Sunday, September 16, 2012

ISU AIR SELANGOR : 2011 AKAN MEMFAILKAN SAMAN RABU INI.



KEMASKINI: Jangan ingat mahu lepas tangan atau lari...kalau dah janji tapi tidak ditunaikan, ‘kita jumpa di mahkamah’.
Nampaknya, semakin ramai rakyat Selangor bersedia menerima cabaran Menteri Besar Selangor , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang  mencabar penduduk di negeri itu yang tidak menerima pemberian air percuma seperti  dijanjikan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 supaya mengheret pentadbirannya ke mahkamah.
Alasannya, kerajaan negeri tidak terikat membekalkan air percuma kerana tidak ada sebarang perjanjian memberi air percuma kepada pengguna meter pukal sejak pengumumannya pada 2008.
Cabaran Khalid tiga minggu lalu sudah disahut 711 penghuni pangsapuri beberapa kawasan di Selangor dengan mengemukan saman terhadap Menteri Besar dan kerajaan Selangor serta SYABAS, beberapa hari lalu.
Rabu ini, dijangka 2,011 penduduk sekitar Puchong dan Petaling Jaya akan memfailkan saman serupa menuntut janji air percuma 20 meter padu atau RM11.40 kepada pengguna di negeri itu.
Menurut Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Datuk Sohaimi Sahadan, semakin ramai rakyat Selangor bersedia menyaman kerajaan pimpinan Khalid selepas cabaran tersebut.
“Selepas kumpulan pertama minggu lalu, Rabu ini seramai 2,011 lagi akan berbuat demikian. Saya percaya jumlah itu bertambah. Mereka sudah berhubung dengan GPRS untuk mendapatkan khidmat guaman yang disediakan,” katanya.
Bercakap kepada Agendadaily, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu menegaskan, Khalid tidak boleh menganiaya rakyat Selangor dengan alasan meter pukal atau individu.
Katanya, kerajaan negeri perlu adil dalam memberikan air percuma kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira mereka menghuni flat, pangsapuri atau kondominium.
Beliau menegaskan  menegaskan sebanyak 1,378 meter pukal dibawah kategori kod 17 dan 18 bagi pangsapuri dan kondominium seluruh Selangor (tidak termasuk dikira unit rumah setiap pangsapuri dan kondominium) berhak mendapat air percuma ini.
Sohaimi berkata ,jika dikira secara purata 500 rumah (bagi setiap pangsapuri dan kondominium), maka jumlah akaun yang turut layak mendapat air percuma adalah sebanyak 689,000 unit.
Secara kasar, kerajaan negeri Selangor dianggarkan berhutang kepada pemegang akaun air yang layak mendapatkan bekalan air percuma ini berjumlah RM392 juta.
“Jika beliau atau kerajaan PKR tidak boleh tunaikan janji tersebut serahkan semula kuasa kerajaan yang dipinjamkan rakyat kepada mereka dalam pilihanraya umum lalu,” katanya.
Dalam pada itu katanya, satu demonstari aman akan diadakan oleh penduduk pansapuri Angsana, Bandar Mahkota Cheras, Kajang bagi menuntut janji-janji tersebut, Isnin ini. -15/9/2012- OLEH ROSLAN BIAN AGENDADAILY.

No comments:

Post a Comment