Sunday, August 21, 2011

EKONOMI BUMIPUTRA : KENYATAAN SAYA DALAM BERNAMA DAN FREE MALAYSIA TODAY.


KUALA LUMPUR: Sistem kluster perlu diwujudkan dalam konsep meritokrasi yang akan diamalkan dalam agenda membantu usahawan Bumiputera.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan berkata sistem kluster perlu untuk memperkuat daya saing dalam kalangan usahawan Bumiputera, terutama usahawan kecil.
“Usahawan Bumiputera kecil di kampung contohnya, sukar bersaing dengan pengilang Bumiputera besar jika tiada kluster ini, meritokrasi secara menyeluruh nampak tidak praktikal,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sekiranya usahawan berkembang maju dan berpotensi bersaing di luar kluster mereka, usahawan itu boleh dipindahkan ke kluster lebih besar untuk bersaing dengan usahawan dalam kluster itu dan seterusnya memajukan usahawan itu.
Katanya kluster boleh diwujudkan mengikut jenis atau saiz perniagaan seperti kluster usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan usahawan industri desa atau kluster lebih kecil seperti IKS besar, IKS sederhana dan IKS kecil.
Sohaimi berkata asas bantuan yang diberikan untuk setiap kluster perlu adil, namun jenis bantuan yang diberi perlu berdasarkan kepada keperluan khusus setiap kluster itu.
“Seperti ada dua isteri, keperluan biasa kita perlu bagi adil, tetapi bila bagi kereta kita tengok isteri pertama ada lima anak isteri kedua tiada anak, jadi kita bagi isteri pertama kereta lebih besar,” katanya.
Beliau berkata keseluruhan konsep meritokrasi itu juga perlu mempunyai tempoh masa tertentu untuk dijalankan dan dikaji keberkesanannya.
Katanya apabila dilihat konsep meritokrasi itu kurang mendatangkan kesan, perubahan perlu dilakukan terhadap konsep itu dan perubahan dilakukan dari semasa ke semasa bagi menyesuaikan konsep itu dengan keadaan perniagaan semasa.
“Sistem meritokrasi turut mewujudkan satu penanda aras yang perlu dicapai oleh usahawan Bumiputera bagi memperoleh bantuan dan penanda aras itu juga mampu mengenal pasti usahawan yang betul-betul berpotensi untuk diberi bantuan,” katanya.
Penanda aras
Setiausaha Agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Azril Mohd Amin berkata penanda aras untuk konsep meritokrasi mampu memperkuat usahawan Bumiputera bersaing dengan usahawan lain.
“Bila sudah ada penanda aras, usahawan Bumiputera akan berlumba-lumba untuk capai tahap itu.. Bila ada persaingan sihat ini, kualiti produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh usahawan itu akan bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata peningkatan kualiti itu membolehkan usahawan Bumiputera bersaing lebih kompetitif dengan produk dan perkhidmatan usahawan lain.
Azril yang mengakui kroni merupakan masalah dalam budaya perniagaan usahawan Bumiputera, bagaimanapun berkata faktor prestasi dan pencapaian usahawan Bumiputera mampu menghapuskan faktor kroni itu.
“Bila usahawan berganda lebih baik, tentu mudah tewaskan usahawan kroni. Prestasi dan pencapaian juga mampu menghapuskan usahawan berniaga atas angin. Kita lihat meritokrasi mampu menghapuskan usahawan kroni dan usahawan atas angin ini,” katanya.
Mengenai Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang kini dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat Bumiputera yang berkemampuan di bursa saham, Azril berkata Perdasama menyambut baik usaha itu yang seharusnya mempunyai ketelusan yang tinggi.
“Bursa Saham mampu membantu membesarkan perniagaan usahawan itu. Bagi pemberian saham terbitan awam pula saya cadangkan sistem perkongsian pembiayaan bagi menambah baik sistem pemberian itu,” katanya.
Beliau berkata melalui perkongsian pembiayaan, pemberian saham tidak diberi percuma, sebaliknya secara pinjaman dengan usahawan terbabit perlu membayar balik nilai saham itu dalam tempoh masa tertentu.
Katanya pemberian saham melalui pinjaman mampu menghalang saham daripada dijual terus kerana usahawan perlu memperoleh keuntungan lebih tinggi bagi menampung pembayaran balik nilai saham itu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem meritokrasi akan diamalkan dalam agenda membantu usahawan Bumiputera dan untuk itu Teraju dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat Bumiputera berkemampuan dalam bursa saham.
- Bernama

2 comments:

  1. Perlu juga diwujudkan usahawan mentor dan mentee dalam proses ke arah mencapai penanda aras tersebut. Ini kerana penanda aras merupakan target nyata tetapi cara terbaik untuk mencapai penanda aras tersebut memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang betul dan jitu. Kita mahu usahawan kita dibimbing agar sentiasa melakukan uasa yang 'betul' daripada 'membetulkan' sesuatu yang telah dilakukan. Mungkin perlunya "shiftibility theory" dalam konteks perniagaan dalam abad yang mencabar ini.

    ReplyDelete
  2. Harga ayam naik menjelang Raya..

    Makanan dikuasai Dap?

    Kerajaan Wajib melantik agensi seperti Felda untuk menyaingi harga ayam supaya tidak didominasi sebagai Fardhu Kifayah..

    Agensi tersebut sepatutnya dikawal oleh orang2 yg layak bukan seperti Khairy jamaludin dll pencacai supaya tiada korupsi..

    Ingat ini hanyalah fardhu kifayah..tak perlu bising2 kononnya halal hub dsb..ataupun Kita semua akan dihalau kafir kerana kegagalan berdikari..

    Begidu juga dgn industri2 lain..yg dah ada teruskan seperti kedai 1 malaysia, yg amat dibenci DAP..tetapi menguntungkan rakyat..& pastinya membaiki imej kerajaan sebagai pembela rakyat & menjamin peluang pekerjaan..

    bertindak selagi berkuasa melakukannya..

    ReplyDelete