Sunday, June 26, 2011

PRESIDEN UMNO : TIADA ISTILAH NAIB JOHAN.

 RAWANG - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, yang paling penting bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti politik adalah untuk berjaya dalam pilihan raya kerana menurutnya dalam politik hanya kemenangan membawa erti.

Justeru itu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu berkata, dalam pilihan raya tidak ada istilah naib johan, sepertimana dalam sesuatu pertandingan biasa yang turut menyediakan hadiah untuk naib johan.


“Untuk pilihan raya hanya johan sahajalah yang ada erti dan makna bagi kita...dan kita semua sedar bahawa menjadi naib johan bererti kita kalah dalam waktu pilihan raya.

“(Dan) kita tahu nasib parti yang kalah,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Selayang di Perangsang Templer Golf Club di sini, semalam.

Najib berkata, yang penting dalam keadaan dan landskap politik hari ini adalah untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran kerana kalau menggunakan cara dan kaedah lama “kita boleh menang perang lama, perang baru tidak tentu lagi”.

Katanya, sebagai parti politik dalam dunia demokrasi berparlimen, tidak ada parti di negara ini yang lebih cemerlang daripada UMNO dan BN daripada segi kejayaan yang telah dicipta.

Namun katanya, UMNO dan BN sedar bahawa kehebatan masa silam tidak akan menjamin kelangsungan kuasa pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan anggota parti bahawa dua perkara perlu diberi perhatian untuk mencapai kejayaan dalam politik.

Pertama, katanya, berkaitan perkiraan angka iaitu siapa yang ada angka lebih dia menang dan keduanya politik adalah berkisar kepada tanggapan ataupun persepsi dan dengan itu persepsi positif di kalangan minda rakyat mengenai parti sentiasa perlu dibina.

“Ingat dua perkara ini sahaja... Bina dan cari angka (sokongan dan kemenangan kerusi) lebih pada kita. Kurangkan musuh kita, (tapi) tambahkan lagi sokongan orang pada kita.

“Cuba bangunkan persepsi yang positif...kalau mereka (pembangkang) cuba mencela kita...kita buat cara, lain, kita counter mereka dan kita tunjukkan persepsi yang lebih baik,” kata Najib.

Najib mengulangi kenyataannya mahukan “calon boleh menang” daripada UMNO dan BN untuk pilihan raya umum akan datang kerana rakyat akan menilai setiap individu yang diletakkan sebagai calon.

“Saya tahu zaman dulu letak songkok (pun) boleh menang. Ada orang kata letak batang pisang pun boleh diterima.

“Tetapi zaman sekarang orang lihat individu dan individu itu mesti ada kualiti sebagai pemimpin baru yang dapat sambutan. Sebab itu saya tekankan konsep “winnable candidate” (calon boleh menang),” katanya.

Najib mahu UMNO Bahagian Selayang berusaha memastikan kemenangan kesemua tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Selayang dan kerusi Parlimen itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Parlimen Selayang kini dimiliki PKR demikian juga DUN Rawang, manakala Kuang dan Taman Templer dikuasai oleh BN. - Bernama

No comments:

Post a Comment