun begitu, pandangan hanya seorang individu atau segelintir pihak secara jelas tidak mencukupi," katanya.

BUKTI TRANFORMASI KERAJAAN DISENANGI RAKYAT.



 Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kayu pengukur kepada kecemerlangan dan kejayaan sesebuah kerajaan adalah melalui keulungan idea yang dihasilkan.

Menurut Perdana Menteri, keulungan idea itu bermaksud idea yang dihasilkan oleh sesebuah kerajaan itu adalah lebih baik daripada pihak yang bersaingan dengannya.

"Sebab itu, masa saya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, saya telah ketengahkan pelbagai idea baru yang memberi maksud kepada keulungan idea itu.

"Ia terbukti melalui pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan pelbagai lagi sehinggalah ke projek Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu di Pekan ini," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Padang Rumbia di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan dan Koperasi Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Ishak Muhammad.

Mengulas lanjut, Najib berkata, melalui penghasilan pelbagai idea itu, ia membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa melakukan transformasi.

"Ia bukti mengapa kerajaan hari ini terus mendapat sokongan rakyat meskipun dalam keadaan dunia tidak menentu seperti di Mesir yang berlaku apa yang dipanggil 'Arab Spring', tetapi di Malaysia kerajaan sentiasa melakukan transformasi," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, untuk menegakkan keadilan sosial, kerajaan akan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima rumah di bawah projek Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu itu.

"Rumah yang kita berikan percuma ini bukan calang-calang kerana ia berkeluasan 1,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan perabot dan sebuah tong gas memasak.

"Ini sebenarnya soal asas, yakni perumahan dapati disediakan oleh kerajaan untuk rakyat," katanya.

KR1M , CEMUHAN YANG MEMPOPULARKAN.



PEKAN 15 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang tidak menyedari tindakan mereka mencemuh Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah menjadi satu publisiti kepada kedai tersebut.

Perdana Menteri berkata, ini terbukti apabila sebanyak 27 buah KR1M telah dibuka sehingga hari ini malah, jualan setiap kedai itu lebih RM20,000 sehari.

"Saya galakkan mereka untuk terus cemuh dan kritik kedai ini kerana apabila banyak kritik, maka lebih ramai yang akan datang ke situ.

"Malah, jumlah kedai KR1M di seluruh Malaysia sudah 27 buah dan keseluruhannya 85 buah akan beroperasi hingga hujung tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu dan Perasmian KR1M di Pulau Serai, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Najib, pembinaan KR1M bukanlah sesuatu yang diuar-uarkan tanpa asas tetapi merupakan satu realiti dan telah terbukti berjaya kerana menawarkan barangan keperluan utama pada harga 40 peratus murah daripada harga pasaran.

"Sekarang ini ke mana sahaja saya pergi, orang ramai akan minta di kawasan mereka untuk dibina kedai KR1M.
"Ini jelas menunjukkan kedai ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai," katanya.
Kata beliau lagi, kedai di Pulau Serai ini merupakan KR1M yang terbesar di Malaysia dan turut menempatkan Rakyat Mall yang menjual pelbagai keperluan lain.

"Ia boleh dimanfaatkan oleh penduduk Pekan sebagai sebuah destinasi membeli-belah dalam suasana mesra bajet," katanya.

Sementara itu, Rakyat Mall yang dirasmikan oleh Najib hari ini, berkeluasan 1,680 meter persegi adalah merupakan sebuah inovasi baru membeli-belah di bawah satu bumbung buat seisi keluarga.

Beroperasi seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam, ia terdiri daripada 24 lot kedai menjual barangan keperluan serta barangan basah seperti ayam, daging, buah buahan, barangan komputer, pakaian, telefon, produk kesihatan dan sebagainya.

Friday, January 13, 2012

PELUANG SAMBUNG BELAJAR DI KPTM.

Kepada pelajar lepasan SPM dan STPM dialukan-dialukan untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar di KPTM dalam sesi baru pengajian.

Pemohon yang berminat boleh melayari laman web KPTM untuk maklumat lanjut.

Tuesday, January 10, 2012

KONSPIRASI KES LIWAT, ANWAR TERPERANGKAP DENGAN PERMAINANNYA SENDIRI.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, keputusan mahkamah hari ini yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat telah dapat membersihkan sama sekali kerajaan daripada tuduhan tidak berasas berhubung campur tangan dan konspirasi kerajaan terhadap pemimpin pembangkang itu.

