Thursday, March 28, 2013

RAKYAT VS PAKATAN SELANGOR.


SHAH ALAM: Seramai 1,010 suri rumah hari ini memfail saman terhadap kerajaan Selangor menuntut tunggakan sejumlah RM5.858 juta kerana gagal memberikan bantuan elaun kepada suri rumah yang menjaga anak mereka di rumah seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

 Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pihak suri rumah di Selangor yang diketuai seorang suri rumah, Norela Abu Bakar, 41.

 Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku ketua eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

 Dalam saman itu, mereka mendakwa defendan pertama berjanji kepada rakyat Selangor termasuk plaintif-plaintif untuk memberi elaun kepada suri rumah sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008. "Berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap suri rumah di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama dan plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto itu sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup melalui elaun yang dijanjikan," kata mereka.

Wednesday, March 20, 2013

INTIPATI UCAPAN PM MENGENAI LAPORAN TAHUNAN PROGRAM TRANSFORMASI NEGARA.



Berikut adalah intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) di sini, malam ini:
  
* Sebahagian besar matlamat GTP dan ETP berjaya dicapai. * Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat daripada AS$257 pada tahun 1957 kepada AS$9,970 pada 2012.

* Pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012.

* Kadar kemiskinan terus menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada 2012.

* Kadar inflasi negara kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 peratus pada Disember 2012.
* Kerajaan memperuntukkan RM2.34 bilion bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk lebih enam juta rakyat.

* Baucer Sekolah 1Malaysia berjumlah RM524 juta beri manfaat kepada lebih 5.24 juta murid.

* Baucer Buku 1Malaysia manfaat lebih 390,000 pelajar dengan peruntukan lebih RM97.5 juta.

* Kerajaan peruntuk RM37.8 bilion biayai pelbagai subsidi untuk tanggung kos kehidupan seharian rakyat.

* Lebih 100,000 orang berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh tiga tahun di bawah program e-Kasih.

* Kerajaan tawar lebih 100,000 unit kediaman mampu milik kepada rakyat.

* NKRA menambah baik kesejahteraan hidup hampir empat juta penduduk luar bandar.

* Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International letakkan Malaysia di kedudukan yang lebih baik daripada tahun lepas.

* Sejumlah 260 daripada 400 kes rasuah yang dibicarakan, diselesaikan tahun lepas.

* Kadar jenayah dikurangkan sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun.

* Hampir 50 juta pelancong melawat Malaysia pada 2011-2012 dengan Pendapatan Negara Kasar hampir RM100 bilion.

* Eksport sektor kandungan dan infrastruktur, komunikasi dan industri kreatif catat RM547 juta.

* Malaysia boleh capai status negara berpendapatan tinggi, mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal dari dijangkakan.

* Kuasa beli rakyat Malaysia kini hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.

* Sumbangan Pendapatan Negara Kasar pada 2020 dijangka mencecah RM135.64 bilion dan lebih 400,000 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.

* Malaysia negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia mengikut World Bank Ease of Doing Business Report 2013.

* Malaysia negara ke-14 paling berdaya saing menurut laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013.

* Malaysia diletakkan sebagai negara ke-10 bagi destinasi menarik pelaburan langsung asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012.

* Pengiktirafan global kepada Malaysia adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa-prakarsa GTP dan ETP.

* Bantuan Rakyat 1Malaysia dijadikan inisiatif tahunan.

Sunday, March 17, 2013

DOSA PAKATAN KEPADA RAKYAT.


TANAH MERAH, 15 Mac –  Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat supaya menolak pakatan pembangkang termasuk parti Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang kerana mereka telah melakukan tujuh dosa besar terhadap rakyat dan umat Islamdi negara ini.
Perdana Menteri menggariskan antaranya dosa parti Pas ialah membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam, gagal menunaikan janji kepada rakyat Kelantan, membenarkan pemimpin DAP secara rakus membotakkan kawasan di Tanah Tinggi Lojing serta mempermainkan matlamat perjuangan Pas sendiri.
“Dosa Tian Chua (Naib Presiden PKR) terhadap isu di Lahad Datu dan tahaluf siyasi (kerjasama politik antara Pas, PKR dan DAP) merupakan antara tujuh dosa besar pembangkang terhadap rakyat.
“Kalau saya dahulu mengumumkan tujuh perkara untuk rakyat Kelantan, kini tujuh dosa besar mereka yang ambo nok sebut hari ini,” katanya pada Majlis ‘Bekwoh’ Rakyat Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah Tanah Merah 1 di sini, Jumaat.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin, Pengerusi MCA Kelantan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Kelantan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Kira-kira 50,000 rakyat hadir pada majlis tersebut.
Menyentuh mengenai Pas mempermainkan matlamat perjuangannya, Najib berkata sebelum ini parti itu mahu melaksanakan hukum Hudud di negara ini tetapi demi politik dan takut kepada DAP, akhirnya mereka telah mengubah kepada dasar negara berkebajikan.
Katanya jika dahulu Pas menghentam cara Barisan Nasional (BN) berkongsi kuasa dengan parti lain tetapi kini mereka juga mengambil langkah yang sama dengan DAP dan ia jelas membuktikan sikap sebuah parti yang berubah-ubah demi mahukan kuasa.
Beliau berkata kehadiran besar rakyat Kelantan pada majlis itu membuktikan mereka telah bersedia pada bila-bila masa untuk menolak Pas pada pilihan raya umum kali ini.
“Kita mahukan transformasi bukan reformasi. Transformasi mensejahterakan rakyat. Transformasi bawa rahmat pada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata cara bijaksana kerajaan mentadbir negara telah menjadikan negara ini makmur dan sebagai bukti ekonomi negara telah mencapai pertumbuhan kepada 6.4 peratus.
“BN cukup cakna kepada masyarakat. Cukup sengoti buat bermacam-macam demi faedah rakyat dan oleh itu yakin dan percayalah apa yang kita buat ini adalah yang terbaik untuk mensejahterakan rakyat,” katanya.
Beliau berkata tidak seperti pembangkang yang berjanji dalam manifesto yang dianggap seperti penjual ubat tepi jalan.
“Satu ubat semua boleh sembuh. Kita bukan mahu mengundi orang yang petah berkata-kata tetapi pilihan raya adalah untuk rakyat memilih kerajaan yang benar-benar boleh berjasa kepada negara.
“Dan oleh itu yakinlah kepada BN,” katanya.
Najib berkata kehadirannya untuk merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat di Wakaf Mek Zainab, Kota Baharu, adalah mencerminkan ketelusannya kepada rakyat melalui slogan ‘Janji Ditepati’.
UMNO ONLINE

Tuesday, March 12, 2013

SELEPAS SELAYANG,TAMAN MEDAN KINI SURI RUMAH SUBANG TUNTUT HAK.



Selepas surirumah di Selayang Baru dan Taman Medan memulakan tuntutan kerajaan negeri melunaskan elaun khas suri rumah seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, hari ini kumpulan suri rumah di PPR Lembah Subang juga membuat langkah serupa bagi memastikan janji-janji yang dibuat sebelum ini oleh pihak pakatan pembangkang dilunaskan dahulu sebelum mereka membuat janji baru.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kerajaan negeri Selangor jelas telah menipu rakyat kerana sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 untuk memberikan elaun khas kepada ibu yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Sikap yang ditunjukkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut membuktikan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politik. Kebanyakan janji tidak dapat dilaksanakan, malah kini tergamak mengatakan manifesto pilihan raya bukan janji untuk ditunaikan.

Kita nampak kebangkitan ini merupakan satu perkara yang serius dan pihak GPRS dengan kerjasama peguam, Kamaruddin Ahmad akan membantu surirumah ini menuntut hak mereka sebagaimana yang termaktub dalam manisfesto pakatan pembangkang pada PRU12 yang lalu, iaitu memberikan elaun surirumah yang memilih untuk menjaga anak sepenuh masa,” ujarnya kepada pemberita selepas menyertai demostrasi aman di sini pagi tadi.

Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi di Padang Awam Flat PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang turut dihadiri Presiden Penyatuan Suri-Suri Rumah Negeri Selangor, Datin Reny Rahyu Mohd. Ishak.

Dalam perkembangan lain, Sohaimi melihat kenyataan Tan Sri Khalid yang mengatakan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri pakatan di Selangor membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk mentadbir Malaysia merupakan `cakap-cakap politik’ yang penuh dengan retorik, malah bercakap tanpa asas.

“Kalau nak dengar Tan Sri Khalid cakap, dalam isu air pun dah 18 kali alasan dibuat untuk menyelesaikan masalah dan krisis air di Selangor, tapi tidak juga selesai.

Buktikan dulu fakta kejayaan kerajaan negeri, biar kita tunjukkan pula bukti-bukti kegagalan pentadbiran kerajaan negeri pakatan khususnya di Selangor selama ini.

Kita boleh buktikan betapa banyaknya kelemahan, kegagalan dan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri pakatan berbanding di bawah pentadbiran kerajaan BN di Selangor selama ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Bagi Presiden Penyatuan Suri-Suri Rumah Negeri Selangor, Datin Reny Rahyu Mohd. Ishak, manifesto yang tidak ditunaikan membuatkan wanita berasa sakit hati kerana tertipu.

“Kerajaan negeri tabur macam-macam janji pada wanita untuk rebut kuasa. Janji hendak bagi elaun pada suri rumah tangga, ibu tunggal dan warga emas tapi satu sen pun tak beri.

“Kita beri peringatan  supaya berhenti buat janji kerana rakyat kini semakin bijak menilai untuk memilih kerajaan akan datang," katanya.

Saturday, March 9, 2013

SURI RUMAH TERUS GASAK PAKATAN SELANGOR !



PETALING JAYA 8 Mac - Hampir 200 suri rumah hari ini berkumpul dan mengadakan demonstrasi aman di Kampung Medan di sini, bagi menuntut manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang dijanjikan lima tahun lalu ditunaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Ini termasuk pemberian elaun khas untuk menjaga anak-anak kecil seperti dijanjikan semasa PRU-12 lalu yang masih belum ditunaikan.

Menurut Ketua Sekretariat Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Zubir Zainuddin, demonstrasi itu merupakan suara hati wanita negeri ini yang berasa ditipu dengan janji-janji PKR Selangor.

"Setiap PRU kita mahu melihat manifesto menarik yang menjanjikan sesuatu untuk rakyat tetapi setiap janji harus ditunaikan.

"Manifesto PKR Selangor sememangnya tidak boleh dipercayai kerana 90 peratus daripada janji lalu gagal dimanfaatkan rakyat," katanya ketika ditemui di Kampung Medan, PJS 2 di sini hari ini.

Justeru, kata Zubir, manifesto PKR yang baharu tidak boleh dipercayai dan meminta agar rakyat menilai sendiri berdasarkan lima tahun PKR memerintah Selangor.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penyatuan Surirumah Selangor, Munaliza Hamzah berkata, pelbagai janji yang ditaburkan PKR Selangor khususnya kepada wanita negeri ini hanyalah untuk meraih undi.
"Pada 2008 mereka menipu kita dengan mengatakan akan memberi elaun kepada suri rumah.

"Mereka juga gagal memberi peruntukan RM1,000 kepada pelajar anak Selangor sehingga saya didatangi pelajar menuntut janji itu.

"Perkara itu juga gagal diberi perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Haniza Mohamed Talha selama ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang suri rumah, Rashida Said, 35, berkata, sepanjang lima tahun, beliau berasa tertipu dengan apa yang dijanjikan PKR sebelum ini.

'' Mereka tidak pernah tepati janji dan sekadar pandai bercakap. Saya langsung tidak teruja dengan manifesto baharu yang dilancarkan mereka kali ini," katanya.

Seorang lagi surirumah, Zarina Dali, 37, mengakui terpengaruh dengan manifesto yang dilaungkan PKR Selangor pada PRU-12 lalu.

"Lima tahun kini berlalu, segala yang dijanjikan hanya tinggal janji. Saya berasa tertipu dan sakit hati dengan kerajaan Selangor kerana seolah-olah mereka memperbodohkan kaum wanita," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, March 5, 2013

KENYATAAN RASMI PERDANA MENTERI.

TIAN CHUA JANGAN CABUT LARI !



KUALA LUMPUR 4 Mac - UMNO sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua atas kenyataan berunsur fitnah beliau yang mengaitkan parti itu dengan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari Filipina di Lahad Datu, Sabah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO menerusi Penasihat Undang-undang parti, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak telah menghantar surat tuntutan mengandungi lima perkara terhadap Tian Chua iaitu dalam masa tujuh hari bermula hari ini, beliau antaranya perlu menarik balik kenyataan itu dan membuat satu permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis.

Menurutnya, langkah itu diambil kerana segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej UMNO.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang telah mengaitkan UMNO terhadap insiden di Lahad Datu, Sabah.

"Melalui Penasihat Undang-undang UMNO, tindakan telah diambil terhadap Chua Tian Chang yang juga Ahli Parlimen Batu berkaitan kenyataannya yang seterusnya diterbitkan dalam KeadilanDaily.com pada 1 Mac lalu.

"Ini kerana segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tian Chua melalui lidah rasmi PKR itu mengaitkan insiden berdarah di Lahad Datu, Sabah sebagai satu konspirasi UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat.

Kenyataan pemimpin pembangkang itu membawa kepada bantahan keras rakyat negara ini yang meminta beliau menarik semula kenyataan tersebut sambil memohon maaf kepada pasukan keselamatan negara.
Jelas Tengku Adnan, UMNO juga menuntut Tian Chua berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkaitan isu berkenaan atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap UMNO.

Beliau menjelaskan, Naib Presiden PKR itu juga perlu menerbitkan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah dan permohonan maaf tersebut serta menyediakan satu akujanji bertulis yang beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kenyataan yang serupa.

Jelas beliau, Ahli Parlimen Batu itu juga perlu membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi yang teruk dan ganti rugi terhadap kos dan perbelanjaan yang ditanggung oleh UMNO berhubung perkara berkenaan.

"UMNO tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklum balas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit, maka bermakna Tian Chua tidak menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah.

"Oleh itu, UMNO akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap Chua Tian Chang tanpa sebarang rujukan kepada beliau termasuk untuk memfailkan injunksi bagi menghalang penerbitan lanjut berkaitan isu ini," ujarnya.

Monday, March 4, 2013

MANA JANJI PAKATAN SELANGOR ?



KUALA LUMPUR 2 Mac - Kerajaan negeri Selangor jelas telah menipu rakyat kerana sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 untuk memberikan elaun khas kepada ibu yang memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sikap yang ditunjukkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut membuktikan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politik.

Beliau berkata, kebanyakan janji tidak dapat dilaksanakan, malah tergamak mengatakan manifesto pilihan raya bukan janji untuk ditunaikan.

"Rakyat memilih mereka kerana yakin kerajaan negeri akan menunaikan janji tetapi setelah mentadbir hampir lima tahun ini, hak rakyat diketepikan dan tidak pernah menerima elaun yang dijanjikan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai demonstrasi aman menuntut elaun khas bagi suri rumah di sini hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini menjanjikan elaun RM50 sebulan akan diberikan kepada suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka melalui perihal sosial dan kebajikan rakyat.

Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi di hadapan Dataran Bandar Baru Selayang tersebut turut dihadiri Presiden Penyatuan Suri-Suri Rumah Negeri Selangor, Datin Reny Rahyu Mohd. Ishak.

Dalam perkembangan sama, Sohaimi menegaskan, mereka memberikan tempoh selama seminggu kepada Abdul Khalid untuk menunaikan janjinya atau seluruh suri rumah di Selangor akan membawa isu itu ke mahkamah.

"Kami akan membantu suri rumah berkenaan mendapatkan bantuan guaman dan memfailkan saman kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri atas kegagalan mereka menunaikan janji," ujarnya.
Sementara itu, menurut Datin Reny Rahyu, kegagalan kerajaan negeri Selangor menunaikan janji terserlah apabila mereka gagal mengagihkan elaun tersebut kepada golongan suri rumah.

"Kami akan bergerak ke Kota Raja, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Gombak bagi memberi kesedaran kepada suri rumah tentang hak yang masih belum dituntut,'' jelasnya.

Beliau turut mendesak kerajaan negeri Selangor menunaikan janji-janji terdahulu sebelum mengemukakan janji baharu dalam manifesto PRU-13 melalui caruman wanita Malaysia.

Friday, March 1, 2013

MANIFESTO PAKATAN : KENYATAAN MEDIA


KENYATAAN MEDIA DATO’ SRI Ir MOHD ZIN MOHAMED, TIMBALAN PENGARAH PILIHANRAYA BN NEGERI SELANGOR


Manifesto yang baru dilancarkan oleh pihak Pakatan baru-baru ini nampaknya memakan diri mereka sendiri. Saya sendiri menerima banyak maklumbalas dari pelbagai pihak yang sebenarnya tidak terkesan dengan janji-janji yang dilemparkan dalam Manifesto Pakatan tersebut.

Nampaknya pihak Pakatan masih lagi memainkan cerita lapuk. Janji-janji yang ditaburkan dalam Manifesto adalah perkara sama yang diuar-uarkan dalam sesi ceramah mereka.

Pihak Pakatan juga mungkin lupa bahawa, berbanding tahun 2008, kali ini mereka memerintah di empat buah negeri. Ada perkara-perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya mampu dilaksanakan di peringkat negeri.

Sebagai contoh, janji untuk melaksanakan pendidikan percuma sudah pernah dibangkitkan sebelum ini. Pihak Barisan Nasional juga sebelum ini pernah mendesak agar perlaksanaan ini ditunaikan terlebih dahulu di Institut Pengajian Tinggi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan. Di Selangor contohnya, masalah IPT negeri seperti UNISEL dan KUIS masih belum diselesaikan. Malahan, Laporan Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan UNISEL yang dilihat tidak profesional dan membawa kerugian. Bagaimanakah Pakatan akan melaksanakan janji tersebut sedangkan di Selangor sendiri perkara ini tidak dilaksanakan?

Pakatan juga berjanji dalam manifesto mereka akan memelihara 141,000 hentar tanah Orang Asli. Untuk makluman, segala perkara yang melibatkan hal ehwal tanah adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Di Selangor sendiri, perkara melibatkan tanah Orang Asli tidak diberikan perhatian apabila baru-baru ini satu laporan polis dibuat di IPK Shah Alam berkenaan 17,900 ekar tanah Orang Asli di Kuala Langat yang dipindah milik kepada pihak lain. Bagaimana pihak Pakatan ingin menjamin hak Orang Asli jika semasa mereka berkuasa pun mereka tidak melaksanakannya?

Satu lagi janji dalam Manifesto Pakatan ialah kononnya mereka ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan Suruhanjaya Anti-Monopoli. Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbillion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Bukankah sepatutnya tender pengorekan pasir ini perlu diberikan secara terbuka agar hasil yang diperolehi lebih telus dan mampu menjana ekonomi.

Janji untuk memberikan peluang pekerjaan juga dilihat hanya janji manis apabila rancangan penambahan peluang pekerjaan ini rupa-rupanya adalah sebagai gentian kepada pengurangan tenaga buruh asing. Bagaimanakah Pakatan akan memastikan rakyat akan berpendapatan sehingga RM4,000 sebulan apabila pekerjaan melibatkan buruh asing ini diganti dengan pekerja tempatan? Lebih dasyat lagi, Kerajaan Negeri Selangor yang berbangga kononnya mempunyai kadar pelaburan tertinggi di Malaysia tetapi hakikatnya, ia tidak menjana kepada penambahan peluang pekerjaan malah sejak dari 2007 hingga kini, kadar pelaburan Selangor adalah semakin menurun.

Selebihnya, saya melihat janji-janji populis lain yang di taburkan hanyalah sekadar memancing undi. Lebih malang lagi, Menteri Besar Selangor sendiri sebelum ini mengakui bahawa Manifesto bukanlah Janji, maka ianya tidak perlu ditepati.

Sebagai kerajaan yang memerintah Selangor, Pakatan sepatutnya berasa amat malu dengan diri sendiri apabila melancarkan manifesto di Shah Alam ini. Simboliknya, Janji-janji Pakatan di Selangor masih tidak dilaksanakan dan mereka masih tergamak untuk berjanji lagi. Rakyat Selangor sendiri sudah sedar, kesilapan pada tahun 2008 tidak akan berulang lagi.


Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed
Timbalan Pengarah Pilihanraya BN Negeri Selangor