Friday, December 30, 2011

IMBASAN MENARIK PERDANA MENTERI SEPANJANG 2011.


Apabila sampai ke penghujung setiap tahun, kita selalu merasakan seolah-olah masa telah berlalu dengan terlalu cepat. Bagi saya, tahun ini terasa pendek kerana telah begitu banyak perkembangan dan pencapaian positif yang dicatat. Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang telah saya dokumenkan dalam platform online saya: -

Usaha-usaha 1Malaysia Kerajaan
Adalah menjadi tanggungjawab saya dan Kerajaan yang saya pimpin untuk mendengar dan peka terhadap keperluan rakyat. Atas keprihatinan terhadap tanggungjawab ini, maka kita telah melancarkan pelbagai program untuk Rakyat seperti Program Perumahan 1Malaysia atau PR1MA bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah mereka sendiri. Dalam menangani isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup Rakyat, saya telah mengumumkanNKRA ke-7 yang baru dalam GTP, iaitu Menangani Kos Sara Hidup Yang Kian Meningkat.
Isu kenaikan kos juga ditangani dengan pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia atau KR1M – yang bermula di Kelana Jaya dan kemudian berkembang ke seluruh negara – diikuti dengan Menu Rakyat 1Malaysia, di mana sarapan pagi dan makan tengah hari dijual oleh restoran yang mengambil bahagian pada harga tetap RM2 dan RM4.
Menyedari keperluan untuk menggalakkan pembangunan generasi muda Malaysia, Dana Belia 1Malaysia telah dilancarkan untuk membiayai idea-idea dan projek dari golongan belia. Dana ini pertama kali diumumkan pada Bajet 2011.
Banyak lagi program-program yang telah diumumkan dalam Bajet 2012, yang tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah, kawasan luar bandar, belia dan perkhidmatan awam. Salah satu daripadanya adalah program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, satu program bantuan kewangan untuk rakyat Malaysia yang tinggal dalam isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ekonomi
Dalam laporan kemudahan menjalankan perniagaan 2011 oleh Bank Dunia, Malaysia telah tersenarai dalam kedudukan 20 teratas dan berkongsi kedudukan pertama di dunia dari segi kemudahan mendapatkan pinjaman perniagaan. Ini menunjukkan bahawa Program Transformasi Ekonomi atau ETP sudah pun mendatangkan hasil. Sewaktu pembentangan perkembangan ETP pada bulan September, sepanjang separuh pertama tahun ini, Malaysia sudahpun menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga RM21.3 bilion.
Menjelang ulang tahun pertamanya pada bulan Oktober, ETP telah membantu Malaysia mencapai pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM228.55 bilion dan pelaburan komited bernilai RM171.21 bilion, dengan menyediakan sebanyak kira-kira 372.361 peluang pekerjaan.

Tugasan Antarabangsa
Tahun 2011 juga telah melihatkan negara kita mengeratkan lagi hubungan pasaran antarabangsa dan memperkukuh lagi rangkaian perniagaan Malaysia untuk membantu memangkinkan program-program transformasi negara.
Tahun ini saya telah melakukan lawatan rasmi saya yang pertama ke United Kingdom atas jemputan Perdana Menteri Britain, David Cameron, di mana saya diberikan peluang untuk menjemput ketua-ketua industri negara tersebut untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia. Saya juga telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan mengenai “Gabungan Kesederhanaan dan Persefahaman Antara-Peradaban” di Teater Sheldonian di Oxford, England.
Pada bulan Mei, saya telah menghadiri Invest Malaysia New York 2011 di New York, Amerika Syarikat. Acara itu telah berjaya menjaminkan Malaysia antara RM5 dan RM6 bilion pelaburan baru bagi dua hingga tiga tahun akan datang. Saya juga telah bercakap mengenai Pelan Induk Digital Malaysia yang sedang dalam pembangunan sewaktu menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di New York Academy of Sciences yang telah dipengerusikan oleh saya sendiri.
Saya juga telah berada di Jepun untuk Persidangan Nikkei Antarabangsa ke-17 di Tokyo di mana saya menerima pengesahan bahawa sebanyak kira-kira RM3.8 bilion dalam nilai pelaburan akan disumbangkan oleh firma-firma Jepun ke negara kita.
Pada tahun ini saya telah menghadiri beberapa persidangan antarabangsa seperti CHOGM di Perth, Australia,Sidang Kemuncak APEC di Honolulu, Hawaii dan Sidang Kemuncak ke-19 Asean di Bali, Indonesia. Di Hawaii, saya telah diberi penghormatan untuk memberikan pandangan saya mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) di pusat East-West Center yang berprestij.

Bersama Rakyat
Pada tahun ini, saya telah meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan interaksi saya dengan Rakyat melalui platform media sosial. Pada bulan Januari, saya telah menjemput orang ramai untuk menanyakan soalan kepada saya melalui Twitter dan Facebook dengan menggunakan tanda hash #Tanyanajib. Saya tidak menjangka akan menerima respon yang begitu hebat tetapi saya berjaya menjawab beberapa soalan yang diajukan, termasuklah yangpelik-pelik.
Pada bulan Februari, saya telah mengadakan sesi minum petang bersama 600 rakan-rakan online saya di Seri Perdana. Saya kemudiannya memperkenalkan Mari Berjumpa, Mari Berhubung untuk bertemu rakan-rakan saya yang tinggal di luar Lembah Klang apabila saya membuat lawatan kerja ke seluruh negara. Saya merasa sangat teruja kerana dapat juga bertemu dengan lebih ramai lagi rakan-rakan iaitu dari Kelab Najib Razak atau NRC11, kali ini sambil bersarapan pagi di Petaling Jaya.
Tahun ini saya telah diberikan banyak peluang untuk berhubung dengan golongan belia, terutama sekali pada Konsert Suara Kami yang telah saya hadiri selepas menerima begitu banyak “retweets”, undangan dan permintaan secara online untuk hadir. Tidak lama selepas itu, saya telah dijemput untuk melakukan “Gotcha” di radio oleh krew pagi Hitz.fm. Saya juga telah membuat penampilan pada rancangan pagi di Radio EraMix.fm dan Hot.fm.
Pada bulan Jun, saya telah memperkenalkan Meja Bulat 1Malaysia, platform interaktif untuk Rakyat Malaysia memberikan komen, cadangan atau idea yang adil dan membina, untuk memperbaiki kehidupan dan keadaan Rakyat Malaysia. Saya juga telah mengambil bahagian dalam satu sesi di mana saya telah membincangkan topik mengenaibajet untuk pertumbuhan mampan.
Pada tahun ini juga, saya telah memperkenalkan beberapa barangan rasmi 1Malaysia yang telah banyak saya edarkan melalui kempen Barangan Rasmi 1Malaysia sewaktu sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Kempen itu turut menjemput rakyat Malaysia untuk menghantar foto Jalur Gemilang, yang telah saya muatkan ke dalam Album 1Malaysia Jalur Gemilang di laman Flickr saya.
Memandangkan jadual kerja saya yang sentiasa sibuk, saya telah mulakan Imbasan 1Minggu pada bulan September, yang merumuskan aktiviti saya sepanjang minggu. Satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan media sosial saya ialah apabila saya memperkenalkan Aplikasi Mobile saya sendiri baru-baru ini, untuk kegunaan telefon pintar yang boleh anda muat turun melalui laman Facebook dan laman web saya. Memandangkan saya bercadang untuk memberikan nafas baru kepada laman web saya tahun depan, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah mengambil bahagian dan memberikan maklum balas yang berharga dalam tinjauan ringkas (survey) online saya pada bulan Oktober lepas.
2011 merupakan tahun yang sungguh berwarna-warni bagi saya dan saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan anda. Kepada rakan-rakan online saya khususnya, yakinlah bahawa saya membaca semua komen, idea, aduan dan ucapan selamat anda dan saya telah cuba sedaya upaya untuk memberikan respon saya. Harapan saya adalah agar anda akan terus bersama-sama dengan saya dalam mencatat lebih banyak lagi kemajuan positif di tahun hadapan, dalam semangat dan amalan 1Malaysia.

Friday, December 23, 2011

FOTO MAHASISWA YANG MENGUNTUNGKAN NEGARA.


Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1.Polemik dan keterujaan sekelumit mahasiswa yang beria mahu memperjuangkan idelisme BEBAS sudah memakan diri.

2. Jelas dari kronologi yang berlaku sepanjang minggu ini memperlihatkan kita bahawasanya mereka keliru dalam menjawat status yang mereka wakili. Keliru dalam menjadi mahasiswa ataupun perusuh jalanan.

3. Saya berkesempatan melawat pameran LIMA yang diadakan pada bulan yang lepas.

4. Foto di atas adalah keterlibatan mahasiswa yang mewakili IPTA masing-masing sewaktu pameran LIMA.

5. Walaupun saya tidak sempat menjengah pameran yang dipertontonkan, namun ia telah memperlihatkan kita pada satu perkara.

6. Sebenarnya majoriti mahasiswa IPTA dan IPTS lebih cenderong dalam memajukan diri. Jelas mereka ini mahu menjayakan ide kejayaan akedemik daripada memekik memperjuangkan ide kebebasan akedemik.

7. Syabas kepada seluruh majoriti mahasiswa yang faham akan tugas mereka kepada keluarga dan negara.

Monday, December 19, 2011

PAKATAN SELANGOR BERTELAGAH.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Merujuk kepada keratan akhbar Sinar Harian di atas, saya melahirkan rasa ingin tahu akan pandangan pimpinan tertinggi PAS dan PKR akan cita-cita besar DAP mahu calonnya menjawat jawatan Menteri Besar Selangor selepas PRU ke 13 nanti ?

2. Apa sudah jadi dengan perjanjian mahupun konsensus pembahagian kerusi ?

3. Apa sudah jadi dengan kesepakatan yang sibuk diwar-warkan sebagai padu dalam pentas ceramah ?

4. Bila DAP secara terbuka mahu meletakkan ramai calon melayu pada pru ke 13 akan datang, tidakkah ia sebenarnya telah menyekat peluang calon PAS dan PKR .

5. Jika sebelum PRU ke 13 pun pakatan sudah menampakkan sikap gelojoh dan tamak, apa pula yang bakal berlaku selepas PRU 13 berlangsung.

6. Sebelum ini kita dipertontonkan berulang kali baik dalam kenyataan media mahupun laporan web akan pertindihan dan perebutan kerusi Parlimen dan DUN yang mereka mahu tandingi.

7. PKR menuntut kawasan bukan melayu, PAS menuntut kawasan campuran dan DAP pula menuntut  kesemuanya.

8. Pertelagahan besar mereka sedang berlaku di Johor. Bagaimana DAP menghentikan mesyuarat pembahagian kerusi dengan PKR hinggakan insiden ugut mengugut berlaku.

9. DAP di selangor sudah mengintai kerusi MB. Apa pandangan Tan Sri Khalid Ibrahim ? Apa pula komen Azmin Ali dan yang utama kenapa hingga ke hari ini PAS selangor masih berdiam diri. 

10. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini rakyat senantiasa dihidangkan dengan cerita perebutan kerusi DUN dan Parlimen oleh pakatan hinggakan kita tertanya jika siang malam mereka asyik bercerita bila agaknya mereka meluang masa membuat kerja untuk rakyat.