Thursday, September 29, 2011

BAJET 2012 : RENCANA SAYA DI BERITA HARIAN.


Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Petikan kenyataan dan pandangan saya tentang Bajet 2012 telah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian semalam.

2. Beberapa intipati penting tentang pandangan saya termasuk ;

a) Keperihatinan kerajaan terhadap kakitangan awam sebelum aidilfitri yang lepas dimana pemberian bonus setengah bulan gaji dan minimum RM500 sedikit sebanyak telah mengurangkan bebanan kakitangan awam dalam menyambut aidilfitri.

b) Kerajaan memandang serius peningkatan kos sara hidup. Oleh itu perlaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang antaranya cuba meningkatkan pendapatan isi rumah,mengurangkan kemiskinan,peningkatan insfrastruktur asas,pendidikan dan lain lain sedang dilakukan bagi mengimbangi peningkatan kos kehidupan.

c) Kenaikan harga barang wajib dikawal. Oleh itu,pengenalan kedai 1Malaysia yang menawarkan harga yang lebih rendah kepada rakyat golongan pertengahan di bandar adalah satu tindakan yang cukup baik yang dilakukan oleh kerajaan terhadap golongan ini.

d) Saya mengharapkan agar konsep kedai seperti ini dapat diperluaskan lagi ke beberapa bandar-bandar utama di seluruh negara.

e) Harapan saya tentang Bajet 2012. Tahun lalu kerajaan membelanjakan hampir RM212 billion dalam Bajet yang diumumkan.  Moga Bajet 2012 lebih bersifat inklusif dan mesra rakyat.

Saturday, September 24, 2011

FOTO : BERTEMU DENGAN KARTUNIS POPULAR 'LAGAK A. MAHMUD'.

Assalamulaikum wb dan Salam 1Malaysia.

Artikel di bawah adalah petikan daripada blog telusuri trengganu yang menulis mengenai saya dan beberapa kartunis CAW bertemu dengan kartunis popular majalah 'GILA-GILA' yang terkenal dengan watak ' lagak a. mahmud'.


ROSLI ILHAM

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dengan kerjasama Cartoonist At Work (CAW) akan membantu kartunis terkenal tanah air, Fatah Ngah,57, yang pernah popular dengan watak A Mahmud untuk menjual hasil karyanya bagi membiayai kos perubatan termasuk perbelanjaan sara hidupnya.

Pengerusi Biro Ekonomi&Pembangunan Usahawan, Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Fatah menyatakan persetujuannya untuk menjual karyanya kepada sesiapa yang berminat.

Katanya,CAW akan cuba menjual hasil tangan kartunis terbabit kepada syarikat korporat atau individu yang menghargainya.

Beliau bangga dengan hasil kerja seni kartunis berkenaan kerana hasil seninya berkualiti dan mempunyai makna tersendiri.

Datuk Sohaimi yang juga Penaung CAW berkata, dia sedih apabila melihat kartunis Fatah yang popular melalui majalah Gila-Gila menderita penyakit sarat dan kini hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Fatah perlu menjalani rawatan susulan dan Pegerakan pemuda Umno Dungun dengan CAW akan berusaha membantu mencari pakar urat saraf bagi kartunis itu mendapatkan rawatan fisioterapi.

Datuk Sohaimi yang suatu ketika dahulu dikenali kartunis ‘Chek’ diera 80an dan 90an berkata, Fatah kini hanya bergantung kepada bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jumlah itu tidak cukup untuk menampung kos perubatannya.

Mereka yang berminat untuk membeli hasil karya Fatah boleh menghubungi 

Pengarah Urusan CAW, Buhairi Ramli 
di talian 019-6730985 atau 018-2584397.



Wednesday, September 21, 2011

SERANGAN TERANCANG MENHANCURKAN PAKSI KENEGARAAN.

Assalamualikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Pelampau demokrasi. Serangan ke atas beberapa instrumen dan paksi kenegaraan nampaknya semakin galak dilakukan oleh parti DAP.

2.Saya melihat serangan politikus sang penyangak demokrasi ini sudah kurang berkurangan halanya terhadap instrumen parti, sebaliknya gerakan serangan mereka pada waktu ini cukup fokus menyerang paksi kenegaraan.

3. Instrumen dan tiang kerajaan seperti Perlembagaan diikuti dengan pembantaian dan pemburukan imej instrumen kerajaan seperti SPRM, Kehakiman, Tentera, Polis dan beberapa lagi sudah dijadikan bahan kempen politik mereka dalam cubaan membawa imej buruk di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.

4. Pada tahun 2010 atau lebih tepat pada tarikh 15 ogos 2010, Mufti Besar Negeri Perak iaitu Tan Sri Harussani Zakaria ada mengeluarkan kenyataan mengejutkan bahawa terdapat 'gerakan' sulit untuk merubah Perlembagaan  di Malaysia.

5.Adakah situasi politik dan perencaan DAP pada saat ini adalah jelmaan kepada kenyataan Tan Sri Harussani ?

6. Tiga hari lepas, Adun DAP iaitu Manoharan sengaja melontar ide akan cita-citanya mahu merubah bentuk bendera Malaysia sekiranya DAP berkuasa pada Pru ke 13 nanti. Samada ia cubaan melihat riak ombak atau  ia lahir daripada sikap cuba menyangakkan nama demokrasi,itu saya kurang pasti.

7. Namun yang jelas, sejak mereka menguasai beberapa negeri sebenarnya sudah kedapatan dan keberanian pengimplementasian menghancurkan isi-isi utama Perlembagaan. Seperti contoh, hari pertama Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang antara perkara pertama dilakukan adalah menghapuskan perlaksanaan DEB.

8.Tony Pua pernah mempertikaikan isu keselamatan negara dalam kes pembelian kapal perang milik TLDM. Kekonsistensi DAP menyerang paksi-paksi kenegaraan nampaknya semakin melampau.

9.Saya bersetuju untuk kita meraikan perbezaan pendapat dan pandangan politik, tetapi bila ada usaha yang terancang mahu merosakkan imej dalam paksi kenegaraan, sewajarnyalah rakyat bangun dan mempertahankannya. 

10. Pelampau demokrasi ini wajar ditumbangkan pada PRU ke 13 nanti. 

Friday, September 16, 2011

ISA DIHAPUSKAN : DS NAJIB BIKIN PAKATAN HILANG MODAL.




Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.



Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.



1. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

2. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

5. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang. 



6. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.



7. Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8. Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

9. Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

10. Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala. 



11. Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

12. Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

13. Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

14. Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

15. Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

16. Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

17. Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

18. Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

19. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

20. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.
21. Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

22. Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

23. Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

24. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

25. Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

26. Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.
27. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

28. Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan



Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

29. Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

30. Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

31. Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

32. Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

33. Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu. 



Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih. 
Pejabat Perdana Menteri 
Putrajaya

Tuesday, September 13, 2011

MAT SABU : SPINLAH SELAGI TERMAMPU.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Kontroversi ucapan mat sabu yang menyokong perjuangan komunis membunuh syuhada di bukit kepong nampaknya makin meleret.

2. Pas dilihat makin kelam kabut dalam mempertahankan asakan kebangkitan rakyat yang marah pada mereka.

3. Hari ini kita diperlihatkan lagi dengan aksi lucu dan sandiwara politik pas dalam mempertahankan diri. Pelbagai alasan, dalih dan tuduhan kelam kabut diberi, bagi mengelak damage politik yang dibuat sendiri.

4. Isunya mudah, ia berlegar mengenai sokongan terbuka mat sabu menyokong tragedi syuhada bukit kepong dibunuh komunis.

5. Rakyat saya yakini sudah membuat keputusan dan faham akan isu yang sedang digomolkan oleh pas. Tidak mungkin rakyat diperdaya lagi dengan dialog dan skrip hasil nukilan para pembohong dari pas.

6. Pandangan saya kepada rakyat , biarlah pas terbelit dengan mainan mereka sendiri. Kepada mat sabu, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata parti binasa.

Tuesday, September 6, 2011

MANA HILANGNYA 'BALDATUN TOYYIBATUN WARABBUN GHAFUR' ?

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Pada 10hb November 2010 atau lebih tepat pada hari persidangan Pembentangan Bajet Kerajaan Negeri Selangor, menteri besarnya iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim ada menyebut akan kepentingan slogan 'Baldatun Toyibatun  Warabbun Ghafur' dalam menjalankan urusan pentadbiran negeri.

2. Apa maksud ayat ini ? Maksudnya:"Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah." (Saba`:15)

3. Malah beberapa Adun Pas juga telah mengutarakan sloganista yang sama sepanjang mereka berceramah.

4. Memang menarik slogan sebegini, namun adakah ia dapat dilaksanakan sepanjang 3 tahun mereka memerintah selangor ?

5. Perhatikan keratan akhbar yang dipetik daripada siaran Harian Metro di bawah.

6. Statistik pertambahan dan peningkatan sebanyak 85% rumah urut di selangor membimbangkan , kata Presiden Malaysian Beauty Therapy Assocoation. 

7. Soalan saya kepada Tan Sri Khalid Ibrahim , adakah peningkatan sebanyak 85% rumah urut di selangor merupakan intipati slogan 'Baldatun Toyibatun Warabbun Ghafur' ?

Sunday, September 4, 2011

ALFATIHAH : PERDANA MENTERI SIFATKAN ALLAHYARHAM SEBAGAI WIRA.



PERTH 3 Sept. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia, semalam, sebagai seorang wira Malaysia sebenar “yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan”.

Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: “Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.

“Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia.”

Bercakap kepada Bernama hari ini, Najib berkata, lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu, esok.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di di Somalia.

Noramfaizul telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan.

“Beliau seorang yang berdedikasi dan individu yang tidak mementingkan diri yang bersedia untuk bertugas di kawasan persekitaran yang mencabar dan ganas seperti di Gaza dan Pakistan,” kata Najib.

Beliau berkata, malahan jurukamera BernamaTV itu bersedia untuk pergi ke Somalia selepas beliau menyedari ia mungkin merupakan misi berbahaya.

“Sudah tentu beliau mahu berada di tempat itu bagi merekodkan satu misi kemanusiaan. Anda boleh kata bahawa kematiannya akibat kebinasaan lingkungan.

“Bagaimanapun, kita telah kehilangan seorang yang sangat baik, rakyat Malaysia yang sebenar, seorang wira yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan,” katanya. — BERNAMA