“Keputusan hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa di sebalik apa yang telah didakwa, sistem kehakiman Malaysia adalah sebuah institusi bebas di mana baik politik mahupun ahli politik mempunyai sebarang pengaruh berhubung pelaksanaan keadilan,” katanya.

Najib berkata, ini sebaliknya mengukuhkan pemisahan kuasa yang jelas bagi setiap cabang kerajaan Malaysia, dan begitu juga cabang lain tidak campur tangan dalam urusan cabang yang lain.

“Sebagai ketua cabang eksekutif, saya hormati keputusan cabang lain dalam kerajaan, badan kehakiman,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik kepulangan beliau hari ini daripada satu lawatan ke Afrika Selatan.

Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, pada 2008.

Najib berkata, kes ini dibawa oleh seorang individu persendirian dan adalah penting tuduhan beliau itu didengar di mahkamah.

“Jauh daripada menjadi satu perbicaraan bermotifkan politik, ia telah menjadi satu gangguan yang tidak dialu-alukan daripada hal yang lebih penting untuk mentadbir negara kita demi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.
Ini merupakan tuduhan meliwat yang kedua dihadapi Anwar.

Pada 8 Ogos, 2000, dia disabitkan dan dihukum penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat pemandunya Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, empat tahun kemudian, dia dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengubah sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara. – BERNAMA

Sunday, January 8, 2012

PERHIMPUNAN 9 JAN : 10 SYARAT PIHAK POLIS.

Polis kini mengenakan 10 syarat kepada penganjur perhimpunan 9 Januari bagi menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antaranya tidak membenarkan ucapan awam dan membawa sepanduk bertulis 'Bebaskan Anwar 901' atau 'Bebaskan Anwar'.

Syarat-syarat yang dikenakan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan itu, disiarkan di laman Facebook polis.

Syarat-syarat tersebut bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh
timbalan presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang akhbar sebelum ini.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.

7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.

8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.  

9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.  

10.  Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

Friday, January 6, 2012

PAS LEMAH DALAM PAKATAN.


DALAM Islam antara perkara yang paling dituntut adalah melakukan kebaikan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada umat.

Sebab itulah Allah SWT memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Asr yang bermaksud;
''Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.''

Persoalannya, apakah ayat ini akan menjadi pegangan kepada pemimpin dan penyokong Pas apabila mereka turun ke jalanan pada 9 Januari ini?

Yang anehnya, mereka turun bukan untuk mempertahankan Islam, mereka berarak bukan bagi membantah usaha memurtadkan orang Islam dan sudah pasti mereka berhimpun bukan untuk mempertahankan pemimpin mereka.
Tetapi penyokong Pas berbuat demikian adalah untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui nasibnya dalam kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Apakah Pas lupa dalam keghairahan mereka menyokong Anwar, pemimpin PKR tersebut sudah secara terbuka menyatakan, ''Apabila Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, sesekali tidak akan melaksanakan undang-undang Islam ataupun mengubah undang-undang persekutuan untuk merealisasikan undang-undang hudud Islam.''

Atau mungkin Pas sudah tidak kisah dengan kenyataan Anwar itu kerana parti tersebut kini telah meninggalkan perjuangan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan, justeru soal hukum hudud dan melaksanakan undang-undang Islam tidak perlu difikirkan lagi.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sekali lagi seperti mana perhimpunan haram sebelum ini Pas bersedia 'diperkudakan'.

Mungkin Pas ingin menunjukkan kesetiaan berikutan kesepakatan yang sudah dicapai dengan PKR dan DAP, maka apa yang kedua-dua parti itu putuskan maka Pas ikut sahaja, tanpa bantahan.

Tetapi wajarkah Pas yang mempunyai ramai alim-ulama menggalakkan satu perbuatan yang boleh mencetuskan huru-hara dan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Kenapakah mereka tidak beramai-ramai mengadakan solat hajat bagi meminta petunjuk Allah SWT dalam menghadapi isu Anwar ini? Bukankah selama ini solat hajat seolah-olah sudah dilihat menjadi 'alat' kepada Pas bagi mencapai tujuan politik mereka?

Kalau betul Pas yakin Anwar tidak bersalah seperti mana dipertegaskan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kenapakah selama ini Pas tidak memainkan peranan menyuruh Anwar melakukan sumpah laknat? Kenapakah apabila Mohd. Saiful Bukhari bersumpah, pelbagai kenyataan mereka buat bagi menolak 'pembelaan diri' pemuda tersebut?

Kenapakah selama ini Pas tidak berusaha 'menyucikan' Anwar termasuk membuat solat hajat agar pemimpin pujaan mereka itu tidak perlu dihadapkan ke mahkamah? Kenapa Pas tidak pertimbangkan fakta benarkah Anwar dianiaya, dan tak kan mereka tidak tahu doa orang teraniaya tiada hijab dengan Allah SWT?

Pas hakikatnya sudah terdesak dan semakin lemah dalam perjuangan politiknya, sebab itu mereka terus mahu merelakan diri menjadi 'pak turut'.

Mereka sudah tiada lagi keyakinan diri untuk bertanding secara sendirian dalam pilihan raya dan semakin percaya pemimpin mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri kecuali Anwar.

Justeru, akibat terhakisnya keyakinan diri berkenaan, maka Pas bersedia melakukan apa sahaja bagi mempertahankan Anwar dan kerjasama dengan pembangkang.

Sebab itulah, pemimpin Pas sudah menyatakan kesediaan mengerahkan penyokong mereka untuk menyertai demonstrasi haram berkenaan.

Walaupun pelbagai ulama sudah memberi peringatan bahawa perbuatan tersebut haram dari segi Islam kerana ia boleh membawa kemudaratan, namun pemimpin-penyokong Pas peduli apa.

Kepada penyokong Pas, hanya ulama mereka sahaja yang berhak menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara itu, datanglah nasihat daripada ulama dari Mekah sekali pun, mereka tidak akan menghiraukannya.

Semua ini jelas membuktikan bahawa Pas semakin lemah dan semakin taksub dengan Anwar sehinggakan mereka merasakan kalau apa-apa berlaku kepada Anwar maka habislah pakatan pembangkang.

Tetapi dalam masa sama, kenapakah penyokong Pas tidak bertanya, apabila Anwar menyatakan pembangkang sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan berikutan kes mahkamahnya dan sudah ada orang bakal menggantikannya sebagai ketua pembangkang, siapakah orang itu?

Apakah ia di kalangan pemimpin Pas? Ramai yang percaya bahawa Pas hanya bermimpi untuk menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Walaupun dari segi moral, majoriti Pas dilihat jauh lebih baik daripada pemimpin PKR tetapi itu bukan kriteria yang akan membolehkan mereka dipilih menjadi pemimpin utama pembangkang.

PKR dan DAP sudah ada pilihan mereka sendiri dan ia sudah pastilah di kalangan mereka juga, bukannya daripada Pas.

Hakikatnya, Pas hanya alat untuk PKR dan DAP mencapai cita-cita politik mereka, sebab itulah dalam blog penyokong Pas ada antara mereka menulis, '' Masalah dengan PKR ni, bila perlu orang berhimpun - depa (mereka) ajak kita. Bila dia dapat kuasa - dia tinggal kita.''

Memang itulah hakikatnya dan ia disedari oleh penyokong-penyokong Pas tetapi malangnya di dalam parti itu mereka diasuh untuk taat kepada pemimpin, tidak boleh ingkar atau bantah, kalau bantah nanti dituduh 'menjadi boneka UMNO'.
Kita tidak perlu membuang masa untuk menasihatkan pemimpin dan penyokong Pas kerana pandangan dan mungkin juga hati mereka sudah ditutup untuk melakukan pengimbangan bagi membuat keputusan yang tepat dalam berpolitik.

Biarlah rakyat terutamanya umat Islam menilai sendiri apakah begitu sikap sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam? Apakah Islam menggalakkan pendekatan yang boleh menimbulkan huru-hara dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau melahirkan pendapat?

Dan kita juga percaya, umat Islam akan lebih tahu bagaimana untuk mendapatkan pertolongan dan petunjuk Allah bagi mengetahui antara kebenaran dan kepalsuan, seseorang itu dianiaya atau tidak dan antara yang betul dan salah.

Pas perlu ingat, mereka mungkin boleh berbangga kerana mempunyai kehebatan mengumpul orang turun ke jalanan tetapi itu bukanlah penentu mereka boleh menjadi parti yang berkuasa di negara ini, apatah lagi selagi berkawan dengan PKR dan DAP.

Ia kerana Pas dalam pakatan pembangkang, hakikatnya hanyalah penyokong dan bukannya peneraju kepimpinan. Itulah nasib puak yang bersedia menjadi 'pak turut' akibat ghairah memburu kuasa!

UTUSAN MALAYSIA.