Sunday, September 2, 2012

KERAJAAN SELANGOR BIADAP TERHADAP SULTAN SELANGOR.


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membelakangkan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam majlis sambutan kemerdekaan peringkat negeri kelmarin jelas memperlihatkan sikap kerajaan negeri yang tidak menghormati institusi kesultanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun sultan merupakan simbol negeri, kerajaan PKR Selangor lebih menghormati kedudukan Penasihat Ekonomi negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan beliau tidak mempunyai 'locus standi' untuk menghadiri majlis tersebut.
Bagaimanapun, Najib menegaskan, apa yang dilakukan kerajaan PKR Selangor itu bukan satu perkara yang mengejutkan.

Beliau berucap pada majlis Jamuan Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Selangor di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Sungai Buloh, dekat sini hari ini yang dihadiri lebih 100,000 pengunjung pelbagai kaum.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Koordinator BN Selangor, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Reaksi Perdana Menteri itu adalah rentetan tindakan kerajaan Selangor mengenepikan Sultan Selangor pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri itu malam kelmarin.

Menurut Najib, pembangkang berhasrat melakukan banyak perkara lain tetapi tidak mempunyai kuasa antaranya mahu menukar bendera negara.

"Kuasa di Putrajaya masih di tangan BN. Oleh itu, kita mahu pastikan Putrajaya kekal dalam tangan kita. Orang Selangor sudah bersedia?

"Jangan letih, jangan penat, jangan kecewa, teruskan perjuangan sehingga semboyan dibunyikan. Kita tidak akan pusing ke belakang tetapi akan terus ke hadapan. BN akan rempuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menyifatkan berlaku perkara pelik dalam pakatan pembangkang apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan manifesto pembangkang bukan satu perjanjian.

"Hari ini, ramai yang kecewa, mereka yang sepatutnya menerima air percuma tidak dapat. Apabila didesak keluarkan kenyataan, mereka kata janji tidak perlu ditepati, manifesto boleh diketepikan.
"Janji tidak perlu ditepati, rakyat boleh dibohongi, tidak apa asalkan dapat undi. Di mana letaknya maruah pemimpin seperti ini?," katanya.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat tidak lagi menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang berikutan hak mereka tidak dihormati.

Berbeza dengan BN, kata beliau, sepanjang tiga tahun ini pelbagai janji telah dikotakan kerajaan Persekutuan.

Malah, tambah beliau, terdapat inisiatif yang dilaksanakan BN tidak terkandung dalam manifesto pilihan raya antaranya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan baucar buku.
"Sebagai Pengerusi BN peringkat nasional dan Selangor, saya hendak katakan dengan ikhlas bahawa selama saya memegang teraju kepimpinan, kita telah kotakan apa yang kita janjikan.

"Janji kita sudah tepati dalam tempoh tiga tahun ini. Rakyat telah kita bela. Rakyat telah menerima BR1M, bantuan buku persekolahan, baucar buku dan bantuan tayar teksi percuma," kata beliau.

No comments:

Post a Comment