Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan sahaja akan kekal sekiranya Barisan Nasional menang pilihanraya umum ke 13 tetapi kadarnya mungkin lebih dari RM500 yang diberi sekarang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin memberi bayangan itu ketika berucap di majlis Perhimpunan Rakyat di Padang UPSI Tanjung Malim, Sabtu malam.
" Kalau kita doa BN menang lagi, BRIM tiga, empat, lima dan enam selama-lamanya . . .dengan pendapatan yang baik hasil daripada pungutan cukai kita sampai RM125 bilion melimpah-ruah dalam tabung Perdana Menteri,kita minta naikpun saya fikir dia boleh timbangkan kalau tak banyak sangatpun dia naik pada RM500 kot-kot RM1,000, saya pun tak tahulah,’’ujarnya.
Menurut beliau kemungkinan ini tidak mustahil kerana siapa pernah menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan rakyat BR1M sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bantuan seperti BRIM ini tidak lain tidak bukan adalah usaha kerajaan membantu rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik sekaligus mengurangkan beban perbelanjaan keluarga mereka.
"Kita nak membantu dan membela rakyat bukan setakat dengan kata-kata tapi mesti kita buktikan dengan kita laksanakan,’’ katanya.
Katanya rakyat harus bersyukur kerana ekonomi negara berkembang baik dan tidak bankrap berbanding banyak negara lain seperti Greece, Sepanyol dan Italy yang sudah muflis
Muhyiddin mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan tohmahan pembangkang bahawa kerajaaan BN gagal membela nasib rakyat.
Katanya kemakmuran dan keamanan negara membuktikan kerajaan BN berada di landasan yang betul untuk terus menerajui negara.
"Semua telah elok, tersusun dan terancang, mempunyai ekonomi yang baik, tiada pergaduhan, kenapa nak sokong pembangkang?," katanya.
Muhyiddin berkata lebih 55 tahun sejak merdeka, BN telah meletakkan asas penubuhan negara bangsa yang kukuh dan kuat dan yang paling penting ketika ini adalah untuk mengekalkannya.
"Yang paling penting adalah untuk menentukan hala tuju negara dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
"Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan pada tahun 2020 Malaysia akan menjadi negara maju mengikut acuan sendiri," katanya.
Untuk rekod sejak kerajaan melaksanakan BRIM1.0, pembangkang menggunakan macam-macam helah untuk menghasut rakyat konon pemberian itu satu helah membeli undi.
Sebaliknya rakyat diperingkat akar umbi menyambut baik pemberian BRIM 1.0 dan melihatnya sebagai bukti mereka tidak dipinggirkan.
Untuk BRIM 2.0 kira-kira 6 juta orang bakal mendapat durian runtuh mulai 2 Februari ini apabila segala proses pendaftaran dan perbincangan diperingkat tertinggi selesai.
BRIM 1.0 memberi manafaat kepada 4.3 juta orang yang memperoleh RM500 setiap seorang.-6/1/2012- OLEH YUSOF HARUN
No comments:
Post a Comment