Wednesday, January 18, 2012

PANDANGAN ANWAR MERBAHAYA.


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini yang didakwanya sudah lapuk merupakan satu penyimpangan pemikiran dan mampu memesong akidah umat Islam.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, ia juga satu ancaman terhadap kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam walaupun isu berkenaan mendapat sokongan daripada golongan yang mengamalkan budaya songsang itu.

Sambil menyelar pandangan terbabit, beliau menegaskan, Ketua Pembangkang itu seharusnya merujuk hal tersebut berlandaskan al-Quran serta Sunnah dan bukan kepada platform hak asasi manusia.

''Pandangan Anwar itu merupakan satu penyimpangan pemikiran yang kini telah menjadikan hak asasi manusia sebagai rujukan tertinggi dalam percaturan politik di Malaysia. Ini adalah sesuatu yang berbahaya jika ia dibiarkan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang mempertikai undang-undang berkaitan kegiatan seks songsang dengan menyifatkan ia sebagai lapuk dan tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, pemikiran seperti yang dilontarkan Anwar boleh mengakibatkan akidah dan pemahaman umat Islam berubah daripada berpaksikan al-Quran dan sunnah kepada ideologi bukan Islam.

''Tidak ada mana-mana pihak yang mampu untuk mengubah dasar undang-undang dan perlembagaan di Malaysia yang berpaksikan sebagai sebuah negara Islam, diduduki oleh pelbagai kaum," ujarnya.

Beliau kemudiannya melahirkan kebimbangan bahawa pemikiran sedemikian boleh menimbulkan kecelaruan terhadap masyarakat khususnya golongan muda.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, kenyataan Anwar itu seolah-olah mahu membawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi mutlak yang membawa maksud bebas tanpa sekatan dan had.

''Seperti diamalkan di Norway, ia telah memberi kesan buruk kepada nilai-nilai masyarakat. Boleh kahwin sesama jenis dan sebagainya.

''Kenyataan beliau juga seolah-olah memberi 'pengiktirafan' kepada satu hukum yang Allah haramkan dalam al-Quran, Benda yang Allah kata sangat-sangat jijik.

''Selain itu, apa yang dicadangkan (disuarakan) Anwar, seolah-olah membuka ruang (kepada homoseksual) boleh dipraktikkan secara terbuka," katanya.

Selain itu, ujar Fathul, kenyataan Anwar turut mencalar kredibiliti Pas yang sehingga kini membisu dalam isu berkenaan.

''Di mana suara Pas? Bagi saya, kenyataan Anwar itu, keburukannya lebih besar daripada kebaikan. Saya juga tak setuju nak kata baik kerana ia bercanggah dengan nilai-nilai Islam," tegasnya.

No comments:

Post a Comment