Tuesday, May 3, 2011

PROGRAM ACYEAF DI JAKARTA. (SIARAN AKHBAR)


 Seramai 38 orang usahawan muda telah menyertai program  3rd ASEAN-China Young Entrepreneurs Association Forum(ACYEAF) di Jakarta Convention Center. 

Forum berbentuk keusahawanan yang dianjurkan oleh Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) telah berlangsung selama 4 hari 3 malam ini telah disertai oleh kira-kira 500 orang delegasi dari ASEAN-China Young Entrepreneurs Association dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia,  Bapak Ir M. Hatta Rajasa. 
 Delegasi Malaysia telah diketuai oleh Ybhg. Dato’ Sohaimi bin Shahadan selaku Pengerusi Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan (BePU) Pemuda UMNO Malaysia. Selain ahli BePU, turut serta mewakili negara dalam forum ini adalah ahli-ahli Gabungan Muda Berjaya (GMB), 1Malaysia Young Entrepreneurs, Dewan Perniagaan Melayu Selangor, Perdasama Muda Malaysia serta Persatuan Usahawan Melayu Bandar Tun Razak. 

Pengerusi BePU, Dato’ Sohaimi Shahadan sewaktu ditemui baru-baru ini berkata, ”3rd ASEAN-China Young Entrepreneurs Association Forum ini merupakan satu platform terbaik kepada para usahawan untuk memperluaskan rangkaian perniagaan mereka melalui perkongsian kepakaran dan hubungan kerjasama dua hala dimana para peserta terdiri daripada satu populasi yang besar iaitu daripada Negara China dan ASEAN”.
 Sewaktu Forum berlangsung, Sohaimi yang juga merupakan salah seorang ahli panel telah menyarankan agar para usahawan di Negara ini lebih agresif dan bijak mengintai peluang-peluang untuk melebarkan sayap perniagaan masing-masing dan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi atau projek-projek kerajaan semata-mata.

Sohaimi turut mencadangkan kepada ASEAN agar menyediakan dana khusus bagi program-program keusahawanan dan memfokuskan program-program berbentuk integrasi / knowledge base kepada para usahawan-usahawan  muda. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa perniagaan secara francais perlu diketengahkan kerana risiko kegagalan amat tipis. 

“Forum ini berjaya menghimpunkan usahawan-usahawan dari seluruh pelusuk China dan Asean yang dapat berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing. Banyak perkara-perkara baru atau peluang perniagaan dapat dicipta oleh para peserta forum ini. 

Selain itu, produk-produk tempatan dapat dipromosikan kepada para delegasi bagi mengetahui reaksi atau penerimaan daripada pasaran antarabangsa.

Di sini,para peserta berpeluang menjalin hubungan kerjasama dan mengukuhkan rangkaian perniagaan masing-masing selain mencipta peluang perniagaan baru”.

“Selain itu, sebagai seorang usahawan, kita seharusnya peka terhadap arus pembangunan teknologi yang terbukti dapat memudahkan urusan perniagaan kita. Melalui teknologi ICT dan rangkaian sosial seperti facebook dan twitter, segala urusan perniagaan dapat dilaksanakan dengan pantas. secara atas talian”, tambah Sohaimi lagi.

“Malaysia turut menawarkan diri sebagai penganjur program bagi 4th ASEAN-China Young Entrepreneurs Association Forum pada tahun 2012”, tambah Sohaimi mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment