Wednesday, August 29, 2012

KENYATAAN MEDIA GPRS.



Sebanyak 1,378  kawasan rumah pangsapuri dan kondominium tidak pernah menikmati 20 meter padu air percuma seperti dijanjikan oleh Kerajaan Negeri dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 lalu.

Jesteru, Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) menuntut kerajaan negeri Selangor untuk menunaikan janji pilihan raya dengan memberi pampasan kepada isi rumah yang tidak terima air percuma seperti yang dijanjikan ini.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jumlah tersebut diperoleh hasil daripada aduan dikemukakan oleh rakyat dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) setakat ini.

“Jumlah tersebut melibatkan kira-kira sebanyak lebih RM300juta kerana Kerajaan Negeri berhutang tunggakan selama 50 bulan sejak PRU12.

“Petaling Jaya merupakan kawasan paling banyak iaitu sebanyak 479 kawasan tidak dapat menikmati subsidi air percuma dijanjikan Kerajaan Negeri diikuti dengan Gombak (462) dan Klang (273).

“Sepatutnya setiap rakyat menerima 20 meter padu setiap bulan seperti dijanjikan atau bersamaan dengan RM11.40,” katanya pada sidang media di pejabat GPRS di Seksyen 19 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad yang menyatakan buat masa ini Kerajaan Negeri tidak akan membayar tunggakan kepada mereka yang tidak menikmati air percuma itu. selain menyalahkan pengguna kerana tidak menukar meter pukal.

“Ini adalah kenyataan dangkal pemimpin pakatan pembangkang yang tidak memikirkan masalah pengguna di flat kos rendah dan apartment yang kebanyakannya berpendapatan kecil. Kegagalan memberikan air percuma secara adil kepada rakyat menunjukkan pakatan pembangkang ketika berjanji pada pilihan raya umum yang lalu, tidak membuat kajian secara menyeluruh,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Selayang.

Tambahnya, sebagai rakyat wajar mereka menikmati dasar air percuma dijanjikan oleh Kerajaan Negeri. Malah berdasarkan manifesto tersebut juga jelas menyatakan bahawa semua penduduk di negeri ini layak menerima air percuma dan tidak dinyatakan meter pukal atau sebaliknya tidak layak menerima.

Beliau turut membidas Kerajaan Negeri yang didakwa menjadikan masalah meter pukal sebagai alasan mengapa rakyat tidak dapat menikmati dasar air percuma tersebut.

“Semua rakyat yang memegang akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sepatutnya menikmati janji tersebut kerana tidak dinyatakan meter pukal tidak layak atau sebagainya.

“Memandangkan mereka yang menggunakan meter pukal tidak dapat menikmati air percuma itu maka wajarlah Kerajaan Negeri membayar tunggakan kepada rakyat. Mana perginya wang lebih RM300juta itu?,” katanya.

Sohaimi berkata, beliau telah mendapat nasihat peguam berhubung perkara tersebut dan difahamkan terdapat klausa tertentu yang membolehkan rakyat untuk menuntut hak mereka.

Katanya, beliau turut melancarkan laman blog  www.hasrat-selangor.blogspot.com untuk dilayari rakyat yang mempunyai sebarang masalah berhubung air.

“Kita akan menyediakan khidmat guaman percuma untuk membantu rakyat berhubung perkara ini demi mendapatkan kembali hak mereka. Malah mereka boleh buat sebarang aduan atau maklumat di laman tersebut di mana kita akan kemaskinikan semua perkara menerusi blog tersebut,” katanya.

Sohaimi berkata, beliau mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memberi respon dalam masa terdekat berhubung isu ini.

Katanya, beliau menyeru rakyat negeri ini untuk sama-sama bangkit kerana banyak janji yang dibuat didakwa tidak ditunaikan oleh Kerajaan Negeri

“Kita mahu Kerajaan Negeri bertindak dalam masa terdekat ini bagi menangani masalah ini. Rakyat juga perlu sedar ini janji bertulis yang dibuat oleh Kerajaan Negeri pada semua rakyat tapi tak dapat dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment