Monday, August 29, 2011

SALAM AIDILFITRI DARI SAYA DAN KELUARGA.


Allah Maha Besar,
Allah Maha Agung,
Allah Maha Segalanya.
Allahu Akbar, Wa Lillaahil Hamd.

Hari Raya adalah Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan,
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?

Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang mencipta duka.

Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya. 31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Itulah Hari Kemerdekaan Negara.

Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.

Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.

Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.

Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?

Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?

Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.

Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.

Penjajah Pertama adalah Syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.

“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.

Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.

Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?

Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.

Penjajah Kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]

Itulah sebesar-besar penjajah.

Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.

Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?

Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?

Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?

Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.

Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.

Pelajaran Ramadhan adalah untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?

Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.

Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah. Itulah AIDIL FITRI

Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam dan budaya kita, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.

Marilah sama-sama kita memohon kemaafan sesama kita agar ikatan silaturrahim  dapat dipertingkatkan, jalinan ukhwah terus diperkukuhkan.

Salam Kemaafan
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Dengan ingatan tulus Ikhlas daripada:
DATO SOHAIMI SHAHADAN
& DATIN RABIATUL ADAWIAH serta keluarga

No comments:

Post a Comment