Monday, October 10, 2011

PROGRAM JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA MENDAPAT SAMBUTAN.


MUAR 9 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO menyasarkan 6,000 generasi muda melibatkan diri dalam perniagaan francais melalui program Jelajah Francais 1Malaysia ke seluruh negara selama enam bulan, bermula hari ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, beliau yakin program transformasi ekonomi itu dapat mencapai matlamatnya berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada golongan muda.

"Pemuda UMNO tidak lagi mahu menumpukan politik semata-mata tetapi membantu kerajaan untuk melaksanakan tranformasi ekonomi dengan melahirkan usahawan di kalangan generasi muda,” katanya selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia peringkat negeri Johor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta anggota Parlimen Muar menyeru belia terutama yang baru mencuba bidang perniagaan supaya memberanikan diri dengan menceburkan diri dalam perniagaan francais.

Beliau berkata perniagaan francais berisiko rendah dan mampu melonjakkan pendapatan belia yang bekerja dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Katanya, ketika ini terdapat 588 produk francais boleh diceburi yang meliputi bidang makanan, perkhidmatan dan pendidikan.

"Perniagaan francais tidak mempunyai risiko kerana untungnya sudah ditentukan francaisor. Belia cuma perlu berani dan bersedia berkorban tiga atau empat bulan sebelum mula memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada bekerja ”makan gaji”,” katanya.

Dalam pada itu, Razali turut menyarankan pengusaha Mi Bandung Muar supaya mengembangkan perniagaan mereka secara francais.

Beliau berkata Mi Bandung Muar sudah dikenali ramai di negara ini tetapi makanan itu masih belum disenaraikan sebagai salah satu daripada produk francais di negara ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment