Sunday, December 30, 2012

MB SELANGOR TIDAK PERLU SEANGKUH INI.



Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sanggup menunggu sehingga 100 tahun untuk menyelesaikan isu air walaupun Selangor diancam krisis bekalan air menjelang 2015 sebagai angkuh dan pentingkan diri sendiri.

Pengerusinya, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, pendirian itu senada dengan kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk George bahawa Abdul Khalid lebih mengutamakan politik daripada kepentingan rakyat seperti yang disiarkan dalam akhbar semalam.

Isu air bukan perkara yang boleh diambil mudah tetapi Abdul Khalid menganggapnya sebagai satu mainan pakatan pembangkang yang memerintah Selangor untuk mengekalkan kuasa mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“GPRS kesal kerana mempunyai pemimpin yang ‘singkat akal’ kerana sering mengeluartkan kenyataan-kenyataan sempit dan mengelirukan semata-mata mahu menghalalkan keputusan bodoh yang dibuat oleh beliau dan exco kerajaan negeri.

Sebelum ini GPRS mengetuai perjuangan rakyat menuntut air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan kepada rakyat seperti yang dijanjikan pada pilihan raya umum yang lalu, tetapi Abdul Khalid dengan angkuh mengatakan bahawa manifesto pilihan raya itu bukan janji yang perlu dilunaskan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada kenyataan itu rakyat perlu sedar bahawa kerajaan negeri sekarang langsung tidak boleh dipercayai dan tidak perlu dipilih lagi pada pilihan raya umum akan datang kerana semua janji yang dilaungkan hanya janji palsu semata-mata.

“Setakat hari ini, 6,000 saman telah difailkan dan masih ada banyak lagi dalam senarai menunggu, semua daripada rakyat Selangor yang tidak puas hati kerana tidak menerima air percuma seperti dijanjikan. Saya percaya jumlah saman itu boleh mencecah sehingga 50,000 kerana ramai rakyat Selangor yang tidak menikmati air percuma itu sejak pakatan rakyat menguasai negeri ini.

GPRS juga mendedahkan mengenai kekurangan bekalan air terawat terutama di beberapa kawasan di Selangor akibat pertambahan penduduk tetapi Abdul Khalid dan exco tetap berdolak-dalik mengatakan bekalan air mentah masih mencukupi.

Itu membuktikan bahawa Abdul Khalid dan barisan exco yang dilantik hanya ‘tahu bercakap tetapi tidak tahu membuat kerja’ kerana rakyat memerlukan bekalan air air terawatt, bukannya air mentah. Abdul Khalid boleh menggunakan air mentah dari sungai Klang sekiranya beliau mahu tetapi rakyat Selangor mahukan air terawat daripada loji-loji rawatan sedia ada,” tambahnya.

Dalam isu air ini, bukan rakyat yang tidak faham tetapi Abdul Khalid dan barisan exconya.Ini kerana GPRS mendedahkan bahawa beberapa empangan di negeri ini mengalami penyusutan air sebanyak 40 peratus dan memberi implikasi kepada pengguna di Lembah Klang.

Tetapi malangnya Abdul Khalid langsung tidak mencari penyelesaian jangka panjang sebaliknya memberi kenyataan retorik mengatakan bahawa kerajaan negeri akan menggunakan teknologi membrane untuk membenihkan awan, kerana cadangan itu hanya sesuai untuk mengatasi masalah jerebu.

Bagi mengatasi krisis air 2015, kerajaan Pusat bercadang untuk membina Loji Langat 2 dengan membawa bekalan air mentah dari Pahang namun projek ini mendapat tentangan daripada kerajaan negeri pimpinan Selangor yang melaungkan konsep Negeri Berkebajikan itu.

Mereka langsung tidak memikirkan implikasi lebih besar terhadap pengguna sebaliknya lebih ghairah untuk menguasai kepentingan dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang sebelum ini terbukti menjalankan tugas dengan baik dalam menyediakan perkhidmatan air kepada rakyat.

Lebih memalukan apabila bekas ahli korporat itu mahu membawa air dari Tasik Kenyir sedangkan kosnya jauh lebih tinggi berbanding membawa air dari Pahang, mereka juga enggan untuk berbincang dengan kerajaan Pusat untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Sudah tentu kerajaan negeri tidak berminat untuk menyelesaikan masalah ini kerana tempoh pemerintahan tinggal bebarapa bulan sahaja lagi dan  GPRS menasihati rakyat agar tidak memberi mandat kepada kerajaan yang bodoh sombong ini.

Buatlah keputusan yang tepat pada pilihan raya umum akan datang ini kerana kesilapan memberi mandat kepada parti yang tidak tahu mentadbir membawa padah yang buruk. Ini bukan masa untuk bereksperimen lagi kerajna kerajaan negeri sedia ada sudah terbukti gagal.

Tuesday, December 18, 2012

MUFLIS : ADA PELUANG KE DUA ?



Tampil beri kerjasama dan pandangan untuk cari penyelesaian. Itu peluang menanti mereka yang disenaraihitamkan serta diisytihar muflis terutama golongan muda bagi mendapatkan kembali hak serta bebas dari belenggu bankrap.

Menerusi pengumpulan maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda UMNO bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membawa semua pendapat berkenaan ke pengetahuan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk pertimbangan selanjutnya.

Menjelaskan perkara itu, Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan inisiatif itu berikutan rekod sedia ada menunjukkan lebih 240,000 orang muflis termasuk kakitangan kerajaan dan usahawan tidak mendapat pembelaan.

Katanya, hasil pertemuan bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di Putrajaya baru-baru ini, terdapat ruang untuk mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan komitmen kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 lalu.

“Kita mahu mereka ini tampil untuk memberikan pandangan serta bekerjasama dengan kita. Hasil daripada maklumat itu, kita akan bawa kepada pengetahuan pihak berkuasa dan saya yakin, akta baru nanti memberikan lebih ruang kepada orang yang bankrap untuk mendapat peluang kedua.

“Difahamkan, hanya dua puluh peratus saja yang berjaya dikenalpasti sementara bakinya tidak diketahui. Kita bimbang jika tidak dicegah, ia akan mengancam masa depan serta produktiviti negara,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Muflis @ Bankrap di sini, petang tadi.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Karim Said Khadaied.

Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU), Pemuda Umno, berkata, orang ramai boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua bagi tujuan itu.

Menurutnya, satu forum berkaitan isu berkenaan akan diadakan penghujung Januari depan dengan menghimpunkan mereka yang muflis untuk berbincang mengenai masalah terbabit dengan penyertaan beberapa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menjawab segala perkara berbangkit.

“Kita juga melantik artis Fizo Omar sebagai duta kerana dia juga diisytihar muflis, jadi saya berharap orang ramai mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Friday, December 14, 2012

MANIFESTO BUKAN JANJI : RAKYAT SELANGOR SEMAKIN FAHAM PENIPUAN PAKATAN.



Umpama perlawanan tinju, kisah pertembungan antara kumpulan ibu tunggal yang menuntut hak mereka berdasarkan janji pilihanraya umum Pakatan Rakyat 2008 dengan kerajaan Selangor akan jadi perlawanan klasik.
Sudah pasti akan mendapat liputan meluas, berikutan sebelum ini ada macam-macam hu ha apabila Persatuan Ibu Tunggal Negeri Selangor menuntut elaun yang dijanjikan kepada mereka di dalam manifesto pembangkang pada 2008.
Namun janji tinggal janji, dan lebih perit lagi apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan berkata manifesto bukan janji.
Berikutan itu, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Negeri Selangor Murtini Kasman mewakili lebih 3000 ahlinya menfailkan saman terhadap kerajaan negeri.
Dan kemudiannya, salah seorang exco Selangor, Rodziah Ismail mengancam akan melakukan saman balas.
Menurut Murtini Kasman, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada peguam Tetuan Kamarudin & Partners, Kamarudin Ahmad kerana ia sudah dibawah bidang kuasa perundangan.
"Saya serahkan pada peguam kerana ia sudah jadi kes mahkamah. Saya tidak akan menganggu kes mahkamah.
"Cuma, saya hanya menuntut janji yang dijanjikan dan terus akan perjuangkan walaupun pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada saya, saya terima," katanya yang ditemui selepas memfailkan saman tuntutan terhadap kerajaan Selangor di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Rodziah sebelum ini yang mempertimbangkan untuk membuat saman balas kepada Persatuan Ibu Tunggal Negeri Selangor demi mengekalkan integritinya selaku Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kebudayaan.
Sementara itu, Kamarudin yang ditemui selepas memfailkan saman tuntutan itu berkata, seramai 3011 ibu tunggal dari Shah Alam, Tanjung Karang, Hulu Langat dan Gombak menuntut ganti rugi berjumlah RM 16,259,400 iaitu pada kadar RM100 selama 54 bulan yang dikira mulai 1 April 2008 bagi setiap plaintif.
Menurutnya, kesemua plaintif menuntut Representasi dan Deklarasi seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat pada 2008.
Antaranya ialah meminta defendan untk mewujudkan satu skim yang dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor dan meminta defendan pertama melantik jabatan atau agensi defendan pertama untuk menguruskan skim tersebut.
"Saman yang difailkan hari ini menuntut satu deklarasi supaya mahkamah memerintahkan kerajaan Selangor membayar elaun ibu tunggal kepada mereka yang dikategorikan sebagai wanita yang telah bercerai, balu, dan sebagainya.
"Ibu tunggal sebagai plaintif memohon diperintahkan kerajaan Selangor mewujudkan satu skim bantuan ibu tunggal di mana elaun sebanyak RM100 sebulan dibayar kepada ibu tunggal mulai 1 April 2008," katanya.-12/12/2012 *gambarfail

AGENDADAILY

Monday, December 10, 2012

SAMAN RAKYAT SELANGOR : MANA PERGI DEMOKRASI PAKATAN ?


