KUALA LUMPUR 12 Julai - Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ekoran kerugian RM3.5 juta yang terpaksa ditanggung akibat perhimpunan haram Sabtu lalu.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, pihaknya menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur Bersih kerana perhimpunan haram lalu telah menjejaskan periuk nasi ramai peniaga dan pengusaha teksi.
"Akibat perhimpunan haram itu, peniaga dan pemandu teksi terpaksa bekerja lebih keras bagi menanggung kerugian hari itu kerana mereka masih perlu membayar sewa kedai dan kenderaan walaupun tidak menjalankan sebarang urusan perniagaan pada Sabtu lalu.
"Kami kesal apabila terdapat beberapa pemimpin pembangkang yang mempertikaikan sebab kami menutup dan tidak menjalankan perniagaan pada hari itu. Soalnya, bagaimana kami mahu menjalankan perniagaan jika keadaan huru hara?" katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar penyerahan memorandum kepada Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan untuk disampaikan kepada Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Teksi Bumiputera Malaysia (Perbumi), Datuk Mohd. Alias Abdul dan wakil Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Dr. Ibnu Hassan Thalha.
Antara NGO yang turut menyerahkan memorandum tersebut adalah Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Persatuan Pengusaha Teksi Ampang, Perdasama Muda dan Persatuan Usahawan Melayu Bandar Tun Razak.
Tambah Moehamad Izat, melalui penyerahan itu, pihaknya berharap suara pengusaha dan pemandu teksi diberi perhatian demi keharmonian negara.
Sementara itu, Sohaimi berkata, masyarakat harus sedar bahawa amalan berhimpun beramai-ramai dan demonstrasi bukanlah budaya negara ini.
"Bersih telah berjaya menjadikan perhimpunan haram itu sebagai satu platform untuk menonjolkan imej yang buruk mengenai negara kepada para pelancong dan media antarabangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment