Tuesday, October 18, 2011

MISI BANTUAN UMAT ISLAM KEMBOJA. (BAHAGIAN 2)

Alhamdulillah, lawatan bantuan kami selama 4 hari ke kemboja telah selamat kami laksanakan.

Antara fokus utama misi bantuan ini ke kemboja adalah melaksanakan amanah dan sumbangan rakyat malaysia yang prihatin terhadap permaslahan umat islam di sana.

Kami telah menghantar hampir 10 ribu naskah Al-Quran, kitab muqaddam kepada 3 buah daerah yang mempunyai kepadatan penduduk islam yang tinggi di sana.

Di samping itu, rancangan penubuhan sebuah maahad tahfiz (yang diberi nama Maahad Tahfiz Antarabangsa Malaysia-Kemboja) juga merupakan salah satu daripada perencanaan kami untuk membantu perkembangan ilmu khususnya kepada masyarakat islam di sana.

Perjalanan kami ini disertai oleh beberapa kumpulan antaranya Biro Ekonomi Pemuda Umno Malaysia (BEPU), Perdasama Muda, Yayasan Restu, wakil syarikat , wartawan dari pelbagai cabang media cetak,elektronik dan media internet.

Kerja dan kelancaran misi bantuan ini semakin mudah apabila kami senantiasa dibantu oleh wakil utama misi kami di sana iaitu Cambodian Muslim Intelectual Alliance (CMIA) yang diketuai oleh saudara Mohd Fared Hosen.

Lokasi pertama persinggahan kami adalah di masjid di kampong thnal keing dan pongro negeri kampong cham dan kratie.

Keadaan cukup mengujakan apabila kami disambut oleh kesemua para imam utama di kawasan berkenaan , dicampur dengan sambutan luar biasa seluruh penduduk kampung.

Sesungguhnya keadaan masjid yang kami lawati itu dilihat cukup daif dan kekurangan beberapa peralatan.

Kelas mengaji untuk pelajar sekolah rendah dilakukan di luar perkarangan masjid, kemudahan elektrik masih tiada dan sumber elektrik untuk laungan azan masih menggunakan bateri.

Di sini kami telah memberikan sumbangan berupa kitab Al-Quran dan Muqaddam kepada para imam dan wakil masyakarat di sana.

Perjalanan seterusnya kami singgah di Phumbong Ro dan Kampung Phum Soy, satu lagi kawasan kependudukan padat masyarakat islam berketurunan champa. Situasi daifnya lebih kurang sama dengan lokasi awal tadi.

Sumbangan yang sama juga telah kami berikan kepada imam dan wakil masyarakat setempat di sana.

Secara peribadi, saya mengharapkan agar misi bantuan ini dipergiatkan lagi.

Sumbangan dalam meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak islam masyarakat champa perlu diteruskan. Infrastruktur pembelajaran mereka perlu dipertingkatkan.

Bantuan berupa buku perlu ditambah. Malahan infrastruktur sekolah mereka perlu lagi diperbaiki bagi menyediakan satu suasana pembelajaran yang kondusif, lengkap dan teratur.

Satu sistem pembelajaran yang teratur sepertimana yang kita lakukan di Malaysia wajar dikembang dan diadaptasi di sana.

Insyaaallah perancangan sebuah sistem pendidikan yang lebih teratur akan kami usahakan tidak lama lagi.

Kami telah merancang untuk membina sebuah maahad tahfiz antarabangsa bertempat di Kampung Soy. Maahad Tahfiz Antarabangsa ini setelah siap pembinaannya mampu menempatkan hampir seribu orang pelajar pada satu-satu masa.

Biro Ekonomi Pemuda Umno akan melancarkan kutipan dana sumbangan dalam merealisasikan bangunan maahad tahfiz ini.

Sejumlah RM300 ribu diperlukan bagi membina sebuah maahaf tahfiz yang lengkap.


No comments:

Post a Comment