Kenyataan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Samad bahawa Kerajaan Negeri akan  mengambil tindakan undang-undang kepada peserta demonstrasi yang menuntut tunggakan air percuma membuktikan Kerajaan Negeri Selangor hari ini tidak mengamalkan demokrasi.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, demonstrasi tersebut dilakukan oleh penghuni rumah flat dan apartmen yang dinafikan hak mereka untuk memperoleh air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan yang memang disebut dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Pada Jun 2008, kerajaan pakatan pembangkang yang mengambil alih pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12  Mac tahun itu, memperkenalkan subsidi sebanyak RM11.40 kepada rakyat Selangor di bawah Skim Air Percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.

“Malangnya bukan semua rakyat di negeri ini yang menikmati skim itu kerana pelaksanaannya hanya melibatkan pengguna meter individu, bukan meter pukal.

Peserta demonstrasi yang terdiri daripada rakayat berbilang kaum melakukan tunjuk perasaan secara aman kerana tidak puas hati dengan kegagalan kerajaan pakatan pembangkang  melaksanakan janji tersebut walaupun sudah hampir lima tahun memerintah.

Lebih menyedihkan apabila Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka tanpa usul periksa membuat tuduhan secara ‘mala fide’ bahawa peserta demonstrasi berkenaan bukan penghuni di kawasan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Gerakan Prihatin Rakyat Selangor GPRS) turut mempersoal tujuan pemimpin Pas itu menuduh peserta demonstrasi menerima ugutan dan tidak dimaklumkan tujuan sebenar bantahan.

Sepatutnya Iskandar perlu membuat siasatan terperinci sebelum membuat kenyataan dangkal itu di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana penghuni-penghuni terbabit sudah  pun membuat tuntutan saman di mahkamah. Setakat ini sebanyak 6,000 saman penduduk di Selangor telah difailkan berhubung tuntutan tersebut.

“Jumlah saman itu adalah daripada tujuh kawasan Parlimen di negeri Selangor dan kemungkinan jumlah tersebut akan terus meningkat berdasarkan kepada senarai menunggu untuk difailkan.

Setakat ini, tiga kumpulan pengguna air daripada kawasan penduduk Kinrara, Puchong, Bukit Mahkota Cheras melibatkan 1,313 pengguna telah membuat tuntutan tunggakan subsidi RM748,410, manakala 2,020 penduduk Shah Alam dan Petaling Jaya (RM1.15 juta) sementara dari Seksyen 7 dan 18 Shah Alam melibatkan 711 orang dengan tuntutan RM450,270.

Iskandar tidak perlu menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri dan kegagalan pakatan pembangkang melaksanakan janji-janji pilihan raya dengan menakut-nakutkan rakyat kononnya peserta demontrasi akan dibawa ke muka keadilan. Inikah demokrasi yang diamalkan oleh Negeri Berkebajikan?,” tambahnya.

Apakah rakyat tidak boleh menuntut hak mereka seperti mana yang dijanjikan? Jika itu yang dilakukan, ternyata kerajaan pembangkang mengamalkan pemerintahan kuku besi dan sanggup mengugut rakyat untuk menutup mulut mereka daripada berkata tentang kebenaran.
Sudahlah mengamalkan diskriminasi apabila rakyat yang berhak mendapatkan air percuma itu kebanyakannya berpendapatan rendah, mereka diugut pula untuk dikenakan tindakan undang-undang kerana ‘menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pembohongan-pembohongan kerajaan pakatan pembangkang’.

“Sudah tentu GPRS tidak akan berdiam diri dan berikrar untuk terus membantu rakyat yang merintih kerana menjadi mangsa pembohongan dan kemudian ditindas pula oleh Kerajaan Negeri yang kononnya mengamalkan konsep Negeri Berkebajikan.

GPRS juga akan terus menggerakkan inisiatif membantu rakyat yang menuntut hak berkenaan daripada Kerajaan Negeri yang diterajui oleh PKR dan sekutu mereka, DAP dan Pas.

Pada masa yang sama, GPRS mengajak rakyat agar tidak terpedaya lagi dengan janji manis pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang dan menolak kerajaan yang gagal melaksanakan janji yang termaktub dalam manifesto,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Sumber