Wednesday, August 31, 2011

SALAM KEMERDEKAAN !


Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

Merdeka, Merdeka , Merdeka.

1. Alhamdulillah bersyukur kita di atas nikmat kurniaan Ilahi apabila sekali lagi kita diberi peluang untuk menyambut lalu meraikan hari ulangtahun kemerdekaan ke 54 negara.

2. Namun di dalam menelusuri arus pendewasaan kemerdekaan, masyarakat kita kerap kali diuji dengan pelbagai cabaran mendatang. 

3.Hari ini  pendewasaan kemerdekaan kita tidak lagi berhadapan dengan proses tumpah darah mahupun mengangkat senjata, sebaliknya rakyat malaysia diuji dengan pelbagai ide halus anasir propaganda yang sengaja cuba mencetuskan resah rakyat terhadap makna kemerdekaaan.

4. Pengertian dan sejarah kemerdekaan cuba dirosak racun dengan cucukan pelbagai dakyah sempit dan fakta songsang pensejarahan.

5.Pengertian semangat dalam sejarah ke arah kemerdekaan,proses kemerdekaan, institusi dan individu sebelum dan pasca merdeka hatta perlembagaan yang wujud selepas kita mencapai kemerdekaan cuba disongsang kan fakta demi meraih populariti politik.

6. Hak dan fakta sebenar kemerdekaan digodak. Isinya dimanipulasi, jalinan kesan hasil kemerdekaan dikocak hanya kerana mahu menyempitkan pemikiran rakyat akan makna roh kemerdekaan.

7. Kita wajib pertahankan erti dan fakta kemerdekaan yang sudah tersedia termaktub sejarah pembinaan sebuah negara bangsa. 

8.Ya memang benar di dalam menelusuri arus kematangan demokrasi yang mengizinkan kita punyai pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat, namun ia sama sekali tidak mengizinkan kita untuk lupa pada persetujuan asas semangat negara bangsa. Asas kenegaraan 54 tahun ini jangan sama sekali kita lupakan.

9. Bangkitlah kita wahai anak malaysia, raikan kemerdekaan ini dengan jiwa dan roh anak merdeka. Pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu harus dijadikan asas kekuatan roh kita dan ia wajib dipasakkan pula dengan pengertian yang cukup luar biasa 5 prinsip rukunegara.

Salam Kemerdekaan Ke 54 Negara Tercinta.

Monday, August 29, 2011

SALAM AIDILFITRI DARI SAYA DAN KELUARGA.


Allah Maha Besar,
Allah Maha Agung,
Allah Maha Segalanya.
Allahu Akbar, Wa Lillaahil Hamd.

Hari Raya adalah Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan,
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?

Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang mencipta duka.

Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya. 31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Itulah Hari Kemerdekaan Negara.

Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.

Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.

Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.

Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?

Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?

Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.

Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.

Penjajah Pertama adalah Syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.

“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.

Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.

Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?

Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.

Penjajah Kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]

Itulah sebesar-besar penjajah.

Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.

Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?

Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?

Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?

Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.

Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.

Pelajaran Ramadhan adalah untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?

Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.

Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah. Itulah AIDIL FITRI

Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam dan budaya kita, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.

Marilah sama-sama kita memohon kemaafan sesama kita agar ikatan silaturrahim  dapat dipertingkatkan, jalinan ukhwah terus diperkukuhkan.

Salam Kemaafan
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Dengan ingatan tulus Ikhlas daripada:
DATO SOHAIMI SHAHADAN
& DATIN RABIATUL ADAWIAH serta keluarga

Saturday, August 27, 2011

JURANG GAJI SISWAZAH MELAYU : SATU BADAN KHAS PERLU DITUBUH.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Saya telah mengeluarkan kenyataan agar perlunya satu badan khas ditubuhkan oleh kerajaan dalam menangani isu jurang perbezaan gaji di antara siswazah melayu dan bukan melayu.

2.Malahan satu bentuk kerjasama antara syarikat swasta dan badan khas tersebut dijangka boleh membantu menyelesaikan isu perbezaan gaji yang diterima oleh siswazah yang terlibat.

3. Untuk membaca penuh kenyataan saya yang disiarkan oleh BERNAMA, anda boleh KLIK DI SINI.

Friday, August 26, 2011

FOTO MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA MEDIA.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

Terima Kasih saya ucapkan kepada rakan saya, bloger mahaguru58 di atas kesudiannya menyiarkan artikel/foto mengenai majlis berbuka puasa pihak kami bersama media yang dianjurkan semalam.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut,anda boleh KLIK DI SINI.


Thursday, August 25, 2011

ISU MAJLIS SYURA :KENYATAAN AKHBAR DARI PEJABAT DYMM SULTAN SELANGOR.


Kenyataan akhbar Penubuhan Majlis Penasihat Syura

ADALAH saya dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor merujuk kepada kenyataan yang terdapat dalam media cetak, media elektronik dan media alternatif pada hari ini 23 Ogos 2011 berhubung dengan Penubuhan Majlis Penasihat Syura oleh Kerajaan Negeri Selangor.

D.Y.M.M. Sultan Selangor amat terkejut dan menitahkan kepada saya membuat penjelasan tentang pendirian Baginda mengenai isu kenyataan tersebut, yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah sama sekali tidak benar.

Apa yang berlaku ialah Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato' Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos 2011 yang lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor.

D.Y.M.M. Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor memanggil pihak gereja bersama-sama dengan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor, tetapi Baginda menasihatkan supaya Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor menjemput sekali Sahibus Samahah Timbalan Mufti Selangor untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

Oleh yang demikian, isu tentang D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah tidak benar. Pendirian D.Y.M.M. Sultan Selangor berkaitan dengan Majlis Penasihat Syura ataupun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana Negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dato' Haji Mohamad Munir Bani
Dato' Lela Bakti Setiausaha Sulit
kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor

Sunday, August 21, 2011

EKONOMI BUMIPUTRA : KENYATAAN SAYA DALAM BERNAMA DAN FREE MALAYSIA TODAY.


KUALA LUMPUR: Sistem kluster perlu diwujudkan dalam konsep meritokrasi yang akan diamalkan dalam agenda membantu usahawan Bumiputera.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan berkata sistem kluster perlu untuk memperkuat daya saing dalam kalangan usahawan Bumiputera, terutama usahawan kecil.
“Usahawan Bumiputera kecil di kampung contohnya, sukar bersaing dengan pengilang Bumiputera besar jika tiada kluster ini, meritokrasi secara menyeluruh nampak tidak praktikal,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sekiranya usahawan berkembang maju dan berpotensi bersaing di luar kluster mereka, usahawan itu boleh dipindahkan ke kluster lebih besar untuk bersaing dengan usahawan dalam kluster itu dan seterusnya memajukan usahawan itu.
Katanya kluster boleh diwujudkan mengikut jenis atau saiz perniagaan seperti kluster usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan usahawan industri desa atau kluster lebih kecil seperti IKS besar, IKS sederhana dan IKS kecil.
Sohaimi berkata asas bantuan yang diberikan untuk setiap kluster perlu adil, namun jenis bantuan yang diberi perlu berdasarkan kepada keperluan khusus setiap kluster itu.
“Seperti ada dua isteri, keperluan biasa kita perlu bagi adil, tetapi bila bagi kereta kita tengok isteri pertama ada lima anak isteri kedua tiada anak, jadi kita bagi isteri pertama kereta lebih besar,” katanya.
Beliau berkata keseluruhan konsep meritokrasi itu juga perlu mempunyai tempoh masa tertentu untuk dijalankan dan dikaji keberkesanannya.
Katanya apabila dilihat konsep meritokrasi itu kurang mendatangkan kesan, perubahan perlu dilakukan terhadap konsep itu dan perubahan dilakukan dari semasa ke semasa bagi menyesuaikan konsep itu dengan keadaan perniagaan semasa.
“Sistem meritokrasi turut mewujudkan satu penanda aras yang perlu dicapai oleh usahawan Bumiputera bagi memperoleh bantuan dan penanda aras itu juga mampu mengenal pasti usahawan yang betul-betul berpotensi untuk diberi bantuan,” katanya.
Penanda aras
Setiausaha Agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Azril Mohd Amin berkata penanda aras untuk konsep meritokrasi mampu memperkuat usahawan Bumiputera bersaing dengan usahawan lain.
“Bila sudah ada penanda aras, usahawan Bumiputera akan berlumba-lumba untuk capai tahap itu.. Bila ada persaingan sihat ini, kualiti produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh usahawan itu akan bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata peningkatan kualiti itu membolehkan usahawan Bumiputera bersaing lebih kompetitif dengan produk dan perkhidmatan usahawan lain.
Azril yang mengakui kroni merupakan masalah dalam budaya perniagaan usahawan Bumiputera, bagaimanapun berkata faktor prestasi dan pencapaian usahawan Bumiputera mampu menghapuskan faktor kroni itu.
“Bila usahawan berganda lebih baik, tentu mudah tewaskan usahawan kroni. Prestasi dan pencapaian juga mampu menghapuskan usahawan berniaga atas angin. Kita lihat meritokrasi mampu menghapuskan usahawan kroni dan usahawan atas angin ini,” katanya.
Mengenai Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang kini dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat Bumiputera yang berkemampuan di bursa saham, Azril berkata Perdasama menyambut baik usaha itu yang seharusnya mempunyai ketelusan yang tinggi.
“Bursa Saham mampu membantu membesarkan perniagaan usahawan itu. Bagi pemberian saham terbitan awam pula saya cadangkan sistem perkongsian pembiayaan bagi menambah baik sistem pemberian itu,” katanya.
Beliau berkata melalui perkongsian pembiayaan, pemberian saham tidak diberi percuma, sebaliknya secara pinjaman dengan usahawan terbabit perlu membayar balik nilai saham itu dalam tempoh masa tertentu.
Katanya pemberian saham melalui pinjaman mampu menghalang saham daripada dijual terus kerana usahawan perlu memperoleh keuntungan lebih tinggi bagi menampung pembayaran balik nilai saham itu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem meritokrasi akan diamalkan dalam agenda membantu usahawan Bumiputera dan untuk itu Teraju dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat Bumiputera berkemampuan dalam bursa saham.
- Bernama

Saturday, August 20, 2011

WAQAF AL QURAN : KENYATAAN SAYA DI UTUSAN MALAYSIA.



KUANTAN 19 Ogos - Usaha menyebarkan syiar Islam bukan sahaja dilakukan di negara ini, malah, turut diperluaskan ke luar negara terutama kepada masyarakat minoriti Islam yang miskin.

Atas keprihatinan tersebut, Pemuda UMNO dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Yayasan Restu mensasarkan sebanyak 10,000 naskhah al-Quran untuk dibekalkan kepada masyarakat Islam di Kemboja.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, program wakaf al-Quran yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan membantu masyarakat negara itu memperoleh al-Quran yang dikatakan sukar didapati di negara berkenaan.

Beliau menyeru orang ramai untuk membantu menjayakan usaha tersebut sama ada berbentuk naskhah al-Quran atau wang tunai.

''Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada setiap masjid, madrasah, pusat tahfiz dan sebahagian penduduk di Kemboja selain beberapa aktiviti kemasyarakatan turut dijalankan.

''Kami berharap dapat mencapai sasaran tersebut dan setiap masyarakat Malaysia boleh menyumbang sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran bagi membantu sekali gus membuat amal kebajikan sesama saudara Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Jama'i Bersama Anak Yatim Rumah Kanak-Kanak Sultanah Kalsom dan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden KPTM, Datuk Yusoff Harun dan Pengarah KPTM Kuantan, Nurul Khamar Shariff.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut, pelajar serta anak-anak yatim kakitangan KPTM Kuantan.

Sohaimi yang juga Pengerusi KPTM berkata, sumbangan itu boleh disalurkan ke pejabat Perdasama, Lot 1717, Jalan Ledang Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur atau disalurkan terus ke akaun Dana Waqaf Al-Quran MayBank bermula 8 Ogos lalu hingga 8 Oktober ini.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Nor Hanani Amiara Shafawi, 14, berkata, sumbangan tersebut akan dikongsi bersama lima adik-beradiknya yang lain bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

''Saya bersyukur menerima sumbangan ini dan akan digunakan untuk membantu nenek membeli barangan keperluan lain," katanya.

Thursday, August 18, 2011

DAP GANTI PAS. SLOGAN YANG MENAMPAKKAN KEBENARANNYA.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1.Krisis kecelaruan pakatan terutamanya Parti PKR dan PAS dalam menangani isu 12 umat islam di dalam gereja DUMC menampakkan kepada kita akan kelemahan mereka dalam mempertahankan maruah islam.

2.Kronologi isu ini jelas menampakkan bahawa perkiraan bilangan kertas undi lebih didahulukan daripada menjaga hak dan maruah islam.

3.Khalid Ibrahim selang sehari selepas kejadian terus memohon maaf tanpa ada laporan lengkap di tangannya.

4. Manakala ahli parlimen shah alam, Khalid Samad nampak begitu keliru dalam membezakan perkara yang Hak dan sungguh kalut dalam menjuarai perkara teknikal isu 12 umat islam di gereja.

5.Membuat laporan polis terhadap pendedahan beberapa bloger pro umno jelas menunjukkan sikap kelam kabutnya dalam cubaan menjaga undi penyokong mereka.

6.Saya mengucapkan syabas di atas keberanian dan kebijaksanaan  keseluruhan blogers pro umno dalam menangani isu besar ini. Meletakkan kepentingan akidah umat islam dan berani memangkah setiap gerak laku pimpinan pembangkang hingga menampakkan  mereka kelihatan tempang adalah tindakan terpuji.

7.Tindakan Setiausaha Agung Pas menyalahkan umno yang kononnya menjadi dalang disebalik 'serbuan JAIS' adalah tuduhan melampau dan menampakkan kedangkalan mereka dalam menyelesaikan masalah. 

8.Mudahnya stail politik mereka. Kerap menuding jari ke atas orang lain di atas kelemahan sendiri mungkin sudah boleh dijadikan signal kepada pengundi di atas pagar untuk menilai semula 'kuasa undi' anda pada PRU ke 13 nanti.

9. Pas sudah jauh terlanjur dalam memperjuangkan yang Hak dan Bathil. 3 tahun berlalu kita telah diperlihatkan akan beberapa siri keputusan Parti Pas yang nampak selalu tunduk kepada arahan DAP.

10. Mungkin istilah 'Dap Ganti Pas' sudah menampakkan kebenarannya.

Monday, August 15, 2011

MAJLIS MERAIKAN ANAK-ANAK YATIM SEMPENA RAMADHAN DAN SYAWAL.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, hari ini telah masuk hari yang 14 kita menyambut bulan ramadhan. 

2. Pada hari sabtu yang lepas, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Selayang dengan kerjasama Syarikat Mydin telah meraikan kedatangan anak-anak yatim dari rumah Ehsan Al-Shakur Tasik Puteri dalam program berbuka puasa dan membeli kelengakapan  sempena sambutan Hari Raya yang bakal menjelang.

3. Seramai 20 orang anak-anak yatim telah diraikan di dalam majlis ini. Di bawah adalah siri foto-foto yang sempat dirakam semasa program berlangsung.






Friday, August 12, 2011

POLITIK BARU YANG MENGHANCURKAN .

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Kisah  JAIS dan  tindakan mereka mahu menyelamatkan akidah 12 orang islam di dalam gereja semakin mencapai klimaks sokongannya.

2. JAIS hanya menjalankan tugas sebagai penguatkuasa agama. Kronologi dan tentatif program anjuran pihak gereja sudah terbongkar. Asal cerita adalah mahu mennganjurkan aktiviti berbuka puasa, namun yang berlaku adalah disebaliknya.

3. 2 pemimpin yang cukup terkenal dengan jelek pemikirannya, iaitu khalid samad dan khalid ibrahim sudah tersilap langkah. Usaha pre emptive yang cuba dilakukan telah memakan diri. Bejat dan hodoh politik sudah terbongkar.

4. Bagaimana seorang Menteri Besar tanpa ada laporan lengkap mengenai insiden di tangannya boleh memohon maaf secara terbuka kepada pihak gereja merupakan tindakan gelojoh yang melulu.

5.Di waktu yang sama, ahli parlimen shah alam seakan-akan cuba menjadi lidah penyambung hayat kepada pihak yang dikaitkan. Kata khalid samad ' berada di dalam gereja tidak bermakna orang itu murtad'. Selang sehari kenyataan ini dikeluarkan, sudah bertebaran di dada media dan blog akan tentatif program yang 'tersirat'.

6. Jelaslah sepanjang 3 tahun mereka diberi peluang untuk memerintah, yang mampu ditonjolkan oleh mereka tiada lain usaha menggadai hak selagi ada. Perkiraan undi mengatasi segalanya.

7. Batas politik, batas agama dan norma budaya bangsa menjadi santapan kehancuran politik rakus yang menggila. Politik baru . Ubah. Negara Islam ditukar menjadi Negara Kebajikan. Retorik dan pengkayaan sloganisme ini adalah ucapan penuh hipokrit.

8. Prestasi politik mereka hancur. Harapan yang dilontarkan kepada rakyat adalah skrip pembohongan yang diulang-ulang. 3 tahun ini tiada apa yang boleh dibanggakan. 

9. Perjuangan parti pas akhirnya tergadai di kaki DAP. Penasihat Ekonomi Selangor tiada berkesudahan kontroversi diri. 6 tahun dalam penjara masih tidak cukup untuk memberikan dia keinsafan. Persoalan moral dan akhlak ditolak ketepi, asalkan hobi luar biasa dipenuhi hajatya berkali-kali.

10. Kontroversi isu gereja,JAIS dan pakatan merupakan klimaks politik baru yang gagal. Politik baru mereka adalah Kegagalan Mutlak. Gagal dalam mempertahankan hak bangsa,agama dan negara.

11. Kepada seluruh ahli dan penyokong pakatan, tinggalkanlah perjuangan ini buat selamanya. 

Tuesday, August 9, 2011

AKTA KEBANKRAPAN 1967 WAJIB DIKAJI SEMULA.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1. Semalam saya telah mengeluarkan kenyataan memohon agar Akta Kebankrapan 1967 di kaji semula.

2. Laporan penuh mengenai cadangan penambahbaikan yang telah saya utarakan boleh dibaca di sini. KLIK SINI

LAPORAN UTUSAN MENGENAI PROGRAM WAKAF AL-QURAN KE KEMBOJA.



KUALA LUMPUR 8 Ogos – Pemuda UMNO dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) melancarkan Program Wakaf al-Quran dalam usaha menghantar 10,000 naskah al-Quran ke Kemboja.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, program itu adalah bagi mengumpul dana RM400,000 bagi menampung kos pencetakan dan penghantaran kitab suci itu.

"Al-Quran dicetak dengan kerjasama Yayasan Restu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Pejabat Perdasama, di sini, hari ini.

Sohaimi berkata, Al-Quran akan dihantar ke negara itu pada Oktober ini dan dapat membantu kira-kira 500,000 orang Islam Melayu Champa di Kemboja yang menghadapi masalah kekurangan naskah al-Quran kerana kitab suci itu tiada dijual di pasaran tempatan.

Katanya, program itu merupakan kesinambungan penghantaran 10,000 naskah al-Quran, 200 naskah muqaddam dan 1,000 helai sejadah ke Kemboja oleh rombongan Kementerian Pertahanan dan Yayasan Restu, yang diketuai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 27 Julai lepas. – Bernama