Saturday, November 5, 2011

SALAM AIDILADHA DARI SAYA DAN ISTERI.

  SALAM AIDIL ADHA

'IDUL ADHA disebut juga sebagai Hari Raya Korban ataupun Hari RayaHaji ataupun Hari raya Aidil-adha.

Pada hari raya ini, ramai umat Islam yang mampu menyembelih korban untuk dibahagikan kepada fakir miskin. Ramai juga umat Islam yang mencukupi syarat, menunaikan Ibadah Haji ke Baitullah ilharam (Makkah).

Semangat pengorbanan yang telah dibuktikan oleh Nabi Ibrahim a.s. dilanjutkan pula oleh umat Islam untuk membantu mereka yang susah. Jika sifat suka berkorban ini meresap ke jiwa seluruh umat Islam, IsyaAllah akan wujud ketenangan dan kedamaian dalam masyarakat dan akan dekatlah jurang yang memisahkan di antara yang kaya dengan yang miskin, di antara yang kuat dengan yang lemah, di antara penguasa dengan rakyat biasa.

Mereka yang kaya mengorbankan sebahagian daripada hartanya untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan, seperti yang biasa dialami oleh fakir miskin, yatim piatu ataupun sesiapa yang memerlukan pertolongan. 

Mereka yang telah menerima bantuan sepatutnya mensyukurinya dan berusaha dengan sekuat tenaga serta tidak hanya bergantung kepada pemberian orang.

Ibadah Haji ialah ibadah yang diwajibkan kepada mereka yang mampu mengerjakannya sekali seumur hidup. Allah S.W.T berfirman yang maksudnya :

"Dan serulah manusia untuk mengerjakan Haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus (disebabkan jauhnya berjalan) yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebutkan nama Allah pada hari yang ditentukan, kerana rezeki yang Allah S.W.T telah anugerahkan kepada mereka berupa binatang ternakan. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berilah makan kepada orang yang sengsara dan fakir."(Surah Al-Hajj : 27-28)

Sungguh besar manfaat yang akan diperolehi mereka yang mendapat kesempatan menunaikan ibadah haji, di antaranya, InsyaAllah akan terjalin perasaan ukhuwah Islamiah sedunia, menanamkan rasa persamaan, mendidik rohani dan jasmani kita supaya tabah dan sabar menghadapi cubaan.

Dapat melihat sendiri tempat tempat sejarah Nabi Ibrahim A.S dan Ismail, tempat bersejarah ketika Rasulallah S.A.W dan sahabat berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan dan mengajak manusia ke jalan yang benar jalan yang diredhai Allah S.W.T yang terkandung dalam Islam.

Mereka yang datang menunaikan ibadah haji terdiri daripada pelbagai bangsa yang datang dari segenap penjuru dunia, dengan demikian kita saling berkenalan dan dapat mempelajari adat manusia dari berbagai bangsa dan suku puak.

Pelbagai kesukaran dari mula mempersiapkan perbelanjaan untuk yang pergi dan untuk yang ditinggalkan. Kesukaran dalam perjalanan, kesukaran menghadapi pelbagai ragam manusia, kesukaran cuaca yang berbeza dari tempat asal kita, dan sebagainya, semua itu akan membentuk diri dan peribadi kita menjadi manusia yang sabar dan tabah menghadapi cubaan hidup.

Kita berdoa kepada Allah S.W.T. semoga diampuninya segala dosa-dosa kita selama masa yang lalu, baik dosa yang mungkin kita telah lakukan terhadap diri ataupun terhadap mereka yang lemah. Kita mohon kepada Allah S.W.T semoga diterimanya segala amal ibadah kita dan akhirnya kita akan memperoleh 

Husnul Khatimah, akhir yang baik dan dapatlah kehidupan kita diberkati dan diberikan ketenangan dan diselamatkan dari segala mala petaka mungkin kerana dosa-dosa yang pernah kita lakukan sengaja ataupun tidak sengaja.

Buat kaum mulimin dan muslimat yang berada di Tanah Suci, Selamat menjalani Ibadah Haji semoga dianugerahkan oleh Allah Haji yang Mabrur

Buat keluarga serta sahabat di tanah air .... Selamat mengerjakan Ibadah Qurban dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

Dengan ingatan tulus ikhlas dari
DATO’ SOHAIMI SHAHADAN & DATIN RABIATUL ADAWIYAH

Dari Makkah Al-Mukarramah

No comments:

Post a Comment