Ketiga-tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri - secara serentak memulakan perhimpunan agung masing-masing pada pukul 8 pagi ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Perhimpunan agung kali ini dijangka menumpukan kepada pengukuhan jentera pilihan raya parti dalam persediaan tunjang parti pemerintah itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Perhimpunan agung Wanita yang menghimpunkan 944 perwakilan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail manakala sayap Pemuda yang diwakili 942 anggota berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn dan Puteri Umno dengan 934 perwakilan di Dewan Merdeka.
Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti dirasmikan serentak Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan sebagai berkata bahawa pergerakan itu memfokuskan kepada perpaduan dan disiplin kerana aspek berkenaan sangat penting dalam persediaan ke "medan perang" bagi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula dilaporkan sebagai berkata bahawa pergerakan itu akan menumpukan kepada program-program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, supaya ia lebih difahami dengan jelas para perwakilan khususnya generasi muda.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dilaporkan berkata pergerakan itu akan membangkitkan isu-isu membabitkan generasi muda.
Para perwakilan akan membahaskan ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing serta membahaskan usul ekonomi, pendidikan dan agama.
- Bernama
No comments:
Post a Comment