Thursday, October 4, 2012

MENOLAK BAJET KELENTONG OLEH PAKATAN.



Pakatan pembangkang atau lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat melalui ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan 'Bajet bayangan 2013' di Parlimen baru-baru ini.
Bajet tersebut yang berteraskan Buku Jingga kononnya untuk memenuhi aspirasi rakyat dan bagi menunjukkan mereka lebih baik daripada bajet yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Pakatan pembangkang boleh menjanjikan 'bulan dan bintang' dalam bajet mereka tetapi sebagai rakyat kita perlu sedar bahawa mereka tidak mempunyai autoriti untuk melaksanakannya.
"Usah terpedaya kerana sekiranya berkuasa sekalipun mereka tidak mampu melaksakannya seperti mana manifesto pilihan raya umum yang lalu kerana bagi pakatan pembangkang, ia bukan satu perjanjian untuk dilaksanakan.
Sebaliknya apa yang dibentangkan oleh perdana menteri adalah satu janji yang wajib untuk ditepati, malah bajet itu sendiri merupakan satu komitmen daripada kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat," ujarnya di sini hari ini.
Tambahnya, salah satu dalam bajet pakatan pembangkang untuk menaikkan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta sebanyak RM1,100 sebulan. Ini hanya gimik politik untuk menarik sokongan rakyat khususnya di kalangan pekerja sektor swasta.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini pernah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 tetapi hanya untuk anak syarikat yang berkemampuan tetapi hakikatnya sampai sekarang masih belum terlaksana.
"Apa yang rakyat perlu ketahui ialah bajet bayangan yang dikemukakan itu hanya akan menyebabkan kerajaan mengalami defisit, malah tidak kompeten untuk perbelanjaan negara.
Ini kerana banyak syarikat, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME) tidak akan dapat membayar gaji setinggi itu. Jika mereka dipaksa, maka kebanyakannya akan gulung tikar kerana kos operasi melambung naik. Jika syarikat SME gulung tikar, sudah tentu menyebabkan pengangguran yang teruk.
Jumlah SME di Selangor ialah sebanyak 300,000. Kebanyakannya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sekiranya 1 syarikat SME mempunyai 5 pekerja, jumlah keseluruhan pekerja yang terlibat dalam SME ialah 1.5 bilion," ujarnya.
Jika ada syarikat yang dapat membayar gaji minimum RM1,100, ianya akan menyebabkan kos produk meningkat yang seterusnya akan menyebabkan harga barangan jualan meningkat tinggi. Ini akan menyusahkan rakyat yang terpaksa membeli dengan harga yang terlalu tinggi.
Tahap gaji minimum yang terlalu tinggi (RM1,100) juga akan menakutkan pelabur-pelabur baru termasuk pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Kenaikan gaji minimum yang terlalu tinggi ini bukan sahaja untuk kakitangan kerajaan, tetapi semua termasuk pekerja ladang, kedai mamak dan sebagainya. Berlaku defisit sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk membayar gaji sahaja.
"Apa yang nyata, setiap bajet bayangan pakatan pembangkang gagal mendedahkan sumber kewangan yang jelas mahupun kaedah menjana pendapatan serta menarik pelaburan bagi menjamin SME sedia ada mampu meningkatkan produktiviti.
Bagi rakyat biasa, tentu sekali apa yang digula-gulakan oleh pembangkang itu sangat menarik tetapi sebenarnya banyak lompang dan kelemahan terutama untuk menunaikan janji-janji itu.
Kesimpulannya, bajet pakatan pembangkang hanya satu janji atau mimpi yang tidak boleh ditunaikan setelah mengambil kira rekod sepanjang mentadbir negeri-negeri di bawah mereka," ujarnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

No comments:

Post a Comment