Thursday, January 19, 2012

ANWAR PUNCA PAS GERHANA.


Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata kenyataan terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya undang-undang homoseksual di negara ini sebagai lapuk membuktikan secara jelas sikap sebenar Ketua Pembangkang yang amat bercanggah dengan prinsip Islam.
Beliau berkata, ia membuktikan Anwar adalah manusia yang gila kuasa apabila sanggup melakukan apa saja termasuk isu yang berkaitan dengan agama Islam semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipecat daripada parti dan digugurkan daripada EXCO Selangor baru-baru ini, berkata atas dasar itulah beliau tidak boleh bersekongkol dengan Anwar ketika masih bersama PAS, apatah lagi menggadai prinsip perjuangan untuk menegakkan syiar Islam, mempertahankan kedudukan Melayu dan mendaulatkan institusi Raja.
“Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia perlu menolak perjuangan Anwar Ibrahim. Kalau gay, lesbian, homoseksual dan pertukaran jantina hendak dihalalkan di Malaysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah. 


“Pandangan Anwar bukan saja di Mumbai yang disiarkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) World News. Bagi saya itulah pandangan peribadi dan pandangan asasi Anwar. Atas dasar itu saja pun saya tidak boleh bersama dengan perjuangan beliau,” katanya pada persidangan media, di kediamannya di sini, semalam. 


Sehubungan itu, beliau mengulangi pemecatannya daripada PAS bukan akibat mengkritik parti kerana perkara itu sudah diselesaikan, tetapi semata-mata menegur pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menghadapi kes mahkamah bersifat peribadi. 

“Saya hairan bagaimana PAS boleh tunduk dengan tekanan PKR yang meminta saya dipecat. Apakah PAS sudah hilang maruah diri,” katanya. Ketika diwawancara BBC baru-baru ini, Anwar mendakwa undang-undang berkaitan hubungan sejenis atau homoseksual di negara ini sudah lapuk dan harus dikaji semula yang turut mendapat sokongan PAS. 

Hasan juga berkata, tindakan PAS menyokong kenyataan Anwar diibaratkan sebagai ‘bulan yang bakal gerhana’ apabila parti berteraskan perjuangkan Islam itu seolah-olah menyokong kegiatan songsang, termasuk hubungan sejenis. 

Mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menyifatkannya sebagai pemimpin ‘gila kuasa dan gila duit’ yang disiarkan satu laman portal berita, Hasan berkata rakyat boleh menilai siapa sebenarnya gila kuasa. 

“Gila kuasa?.. siapa gila kuasa? Tuan-tuan fikir saya ke Anwar? Saya ada kuasa sebagai Ahli EXCO... cuba bayangkan, ahli EXCO hidupnya selesa separuh mewah... Alhamdulillah, tapi saya sanggup mengorbankan jawatan itu kerana satu idealisme. 

“Bayangkan ada seorang itu sanggup kumpul orang di Sabah dan di Sarawak. Jumpa orang di sana, jumpa orang di sini untuk menawan Putrajaya pada 16 September. Dia gila kuasa atau saya gila kuasa. Bayangkan atas nama gila kuasa, dalam penjara pun akan jadi Perdana Menteri,” katanya. 

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang tidak akan menyertai UMNO dan mendakwa perjuangannya masih lagi bersama PAS walaupun sudah disingkirkan daripada parti berkenaan.

No comments:

Post a Comment