Tuesday, June 28, 2011

BERSIH : DEMOKRASI KEPALA LUTUT.

 Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Suhu kebangkitan rakyat malaysia yang menentang perhimpunan bersih semakin meningkat. Di luar sana telah kedengaran keluh kesah dan bantahan rakyat dari kalangan 'silent majority' yang membidas motif sebenar perhimpunan bersih.

2. Penentangan daripada beberapa kumpulan yang mewakili rakyat terbesar nampaknya tidak boleh dibendung lagi. Pemuda Umno telah menubuhkan NGO Patriot bagi menangkis gerakan bersih. Manakala puluhan NGO yang besar seperti Perkasa telah menggerakkan momentum kesedaran kepada rakyat akan motif sebenar bersih.

3. Setakat ini, sudah hampir 1600 lebih laporan polis telah dilakukan oleh rakyat yang membantah bersih, satu ide lucu tema demokrasi yang menggunakan kepala lutut .

4.Rakyat harus menyalahkan penganjur bersih sekiranya berlaku kesesakan luar biasa sebelum dan selepas bersih dilangsungkan. Pihak polis telah memberikan peluang untuk mereka berdemonstrasi di kawasan stadium, namun mereka tetap memilih politik jalanan sebagai cara menyatakan bantahan kononnya SPR tidak bertindak adil.

5. Inilah gaya politik yang jelas menampakkan kebobrokan IQ yang cukup low class kualitinya. Mana mungkin SPR itu bertindak tidak adil namun pada masa yang sama mereka telah memenangi 5 buah negeri selepas pilihanraya umum yang ke 12. 

6.Apa alasan SPR itu tidak adil jikalau beberapa siri awal pilihanraya kecil (bermula di prk kuala trengganu) mereka telah menang hampir 8 kerusi .

7. Rakyat wajib melakukan penilaian yang serius terhadap motif bersih.

8. Barisan Nasional telah tewas di 5 buah negeri selepas pilihanraya umum 2008. Barisan Nasional telah dinafikan majoriti kerusi 2/3 di parlimen. Barisan Nasional telah tewas hampir 8 kerusi pada siri pilihanraya kecil pasca 2008. Cuba tanya pada diri sendiri, pernahkah kita mendengar protes dari kalangan pimpinanan BN yang membantah ketidakadilan SPR ?

9.Perkara ini wajib digemburkan. BN tidak melatah walaupun pernah tewas selepas 2008. BN bangkit dan memperbetulkan semula perjalanan dalam semangat demokrasi yang cukup tinggi. BN bangkit dan belajar dari pengalaman lampau.

10. Akhir kebangkitan ini telah menyebabkan sokongan rakyat  kepada BN semakin terus meningkat. Lihat sahaja dalam beberapa siri di pusingan terakhir pilihanraya kecil yang jelas menampakkan kembalinya sokongan rakyat kepada BN, bermula di manek urai,hulu selangor dan yang terakhir di pilihanraya negeri di sarawak.

11. Rakyat wajar bangkit menentang penyangak bersih. Bersih tidak mewakili hampir 27 juta pandangan rakyat malaysia, Bersih juga tidak mewakili hampir 10 juta pengundi di malaysia. Bersih hanyalah perkakas kepada sang politikus yang sedang terhimpit dengan masalah peribadi dan parti.

Monday, June 27, 2011

PELANCARAN PATRIOT.

 KUALA LUMPUR 26 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini melancarkan Himpunan Patriot (Patriot) yang merupakan perhimpunan membantah perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini. 

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Patriot melambangkan satu kumpulan anak-anak muda yang cintakan tanah air dan sanggup menggadai apa sekalipun demi menyelamatkan tanah air daripada kumpulan perosak. 

Menurut beliau, Patriot dianggotai seramai 10 ahli jawatankuasa yang diketuai Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selaku pengerusi himpunan. 

‘‘Kita akan turun dan tentang perhimpunan itu habis-habisan. Mereka pengkhianat, kita tahu niat mereka sebenar. Sebab itu, adakah kami anak-anak muda ini perlu tunggu lagi? Kalau kita tunggu kita juga akan jadi pengkhianat.

‘‘Kita yang akan turun pada 9 Julai itu bagi menjadi suara kumpulan majoriti senyap selain pemuda, wanita dan mewakili seluruh rakyat demi mendokong proses demokrasi dan hak rakyat sejak zaman merdeka,’’ katanya pada sidang akhbar Himpunan Patriot di sini, hari ini. 

Reezal Merican yang juga Penyelaras Patriot seterusnya mempersoalkan kenapa Bersih tidak mahu mengadakan perhimpunan yang didakwa akan dilakukan secara aman itu di negeri-negeri yang diperintah pihak pembangkang. 

Jelas beliau, ini terbukti bahawa Bersih bukanlah sebuah gerakan yang bersih sebaliknya ia bertopengkan pakatan pembangkang kerana Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin pernah menyatakan bahawa jika pembangkang tidak menumbangkan kerajaan melalui pilihan raya, mereka akan memilih jalan raya. 

Ditanya adakan Patriot memilih untuk mengadakan perhimpunan secara aman, ‘‘kalau aman yang Bersih berikan, maka natijahnya amanlah,’’ katanya sambil menunjukkan lambang dan warna Patriot merah kuning kepada wartawan. 

Beliau juga berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis bagi menyampaikan hasrat Patriot.

Sementara itu, Abdul Azeez memberi ingatan kepada Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga dan konco-konconya supaya jangan melakukan perhimpunan haram tersebut dan sekiranya masih berdegil, himpunan tersebut akan berhadapan dengan kumpulan majoriti senyap yang terbesar.

Beliau berkata, sekiranya kumpulan berkenaan mempunyai niat yang baik dan betul, mereka tidak perlu membawa sehingga 10,000 orang yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) seperti yang mereka pernah lakukan pada tahun 2007. 

‘‘Saya minta mereka pergi ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menghantar memorandum kepada pengerusinya, manakala di Istana Negara pula, hantar kepada pegawai istana, setakat empat, lima orang sudah memadai.

‘‘Justeru, saya merayu kepada pihak polis supaya jangan tunggu lagi, sudah lebih 1,000 laporan polis dibuat bagi membantah himpunan berkenaan, dah sampai waktunya tangkap sahaja mereka,’’ ujar beliau.

Sunday, June 26, 2011

PRESIDEN UMNO : TIADA ISTILAH NAIB JOHAN.

 RAWANG - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, yang paling penting bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti politik adalah untuk berjaya dalam pilihan raya kerana menurutnya dalam politik hanya kemenangan membawa erti.

Justeru itu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu berkata, dalam pilihan raya tidak ada istilah naib johan, sepertimana dalam sesuatu pertandingan biasa yang turut menyediakan hadiah untuk naib johan.


“Untuk pilihan raya hanya johan sahajalah yang ada erti dan makna bagi kita...dan kita semua sedar bahawa menjadi naib johan bererti kita kalah dalam waktu pilihan raya.

“(Dan) kita tahu nasib parti yang kalah,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Selayang di Perangsang Templer Golf Club di sini, semalam.

Najib berkata, yang penting dalam keadaan dan landskap politik hari ini adalah untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran kerana kalau menggunakan cara dan kaedah lama “kita boleh menang perang lama, perang baru tidak tentu lagi”.

Katanya, sebagai parti politik dalam dunia demokrasi berparlimen, tidak ada parti di negara ini yang lebih cemerlang daripada UMNO dan BN daripada segi kejayaan yang telah dicipta.

Namun katanya, UMNO dan BN sedar bahawa kehebatan masa silam tidak akan menjamin kelangsungan kuasa pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan anggota parti bahawa dua perkara perlu diberi perhatian untuk mencapai kejayaan dalam politik.

Pertama, katanya, berkaitan perkiraan angka iaitu siapa yang ada angka lebih dia menang dan keduanya politik adalah berkisar kepada tanggapan ataupun persepsi dan dengan itu persepsi positif di kalangan minda rakyat mengenai parti sentiasa perlu dibina.

“Ingat dua perkara ini sahaja... Bina dan cari angka (sokongan dan kemenangan kerusi) lebih pada kita. Kurangkan musuh kita, (tapi) tambahkan lagi sokongan orang pada kita.

“Cuba bangunkan persepsi yang positif...kalau mereka (pembangkang) cuba mencela kita...kita buat cara, lain, kita counter mereka dan kita tunjukkan persepsi yang lebih baik,” kata Najib.

Najib mengulangi kenyataannya mahukan “calon boleh menang” daripada UMNO dan BN untuk pilihan raya umum akan datang kerana rakyat akan menilai setiap individu yang diletakkan sebagai calon.

“Saya tahu zaman dulu letak songkok (pun) boleh menang. Ada orang kata letak batang pisang pun boleh diterima.

“Tetapi zaman sekarang orang lihat individu dan individu itu mesti ada kualiti sebagai pemimpin baru yang dapat sambutan. Sebab itu saya tekankan konsep “winnable candidate” (calon boleh menang),” katanya.

Najib mahu UMNO Bahagian Selayang berusaha memastikan kemenangan kesemua tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Selayang dan kerusi Parlimen itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Parlimen Selayang kini dimiliki PKR demikian juga DUN Rawang, manakala Kuang dan Taman Templer dikuasai oleh BN. - Bernama

Saturday, June 25, 2011

LAPORAN POLIS TERHADAP BERSIH OLEH PEMUDA UMNO SELAYANG.

 RAWANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik cadangan mengadakan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Ketuanya yang juga Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya turut berharap tindakan sewajarnya dikenakan kepada pimpinan demonstrasi itu sekiranya ia diteruskan.

“Perhimpunan ini hanya akan menyusahkan rakyat, malahan implikasinya lebih buruk daripada kebaikan. Kita tidak mahu budaya negatif sebegini dibiarkan berleluasa di negara ini.

“Insiden sebelum ini pun sudah membuktikan kesan perhimpunan itu yang bertukar menjadi huru-hara hingga menyusahkan peniaga dan orang ramai,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Rawang, di sini, malam kelmarin.

Turut membuat laporan sama ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Melayu Muda Selayang, Pertubuhan Pembela Selayang, kumpulan aktivis sosial dan ahli Pemuda UMNO Selayang.

Sohaimi berkata, Ketua Bersih 2.0, Datuk S Ambiga hanya diperkudakan untuk mengadakan himpunan yang disifatkan sebagai taktik pihak tertentu bagi mengalih pandangan terhadap isu Pakatan Rakyat (PR).

“Ini bukan soal telus atau tidak tetapi berkaitan PR sendiri misalnya PKR yang makin buntu dengan krisis dalaman dihadapi, selain Pas yang juga bercelaru dengan prinsip negara berkebajikan dan pimpinan ulama.

“Jika kata sistem pilihan raya negara ini kotor, kita cabar supaya ia dibuktikan. Bagaimana mereka boleh menang di empat negeri sebelum ini jika kata sistem ada tidak telus,” katanya.

Menurutnya, selain laporan polis, pihaknya juga akan menggantung kain-kain rentang di kawasannya sebagai tanda bantahan terhadap perhimpunan Bersih 2.0.

Katanya, jika himpunan itu tetap diteruskan, pihaknya bersama jentera barisan Pemuda UMNO akan turun di lokasi sama, bagi membantah program berkenaan.

Di HULU LANGAT, Gabungan Komuniti Melayu Semenyih (GKMS) turut membuat laporan polis membantah penganjuran perhimpunan Bersih.

Jurucakapnya, Datuk Azami Mohamed berkata, laporan ini dibuat agar polis segera mengambil tindakan tegas untuk menghalang perhimpunan Bersih kerana ia akan memberikan kesan negatif.

“Laporan ini dibuat kerana GKMS khuatir perhimpunan oleh kumpulan yang menggelarkan Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram yang didalangi individu tertentu yang berniat jahat.” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut membuat laporan membantah Bersih.

Ketua Wiranitanya, Datin Paduka Hajah Norkhaila Jamaluddin berkata, pihaknya mendesak agar Menteri Dalam Negeri, mengambil apa juga cara sekalipun bagi menghalang perhimpunan tersebut daripada diteruskan.

Petikan dari akhbar Sinar Harian.

Thursday, June 23, 2011

BERTEMU DENGAN MUHAMMAD HAIRUMAN MISKON.

 Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1.Minggu lepas saya berkesempatan bertemu dengan anak muda bernama muhammad hairuman miskon. Anak muda ini punyai kisah luar biasa.

2.Tahun lepas anak muda ini terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi yang telah menyebabkan kecederaan parah kepada seluruh tubuhnya.

3.Alhamdulillah, hairuman sudah semakin pulih. Dia menampakkan kecekalan yang cukup luar biasa.

4.Pada pertemuan ini, saya bersama  rombongan Kolej Poly-Tech Mara telah memberikan sedikit bantuan kepada muhammad hairuman.

5.Pada pertemuan singkat ini, hairuman menyatakan minatnya untuk menyambungkan pelajaran di dalam kurus pendawaian elektrik. Menakjubkan sekali semangat anak muda ini. 

6.Semoga terus cekal dan bangkit muhammad hairuman !