Saturday, June 25, 2011

LAPORAN POLIS TERHADAP BERSIH OLEH PEMUDA UMNO SELAYANG.

 RAWANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik cadangan mengadakan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Ketuanya yang juga Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya turut berharap tindakan sewajarnya dikenakan kepada pimpinan demonstrasi itu sekiranya ia diteruskan.

“Perhimpunan ini hanya akan menyusahkan rakyat, malahan implikasinya lebih buruk daripada kebaikan. Kita tidak mahu budaya negatif sebegini dibiarkan berleluasa di negara ini.

“Insiden sebelum ini pun sudah membuktikan kesan perhimpunan itu yang bertukar menjadi huru-hara hingga menyusahkan peniaga dan orang ramai,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Rawang, di sini, malam kelmarin.

Turut membuat laporan sama ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Melayu Muda Selayang, Pertubuhan Pembela Selayang, kumpulan aktivis sosial dan ahli Pemuda UMNO Selayang.

Sohaimi berkata, Ketua Bersih 2.0, Datuk S Ambiga hanya diperkudakan untuk mengadakan himpunan yang disifatkan sebagai taktik pihak tertentu bagi mengalih pandangan terhadap isu Pakatan Rakyat (PR).

“Ini bukan soal telus atau tidak tetapi berkaitan PR sendiri misalnya PKR yang makin buntu dengan krisis dalaman dihadapi, selain Pas yang juga bercelaru dengan prinsip negara berkebajikan dan pimpinan ulama.

“Jika kata sistem pilihan raya negara ini kotor, kita cabar supaya ia dibuktikan. Bagaimana mereka boleh menang di empat negeri sebelum ini jika kata sistem ada tidak telus,” katanya.

Menurutnya, selain laporan polis, pihaknya juga akan menggantung kain-kain rentang di kawasannya sebagai tanda bantahan terhadap perhimpunan Bersih 2.0.

Katanya, jika himpunan itu tetap diteruskan, pihaknya bersama jentera barisan Pemuda UMNO akan turun di lokasi sama, bagi membantah program berkenaan.

Di HULU LANGAT, Gabungan Komuniti Melayu Semenyih (GKMS) turut membuat laporan polis membantah penganjuran perhimpunan Bersih.

Jurucakapnya, Datuk Azami Mohamed berkata, laporan ini dibuat agar polis segera mengambil tindakan tegas untuk menghalang perhimpunan Bersih kerana ia akan memberikan kesan negatif.

“Laporan ini dibuat kerana GKMS khuatir perhimpunan oleh kumpulan yang menggelarkan Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram yang didalangi individu tertentu yang berniat jahat.” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut membuat laporan membantah Bersih.

Ketua Wiranitanya, Datin Paduka Hajah Norkhaila Jamaluddin berkata, pihaknya mendesak agar Menteri Dalam Negeri, mengambil apa juga cara sekalipun bagi menghalang perhimpunan tersebut daripada diteruskan.

Petikan dari akhbar Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment