Sunday, July 3, 2011

BIRO EKONOMI PEMUDA UMNO (BEPU) SEDIA MEMBANTU.



KUALA LUMPUR 2 Julai – Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO bersedia menjadi penghubung bagi membincangkan undang-undang pengubahsuaian motosikal berkuasa tinggi dengan pihak berkuasa.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya memahami rungutan yang disuarakan oleh peminat motosikal itu apabila undang-undang ketika ini tidak membenarkan mereka mengubah suai kenderaan jenis itu.

“Kita bersedia untuk berbincang dengan pihak berkuasa supaya kreativiti penunggang motosikal ini tidak tersekat.

“Sebenarnya, peminat motosikal berkuasa tinggi ini bukanlah terdiri daripada kelompok bermasalah kerana banyak aktiviti yang mereka jalankan melalui konvoi adalah berbentuk amal malah ramai daripada mereka terdiri daripada golongan yang banyak menyumbang kepada masyarakat,” katanya,

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Butik Red Garage dan pelantikan vendor-vendor serta majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara butik itu dengan biro yang diterajuinya di sini hari ini.

Sempena majlis itu, Sohaimi turut melepaskan konvoi lebih 100 motosikal berkuasa tinggi itu yang mengelilingi ibu negara.

Sementara itu, Sohaimi berkata, jalinan kerjasama menerusi MoU itu akan mewujudkan penembusan pasaran bersama Red Garage untuk mempromosikan produk berkaitan motosikal berkuasa tinggi yang mempunyai kelompok peminat yang besar di negara ini.

Sementara itu, pemilik Red Garage, Muhd. Idi Iskandar Abu Zahar berkata, beliau gembira kerana kerjasama itu akan menarik minat usahawan muda dan baru menjadi ejen bagi membekal dan memasarkan aksesori dan alat ganti untuk motosikal berkuasa tinggi.
“Kita berharap kerjasama ini akan mewujudkan lebih banyak lagi aktiviti yang merancakkan lagi perkembangan bidang permotoran,” katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment