Friday, March 1, 2013

MANIFESTO PAKATAN : KENYATAAN MEDIA


KENYATAAN MEDIA DATO’ SRI Ir MOHD ZIN MOHAMED, TIMBALAN PENGARAH PILIHANRAYA BN NEGERI SELANGOR


Manifesto yang baru dilancarkan oleh pihak Pakatan baru-baru ini nampaknya memakan diri mereka sendiri. Saya sendiri menerima banyak maklumbalas dari pelbagai pihak yang sebenarnya tidak terkesan dengan janji-janji yang dilemparkan dalam Manifesto Pakatan tersebut.

Nampaknya pihak Pakatan masih lagi memainkan cerita lapuk. Janji-janji yang ditaburkan dalam Manifesto adalah perkara sama yang diuar-uarkan dalam sesi ceramah mereka.

Pihak Pakatan juga mungkin lupa bahawa, berbanding tahun 2008, kali ini mereka memerintah di empat buah negeri. Ada perkara-perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya mampu dilaksanakan di peringkat negeri.

Sebagai contoh, janji untuk melaksanakan pendidikan percuma sudah pernah dibangkitkan sebelum ini. Pihak Barisan Nasional juga sebelum ini pernah mendesak agar perlaksanaan ini ditunaikan terlebih dahulu di Institut Pengajian Tinggi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan. Di Selangor contohnya, masalah IPT negeri seperti UNISEL dan KUIS masih belum diselesaikan. Malahan, Laporan Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan UNISEL yang dilihat tidak profesional dan membawa kerugian. Bagaimanakah Pakatan akan melaksanakan janji tersebut sedangkan di Selangor sendiri perkara ini tidak dilaksanakan?

Pakatan juga berjanji dalam manifesto mereka akan memelihara 141,000 hentar tanah Orang Asli. Untuk makluman, segala perkara yang melibatkan hal ehwal tanah adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Di Selangor sendiri, perkara melibatkan tanah Orang Asli tidak diberikan perhatian apabila baru-baru ini satu laporan polis dibuat di IPK Shah Alam berkenaan 17,900 ekar tanah Orang Asli di Kuala Langat yang dipindah milik kepada pihak lain. Bagaimana pihak Pakatan ingin menjamin hak Orang Asli jika semasa mereka berkuasa pun mereka tidak melaksanakannya?

Satu lagi janji dalam Manifesto Pakatan ialah kononnya mereka ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan Suruhanjaya Anti-Monopoli. Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbillion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Bukankah sepatutnya tender pengorekan pasir ini perlu diberikan secara terbuka agar hasil yang diperolehi lebih telus dan mampu menjana ekonomi.

Janji untuk memberikan peluang pekerjaan juga dilihat hanya janji manis apabila rancangan penambahan peluang pekerjaan ini rupa-rupanya adalah sebagai gentian kepada pengurangan tenaga buruh asing. Bagaimanakah Pakatan akan memastikan rakyat akan berpendapatan sehingga RM4,000 sebulan apabila pekerjaan melibatkan buruh asing ini diganti dengan pekerja tempatan? Lebih dasyat lagi, Kerajaan Negeri Selangor yang berbangga kononnya mempunyai kadar pelaburan tertinggi di Malaysia tetapi hakikatnya, ia tidak menjana kepada penambahan peluang pekerjaan malah sejak dari 2007 hingga kini, kadar pelaburan Selangor adalah semakin menurun.

Selebihnya, saya melihat janji-janji populis lain yang di taburkan hanyalah sekadar memancing undi. Lebih malang lagi, Menteri Besar Selangor sendiri sebelum ini mengakui bahawa Manifesto bukanlah Janji, maka ianya tidak perlu ditepati.

Sebagai kerajaan yang memerintah Selangor, Pakatan sepatutnya berasa amat malu dengan diri sendiri apabila melancarkan manifesto di Shah Alam ini. Simboliknya, Janji-janji Pakatan di Selangor masih tidak dilaksanakan dan mereka masih tergamak untuk berjanji lagi. Rakyat Selangor sendiri sudah sedar, kesilapan pada tahun 2008 tidak akan berulang lagi.


Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed
Timbalan Pengarah Pilihanraya BN Negeri Selangor

No comments:

Post a Comment