Monday, October 31, 2011

DYMM SULTAN SELANGOR TERIMA KARYA FATAH.


SHAH ALAM 30 Okt. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima dua lukisan hasil karya pelukis terkenal tempatan, Abdul Fatah Ngah di Istana Bukit Kayangan di sini baru-baru ini.

Baginda sukacita menerima dua lukisan berkenaan iaitu bertajuk Wayang hasil karya Abdul Fatah atau lebih dikenali sebagai Fatah pada 1996 serta lukisan Merdeka, Merdeka, Merdekayang dihasilkan pelukis itu pada 1995.

Lukisan tersebut antara yang menarik minat baginda untuk dibeli dan sekali gus membantu mengumpul dana bagi membiayai kos perubatan serta perbelanjaan Abdul Fatah yang kini menghidap penyakit saraf.

Pembelian lukisan itu juga sebagai tanda keprihatinan baginda dalam meringankan beban yang ditanggung pelukis berusia 57 tahun itu.

Pada majlis penerimaan lukisan-lukisan tersebut, baginda sempat meluangkan masa bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Abdul Fatah yang kini berkerusi roda selain mendapatkan penerangan ringkas mengenai karya pelukis itu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan yang juga Penaung Cartoonist At Work (CAW).

Pada 21 Oktober lalu, biro itu dan CAW melancarkan Pameran dan Jualan Amal Karya Kartunis Fatah di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, bertujuan mengumpul dana bagi membiayai kos perubatannya.

Abdul Fatah yang dilahirkan di Dungun, Terengganu, terkenal sebagai kartunis sekitar 70-an dan pernah bersama majalah humor, Gila-Gila dengan karya bertajuk Lagak A. Mahmud.

Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang meminati seni, dia ialah abang kepada komposer terkenal tanah air, Manan Ngah.

Friday, October 28, 2011

PEMBINAAN MAAHAD TAHFIZ. KENYATAAN SAYA DALAM UTUSAN MALAYSIA.



KUALA LUMPUR 27 Okt. - Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO (BEPU) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) melancarkan Tabung Dana Pembinaan Maahad Tahfiz Antarabangsa Malaysia-Kemboja.

Pengerusi BEPU, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya berharap dapat menarik pelbagai pihak terutamanya sektor korporat untuk menyumbang kepada pembinaan maahad itu dengan sasaran mengumpul sebanyak RM500,000 dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, maahad tersebut akan didirikan di atas tanah seluas 0.8 hektar di Kampung Cham, Kemboja.

''Kita harap ia dapat disiapkan pada penghujung tahun hadapan dalam usaha membantu masyarakat Islam Kemboja mendapatkan pendidikan dan keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden 3 Perdasama, Datuk Shawaludin Mohd. Din dan Setiausaha Perdasama Muda, Ahmad Zaffry Sulaiman.

Sohaimi berkata, selain sumbangan wang tunai, pihaknya juga mengalukan-alukan sebarang sumbangan lain bagi membantu masyarakat Islam di negara itu.

Menurutnya, maahad tahfiz itu bukan sahaja memberi tertumpu terhadap pengajian al-Quran, sebaliknya, turut menekankan pengajian dalam bidang lain seperti Sains, Komputer dan bahasa Melayu.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 1,000 pelajar seawal usia 10 tahun termasuk pelajar antarabangsa dari Laos dan Vietnam akan mengikuti pembelajaran di maahad tersebut.

Katanya, sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank di nombor akaun 162740137269 atau menghubungi pejabat Perdasama di talian 03-20952002 atau sekretariat BEPU di talian 019-3229507.

Wednesday, October 26, 2011

LAPORAN AUDIT : KHALID IBRAHIM GAGAL LAGI.

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin pakatan pembangkang gagal mengurus tadbir kewangan pembangunan berjumlah RM1.2 juta bagi menaik taraf lima produk pelancongan, sebaliknya peruntukan terbabit digunakan bagi membiayai penubuhan Tabung Warisan Anak-Anak Selangor (TAWAS).


  Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan hasil semakan pihaknya mendapati kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak membelanjakan peruntukan sudah diluluskan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi tahun 2008 dan 2009.



  Lima produk pelancongan yang perlu di naik taraf adalah di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.



  “Pada pendapat audit, pengurusan kewangan pembangunan pelancongan tidak memuaskan kerana terdapat peruntukan yang tidak dibelanja atau dibelanjakan untuk tujuan lain. Bagi menjamin industri pelancongan terus berkembang dengan amalan seperti ini harus dielakkan.



  “Peruntukan sejumlah RM70,000 yang diluluskan bagi mempromosi dan menaik taraf produk pelancongan tidak dibelanjakan sehingga tarikh penutupan akaun tahun 2010. Bagaimanapun perbendaharaan Selangor menggunakan peruntukan tersebut bagi membiayai penubuhan TAWAS,” katanya.



  Peruntukan RM1.2 juta itu sepatutnya digunakan bagi membina kemudahan asas di kawasan pelancongan seperti Hutan Lipur Kancing, kawasan rekreasi Sungai Congkak, medan sate Kajang, Rumah Rehat , Rumah Rehat Sri Berkat, Kolam Air Panas Selayang dan rumah pam di Bukit Fraser dan Taman Warisan.



  Sementara itu, dalam mempromosikan destinasi pelancongan kerajaan Selangor juga turut dikesan menyalahgunakan papan iklan bergambar pelancongan apabila menggunakannya bagi tujuan lain atas arahan pihak pentadbiran.



  Sebanyak RM22,000 diperuntukkan kepada Tourism Selangor untuk memasang tiga unit papan iklan bertemakan pelancongan di daerah Hulu Selangor, semakan audit mendapati satu papan iklan berkaitan pelancongan dipasang di Jalan Rasathurai, Kuala Kubu Bharu, manakala dua lagi tidak berkaitan dengan pelancongan.



  “Papan iklan yang dipasang di mini Stadium, Kuala Kubu Bharu dan laluan Pekan Rasa ke Kuala Kubu Bharu bukan berkaitan dengan pelancongan sebaliknya mempromosi TAWAS dan kempen air percuma.



  “Tourism Selangor menjelaskan bahawa ia adalah hak milik MDHS, pemaparan papan iklan bergambar selain daripada papan iklan bergambar asal iaitu destinasi pelancongan adalah atas arahan Pejabat Menteri Besar Selangor.

Tuesday, October 25, 2011

LAPORAN AUDIT : KDEB RUGI LAGI.

KUALA LUMPUR: Pengurusan Syarikat Kerajaan negeri Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kurang memuaskan apabila mengalami kerugian sebelum cukai bagi 2009 sebanyak RM122.25 juta berbanding keuntungan sebelum cukai yang diperoleh 2008 iaitu RM34.45 juta.

  Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 hasil daripada pengauditan yang dijalankan terhadap KDEB antara bulan Ogos hingga Disember tahun lalu mendapati secara keseluruhannya pengurusan syarikat KDEB adalah tidak memuaskan.

  KDEB adalah syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor yang ditubuhkan 3 Ogos 1985 di bawah Akta Syarikat 1965 beroperasi dengan modal yang dibenarkan berjumlah RM300 juta dan modal berbayar berjumlah RM262.40 juta.

  “Pada tahun 2009, pengurusan aktiviti utama KDEB dan prestasi kewangan syarikat subsidiari KDEB juga juga tidak memuaskan di mana terdapat kerugian selepas cukai berjumlah antara RM1.08 juta hingga RM139.23 juta.

  “Terdapat juga beberapa kelemahan tadbir urus korporat seperti mesyuarat lembaga pengarah tindak mengikuti kekerapan, audit dalaman tidak ditubuhkan dan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan tidak berfungsi,” katanya.

  Selain itu berdasarkan laporan audit juga mendapati KDEB tidak membayar dividen kepada kerajaan negeri Selangor serta pembayaran bonus tidak mengikut peraturan ditetapkan.

  Bagi memastikan pengurusan kewangan, operasi dan tadbir urus korporat dipertingkatkan, KDEB disyorkan mematuhi dan melaksanakan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 9, 10, 11 dan 12 tahun 1993. 

  Bukan itu saja KDEB juga disarankan supaya meluluskan Prosedur Kerja dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan diguna pakai sebagai panduan dalam menjalankan urusan kewangan.

  Syarikat milik kerajaan negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor itu berperanan sebagai sebuah syarikat pelaburan dan bagi memenuhi keperluan masyarakat KDEB menekankan kepada pelaburan terancang dan berstruktur.

  “Keahlian Lembaga Pengarah pada Mac 2008 terdiri daripada empat orang ahli iaitu, Menteri Besar Selangor, Presiden KDEB, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.

Tuesday, October 18, 2011

MISI BANTUAN UMAT ISLAM KEMBOJA. (BAHAGIAN 2)

Alhamdulillah, lawatan bantuan kami selama 4 hari ke kemboja telah selamat kami laksanakan.

Antara fokus utama misi bantuan ini ke kemboja adalah melaksanakan amanah dan sumbangan rakyat malaysia yang prihatin terhadap permaslahan umat islam di sana.

Kami telah menghantar hampir 10 ribu naskah Al-Quran, kitab muqaddam kepada 3 buah daerah yang mempunyai kepadatan penduduk islam yang tinggi di sana.

Di samping itu, rancangan penubuhan sebuah maahad tahfiz (yang diberi nama Maahad Tahfiz Antarabangsa Malaysia-Kemboja) juga merupakan salah satu daripada perencanaan kami untuk membantu perkembangan ilmu khususnya kepada masyarakat islam di sana.

Perjalanan kami ini disertai oleh beberapa kumpulan antaranya Biro Ekonomi Pemuda Umno Malaysia (BEPU), Perdasama Muda, Yayasan Restu, wakil syarikat , wartawan dari pelbagai cabang media cetak,elektronik dan media internet.

Kerja dan kelancaran misi bantuan ini semakin mudah apabila kami senantiasa dibantu oleh wakil utama misi kami di sana iaitu Cambodian Muslim Intelectual Alliance (CMIA) yang diketuai oleh saudara Mohd Fared Hosen.

Lokasi pertama persinggahan kami adalah di masjid di kampong thnal keing dan pongro negeri kampong cham dan kratie.

Keadaan cukup mengujakan apabila kami disambut oleh kesemua para imam utama di kawasan berkenaan , dicampur dengan sambutan luar biasa seluruh penduduk kampung.

Sesungguhnya keadaan masjid yang kami lawati itu dilihat cukup daif dan kekurangan beberapa peralatan.

Kelas mengaji untuk pelajar sekolah rendah dilakukan di luar perkarangan masjid, kemudahan elektrik masih tiada dan sumber elektrik untuk laungan azan masih menggunakan bateri.

Di sini kami telah memberikan sumbangan berupa kitab Al-Quran dan Muqaddam kepada para imam dan wakil masyakarat di sana.

Perjalanan seterusnya kami singgah di Phumbong Ro dan Kampung Phum Soy, satu lagi kawasan kependudukan padat masyarakat islam berketurunan champa. Situasi daifnya lebih kurang sama dengan lokasi awal tadi.

Sumbangan yang sama juga telah kami berikan kepada imam dan wakil masyarakat setempat di sana.

Secara peribadi, saya mengharapkan agar misi bantuan ini dipergiatkan lagi.

Sumbangan dalam meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak islam masyarakat champa perlu diteruskan. Infrastruktur pembelajaran mereka perlu dipertingkatkan.

Bantuan berupa buku perlu ditambah. Malahan infrastruktur sekolah mereka perlu lagi diperbaiki bagi menyediakan satu suasana pembelajaran yang kondusif, lengkap dan teratur.

Satu sistem pembelajaran yang teratur sepertimana yang kita lakukan di Malaysia wajar dikembang dan diadaptasi di sana.

Insyaaallah perancangan sebuah sistem pendidikan yang lebih teratur akan kami usahakan tidak lama lagi.

Kami telah merancang untuk membina sebuah maahad tahfiz antarabangsa bertempat di Kampung Soy. Maahad Tahfiz Antarabangsa ini setelah siap pembinaannya mampu menempatkan hampir seribu orang pelajar pada satu-satu masa.

Biro Ekonomi Pemuda Umno akan melancarkan kutipan dana sumbangan dalam merealisasikan bangunan maahad tahfiz ini.

Sejumlah RM300 ribu diperlukan bagi membina sebuah maahaf tahfiz yang lengkap.


Monday, October 17, 2011

MISI BANTUAN UMAT ISLAM KEMBOJA. (BAHAGIAN 1)

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah misi bantuan umat islam ke cambodia telah selamat kami jalankan. 

2.Misi bantuan ini antara intipati utamanya adalah membekalkan hampir 10 ribu kitab Al-Quran dan Muqaddam kepada 3 buah daerah besar di Cambodia. Ia meliputi hampir 95% penduduk Islam berketurunan Champa.

3. Misi bantuan ini disertai oleh Biro Ekonomi Pemuda Umno, Perdasama Muda,wakil syarikat,media utama dan media internet.

4. Pengalaman bantuan ini cukup mengujakan. Suasana dan kehidupan sosio ekonomi umat islam di sana boleh dianggap daif.

5. Insyaallah saya akan membuat artikel bersiri mengenai misi penting ini. Terlalu banyak perkara yang hendak saya utarakan. Di bawah ini adalah siri petikan akhbar yang sempat saya simpan sebagai tatapan pembaca.


Monday, October 10, 2011

PROGRAM JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA MENDAPAT SAMBUTAN.


MUAR 9 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO menyasarkan 6,000 generasi muda melibatkan diri dalam perniagaan francais melalui program Jelajah Francais 1Malaysia ke seluruh negara selama enam bulan, bermula hari ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, beliau yakin program transformasi ekonomi itu dapat mencapai matlamatnya berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada golongan muda.

"Pemuda UMNO tidak lagi mahu menumpukan politik semata-mata tetapi membantu kerajaan untuk melaksanakan tranformasi ekonomi dengan melahirkan usahawan di kalangan generasi muda,” katanya selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia peringkat negeri Johor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta anggota Parlimen Muar menyeru belia terutama yang baru mencuba bidang perniagaan supaya memberanikan diri dengan menceburkan diri dalam perniagaan francais.

Beliau berkata perniagaan francais berisiko rendah dan mampu melonjakkan pendapatan belia yang bekerja dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Katanya, ketika ini terdapat 588 produk francais boleh diceburi yang meliputi bidang makanan, perkhidmatan dan pendidikan.

"Perniagaan francais tidak mempunyai risiko kerana untungnya sudah ditentukan francaisor. Belia cuma perlu berani dan bersedia berkorban tiga atau empat bulan sebelum mula memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada bekerja ”makan gaji”,” katanya.

Dalam pada itu, Razali turut menyarankan pengusaha Mi Bandung Muar supaya mengembangkan perniagaan mereka secara francais.

Beliau berkata Mi Bandung Muar sudah dikenali ramai di negara ini tetapi makanan itu masih belum disenaraikan sebagai salah satu daripada produk francais di negara ini. - Bernama

Friday, October 7, 2011

VIDEO PELANCARAN JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA.

FOTO PERASMIAN MAJLIS JELAJAH FRANCAIS 1MALAYSIA.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah program Jelajah Francais 1Malaysia telah berjaya dilangsungkan pada 6 oktober 2011. Perasmian ini dilakukan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri ,Menteri Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan.

2.Jelajah Francais 1Malaysia ini bermatlamat mahu melahirkan lebih ramai usahawan di seluruh negara yang berminat untuk terlibat dalam perniagaan francais. 

3.Kerjasama antara Kementerian,Perdasama Muda, Biro Ekonomi Pemuda Umno dan MFA telah membuka satu ruang peluang kepada aperantis peniaga baru untuk memulakan perniagaan. Insyaallah pihak kami telah menyusun langkah untuk mengadakan roadshow Jelajah Francais 1Malaysia di seluruh negara dalam masa terdekat.

4. Ucapan penuh Menteri KPDNKK dan saya akan dipublishkan secepat mungkin dalam blog ini. 










Tuesday, October 4, 2011

BAJET 2012 : JAMINAN PM.

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kerajaan bakal mengumumkan beberapa inisiatif di dalam Belanjawan 2012 pada Jumaat ini khusus untuk menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah yang kini terpaksa berhadapan dengan cabaran persekitaran ekonomi cukup hebat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, susulan inisiatif-inisiatif itu kerajaan akan mengekalkan momentum ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.

''Melalui bajet itu kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara dan kita akan menerangkannya secara terperinci. (Apa yang penting) Apa-apa program yang akan kita laksanakan adalah di bawah lingkungan kemampuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, prestasi ekonomi negara terus berkembang walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran negara-negara luar antaranya kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta krisis hutang kerajaan negara Eropah.

''Sebagai negara perdagangan, persekitaran tidak menentu ini sudah tentu memberi kesan kepada ekonomi negara melalui hubungan kewangan dan pasaran kewangan.

''Namun keadaan ini dijangka hanya memberi kesan yang minimum memandangkan negara mempunyai kekuatan daya tahan, asas ekonomi yang mapan serta perancangan ekonomi yang kukuh," katanya lagi.

Mengenai prestasi ekonomi semasa beliau berkata, dalam tempoh separuh pertama 2011 ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dan angka itu dicatatkan dalam persekitaran yang mencabar terutama selepas berlakunya gempa bumi di Jepun.

''Namun begitu kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua adalah lebih baik melalui perbelanjaan dan permintaan domestik serta kecergasan aktiviti pelaburan. Kita jangka perbelanjaan pengguna terus mencatat pertumbuhan ekoran harga komoditi yang kekal tinggi dan prospek pekerjaan yang stabil," katanya.