Monday, January 16, 2012

KR1M , CEMUHAN YANG MEMPOPULARKAN.



PEKAN 15 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang tidak menyedari tindakan mereka mencemuh Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah menjadi satu publisiti kepada kedai tersebut.

Perdana Menteri berkata, ini terbukti apabila sebanyak 27 buah KR1M telah dibuka sehingga hari ini malah, jualan setiap kedai itu lebih RM20,000 sehari.

"Saya galakkan mereka untuk terus cemuh dan kritik kedai ini kerana apabila banyak kritik, maka lebih ramai yang akan datang ke situ.

"Malah, jumlah kedai KR1M di seluruh Malaysia sudah 27 buah dan keseluruhannya 85 buah akan beroperasi hingga hujung tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu dan Perasmian KR1M di Pulau Serai, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Najib, pembinaan KR1M bukanlah sesuatu yang diuar-uarkan tanpa asas tetapi merupakan satu realiti dan telah terbukti berjaya kerana menawarkan barangan keperluan utama pada harga 40 peratus murah daripada harga pasaran.

"Sekarang ini ke mana sahaja saya pergi, orang ramai akan minta di kawasan mereka untuk dibina kedai KR1M.
"Ini jelas menunjukkan kedai ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai," katanya.
Kata beliau lagi, kedai di Pulau Serai ini merupakan KR1M yang terbesar di Malaysia dan turut menempatkan Rakyat Mall yang menjual pelbagai keperluan lain.

"Ia boleh dimanfaatkan oleh penduduk Pekan sebagai sebuah destinasi membeli-belah dalam suasana mesra bajet," katanya.

Sementara itu, Rakyat Mall yang dirasmikan oleh Najib hari ini, berkeluasan 1,680 meter persegi adalah merupakan sebuah inovasi baru membeli-belah di bawah satu bumbung buat seisi keluarga.

Beroperasi seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam, ia terdiri daripada 24 lot kedai menjual barangan keperluan serta barangan basah seperti ayam, daging, buah buahan, barangan komputer, pakaian, telefon, produk kesihatan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment