SHAH ALAM 30 Okt. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima dua lukisan hasil karya pelukis terkenal tempatan, Abdul Fatah Ngah di Istana Bukit Kayangan di sini baru-baru ini.
Baginda sukacita menerima dua lukisan berkenaan iaitu bertajuk Wayang hasil karya Abdul Fatah atau lebih dikenali sebagai Fatah pada 1996 serta lukisan Merdeka, Merdeka, Merdekayang dihasilkan pelukis itu pada 1995.
Lukisan tersebut antara yang menarik minat baginda untuk dibeli dan sekali gus membantu mengumpul dana bagi membiayai kos perubatan serta perbelanjaan Abdul Fatah yang kini menghidap penyakit saraf.
Pembelian lukisan itu juga sebagai tanda keprihatinan baginda dalam meringankan beban yang ditanggung pelukis berusia 57 tahun itu.
Pada majlis penerimaan lukisan-lukisan tersebut, baginda sempat meluangkan masa bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Abdul Fatah yang kini berkerusi roda selain mendapatkan penerangan ringkas mengenai karya pelukis itu.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan yang juga Penaung Cartoonist At Work (CAW).
Pada 21 Oktober lalu, biro itu dan CAW melancarkan Pameran dan Jualan Amal Karya Kartunis Fatah di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, bertujuan mengumpul dana bagi membiayai kos perubatannya.
Abdul Fatah yang dilahirkan di Dungun, Terengganu, terkenal sebagai kartunis sekitar 70-an dan pernah bersama majalah humor, Gila-Gila dengan karya bertajuk Lagak A. Mahmud.
Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang meminati seni, dia ialah abang kepada komposer terkenal tanah air, Manan Ngah.
tq.. dato... sy mmg minat kartun mahmud tu... semoga allah beri kebahagiaan dan umur yang diberkati kpd kartunis tsb..
ReplyDelete