Sunday, July 24, 2011

KES TEOH , JANGAN PERSOAL KEPUTUSAN SURUHANJAYA DIRAJA.


KANGAR, 23 Julai – Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat tidak sepatutnya mempersoalkan keputusan suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock kerana ia dibuat berdasarkan kebenaran.
Dipetik Bernama Online, Perdana Menteri berkata suruhanjaya itu yang ditubuhkan di atas nama Yang di-Pertuan Agong merupakan sebuah badan yang bebas, adil dan mempunyai kredibiliti, dan sebarang kesimpulan yang dicapainya “adalah dalam bentuk kebenaran.”

“Jangan persoalkan kesimpulan (yang dibuat oleh suruhanjaya itu) kerana ianya akan menggagalkan tujuan penubuhan RCI (suruhanjaya),” katanya.

Beliau berkata jika rakyat berterusan mempersoalkan kepada kesimpulan yang dicapai oleh suruhanjaya itu, “apa lagi alternatif lain yang ada” untuk menjalankan siasatan bagi menyiasat kematian Teoh.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai suara-suara yang masih tidak berpuas hati dengan kesimpulan yang dicapai oleh suruhanjaya itu mengenai punca kematian Teoh bahawa dia membunuh diri, termasuk keluarga Teoh, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional Perlis di sini hari ini.

Najib yang mengadakan lawatan sehari ke Perlis hari ini berkata mereka yang dilantik menganggotai suruhanjaya itu adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kredibiliti.

Suruhanjaya itu diberi tanggungjawab menyiasat punca kematian Teoh, setiausaha politik anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Mengenai tiga pegawai penyiasat SPRM yang didapati telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada, Najib berkata tindakan terhadap mereka perlu dibuat mengikut peraturan pentadbiran dan undang-undang sedia ada.

Perdana Menteri berkata siasatan perlu dijalankan sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil ke atas mereka.

No comments:

Post a Comment