SEGALANYA ada di Shah Alam melainkan panggung wayang. Tetapi sayangnya tradisi itu tidak kekal lama. Dikatakan tidak lama lagi akan terdirilah sebuah panggung wayang di ibu negeri Selangor itu.
Ia lengkap dengan kapasiti tujuh buah panggung meliputi 1,300 tempat duduk serta cadangan tambahan sebuah panggung wayang tiga dimensi (3D). Panggung itu nanti bakal terletak dalam sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jelutong, Shah Alam – kawasan sama didirikan masjid kedua terbesar selepas Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dijadualkan pembinaan masjid siap tahun depan.
Panggung wayang sebenarnya isu sensitif di Shah Alam. Suatu ketika sekitar tahun 2005, Datuk Bandar Shah Alam ketika itu, Ramli Mahmud menolak permohonan sebuah syarikat yang mahu membina panggung wayang di Plaza Alam Sentral berhampiran Kompleks PKNS.
Ia sejajar dengan dasar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang tidak membenarkan kewujudan pusat-pusat hiburan di Shah Alam untuk memastikan tidak ada gejala maksiat di bandar raya itu.
Kini segalanya berubah. MBSA berubah. Dan sejak Selangor diambil alih pakatan pembangkang pada Mac 2008, negeri itu juga telah berubah.
“Maksiat berleluasa sehingga Selangor ‘dianugerahkan’ juara buang anak. Selangor antara tertinggi kes pembuangan anak secara haram.
“Di mana fungsi OCC (pusat sehenti krisis) yang ditubuhkan oleh anggota exconya Rodziah Ismail dan skuad Masih Ada Yang Sayang serta kempen anti zina. Sikap hanya tahu cakap daripada buat menyebabkan banyak kempen atau dasar menjadi ‘tukun’,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan kepada Utusan Malaysia semalam.
Sohaimi yang juga Exco Pemuda Pusat dan AJK Pemuda UMNO Selangor melihat kepimpinan kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang semakin hari semakin bermasalah. Belum pun sampai sepenggal menguasai negeri, pelbagai masalah timbul yang memerlukan jalan penyelesaian segera.
“Kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih layak digelar sebagai kerajaan negeri yang cakap tak serupa bikin. Isu kerajaan negeri yang ingin memusnahkan hasil tanaman orang awam dan juga penempatan di tanah kerajaan di Hulu Selangor sebelum ini adalah bukti jelas kerajaan negeri membelakangi rakyat.
“Walaupun tanah berkenaan milik kerajaan negeri, namun pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), rakyat bebas untuk meneroka serta menikmati hasilnya.
“Tetapi di era pentadbiran kerajaan pakatan, hasil titik peluh rakyat itu ingin dirampas. Namun syukurlah, setelah didesak ia membatalkan hasrat berkenaan,” kata beliau.
Reda sahaja isu berkenaan, timbul pula isu baru mengenai nasib kontraktor Alam Flora yang diberhentikan kontrak oleh kerajaan Selangor atas sebab-sebab tertentu. Maka, beraraklah puluhan kontraktor berkenaan ke pejabat Menteri Besar untuk menuntut keadilan.
Bukan saja kontrak ditamatkan, bahkan bayaran pun tidak diberikan kepada kontraktor yang sudah melaksanakan kerja masing-masing.
Sohaimi turut menggariskan beberapa ‘lompang’ dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangoor, antaranya:
*Mengeluarkan peruntukan hampir RM90 juta sebagai perbelanjaan perintis pilihan raya majlis tempatan untuk memilih ketua kampung. Sedangkan sepatutnya peruntukan itu digunakan oleh rakyat untuk tujuan yang lebih bermanfaat. Wang itu juga sepatutnya digunakan untuk menunaikan semua janji pilihan raya yang masih belum terlaksana.
*Meluluskan RM600,000 dari Akaun Amanah Penswastaan hanya untuk kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sungguh malang apabila kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk kepentingan politik mereka. Wang itu juga sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan negeri.
RUJUKAN DI AKHBAR UTUSAN. KLIK SINI