Monday, October 10, 2011

PROGRAM JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA MENDAPAT SAMBUTAN.


MUAR 9 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO menyasarkan 6,000 generasi muda melibatkan diri dalam perniagaan francais melalui program Jelajah Francais 1Malaysia ke seluruh negara selama enam bulan, bermula hari ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, beliau yakin program transformasi ekonomi itu dapat mencapai matlamatnya berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada golongan muda.

"Pemuda UMNO tidak lagi mahu menumpukan politik semata-mata tetapi membantu kerajaan untuk melaksanakan tranformasi ekonomi dengan melahirkan usahawan di kalangan generasi muda,” katanya selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia peringkat negeri Johor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta anggota Parlimen Muar menyeru belia terutama yang baru mencuba bidang perniagaan supaya memberanikan diri dengan menceburkan diri dalam perniagaan francais.

Beliau berkata perniagaan francais berisiko rendah dan mampu melonjakkan pendapatan belia yang bekerja dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Katanya, ketika ini terdapat 588 produk francais boleh diceburi yang meliputi bidang makanan, perkhidmatan dan pendidikan.

"Perniagaan francais tidak mempunyai risiko kerana untungnya sudah ditentukan francaisor. Belia cuma perlu berani dan bersedia berkorban tiga atau empat bulan sebelum mula memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada bekerja ”makan gaji”,” katanya.

Dalam pada itu, Razali turut menyarankan pengusaha Mi Bandung Muar supaya mengembangkan perniagaan mereka secara francais.

Beliau berkata Mi Bandung Muar sudah dikenali ramai di negara ini tetapi makanan itu masih belum disenaraikan sebagai salah satu daripada produk francais di negara ini. - Bernama

Saturday, October 8, 2011

Friday, October 7, 2011

VIDEO PELANCARAN JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA.

FOTO PERASMIAN MAJLIS JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah program Jelajah Francais 1Malaysia telah berjaya dilangsungkan pada 6 oktober 2011. Perasmian ini dilakukan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri ,Menteri Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan.

2.Jelajah Francais 1Malaysia ini bermatlamat mahu melahirkan lebih ramai usahawan di seluruh negara yang berminat untuk terlibat dalam perniagaan francais. 

3.Kerjasama antara Kementerian,Perdasama Muda, Biro Ekonomi Pemuda Umno dan MFA telah membuka satu ruang peluang kepada aperantis peniaga baru untuk memulakan perniagaan. Insyaallah pihak kami telah menyusun langkah untuk mengadakan roadshow Jelajah Francais 1Malaysia di seluruh negara dalam masa terdekat.

4. Ucapan penuh Menteri KPDNKK dan saya akan dipublishkan secepat mungkin dalam blog ini. 










Tuesday, October 4, 2011

BAJET 2012 : JAMINAN PM.

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kerajaan bakal mengumumkan beberapa inisiatif di dalam Belanjawan 2012 pada Jumaat ini khusus untuk menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah yang kini terpaksa berhadapan dengan cabaran persekitaran ekonomi cukup hebat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, susulan inisiatif-inisiatif itu kerajaan akan mengekalkan momentum ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.

''Melalui bajet itu kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara dan kita akan menerangkannya secara terperinci. (Apa yang penting) Apa-apa program yang akan kita laksanakan adalah di bawah lingkungan kemampuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, prestasi ekonomi negara terus berkembang walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran negara-negara luar antaranya kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta krisis hutang kerajaan negara Eropah.

''Sebagai negara perdagangan, persekitaran tidak menentu ini sudah tentu memberi kesan kepada ekonomi negara melalui hubungan kewangan dan pasaran kewangan.

''Namun keadaan ini dijangka hanya memberi kesan yang minimum memandangkan negara mempunyai kekuatan daya tahan, asas ekonomi yang mapan serta perancangan ekonomi yang kukuh," katanya lagi.

Mengenai prestasi ekonomi semasa beliau berkata, dalam tempoh separuh pertama 2011 ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dan angka itu dicatatkan dalam persekitaran yang mencabar terutama selepas berlakunya gempa bumi di Jepun.

''Namun begitu kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua adalah lebih baik melalui perbelanjaan dan permintaan domestik serta kecergasan aktiviti pelaburan. Kita jangka perbelanjaan pengguna terus mencatat pertumbuhan ekoran harga komoditi yang kekal tinggi dan prospek pekerjaan yang stabil," katanya.