SEREMBAN 8 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat khususnya di negeri Selangor wajar menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu.
Menurut beliau, titah dan ketetapan Sultan Selangor itu adalah tepat dan baginda sebagai ketua agama mempunyai hak serta kuasa di peringkat negeri Selangor berhubung perkara tersebut.
"Titah itu juga harus dihormati kerana ada dalam Perlembagaan yang mana bidang agama kuasa terletak di bawah duli Tuanku," kata beliau di Klana Resort, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan lebih 2,000 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin tempatan, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri itu.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Sultan Selangor hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta agar kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd. Misri Idris dalam satu kenyataan berkata, berikutan gesaan itu, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa anggota Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertinggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 6 Januari lepas.
Menurutnya, baginda membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.
Dalam perkembangan lain, berhubung penarikan diri pemerhati bebas antarabangsa bagi memantau pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin menjelaskan, keputusan itu adalah hak masing-masing dan tidak wajar dipersoalkan.
"Kalau pihak tertentu tidak berminat dan merasakan sistem pilihan raya ini telus, maka tidak wajar mereka hadir untuk sama-sama memerhatikan perjalanan pilihan raya berkenaan. Itu hak mereka. Kita kena hormat dan kenapa hendak dipertikaikan," ujarnya.
Ditanya persiapan jentera Barisan Nasional (BN), Muhyiddin optimis parti itu mampu mengukuhkan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang termasuk merampas kembali kawasan yang tewas sebelum ini.
"Saya juga ingin mengingatkan, tiada isu yang berbangkit, bermakna kita kena pertahankan situasi sedia ada. Jangan kita menambah atau menokok dengan masalah baharu. Kalau ada pun kita perlu selesaikan segera kerana akan bawa masalah kepada parti.
"Ambil kira tempoh yang mendatang ini iaitu dari tarikh ini sehingga Parlimen dibubarkan yang tinggal beberapa minggu lagi. Walaupun situasi amat baik buat masa ini, apabila sampai pilihan raya kelak, situasi boleh berubah," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa gembira dengan persiapan jentera parti negeri itu serta sokongan rakyat yang semakin meningkat.
"Bilangan kerusi untuk kita menang di Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum akan datang adalah lebih baik, begitu juga di peringkat Parlimen.
"Saya nasihatkan mereka terus kukuhkan kedudukan dan perkemas gerak kerja di peringkat bahagian dan kawasan untuk meningkatkan sokongan pengundi daripada orang Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli dan sebagainya.
"Saya mahu hubungan dieratkan di peringkat bahagian," katanya.
No comments:
Post a Comment