SIARAN
AKHBAR
MB USAH MAIN
WAYANG: GPRS
Konflik isu air antara Kerajaan Negeri
Selangor dengan syarikat pengendali konsesi air, Syabas tidak akan memberikan
keuntungan kepada mana-mana pihak, tetapi hanya akan memberi kesan kepada
rakyat.
Kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim tidak perlu mempolitikkan perkara ini kerana masalah berlaku adalah
kesilapan dan kelemahannya tetapi bijak mengalih pandangan rakyat kononnya
Syabas yang bersalah, bukan kerajaan negeri.
Inilah permainan kotor kerajaan negeri. Isu
sebenar ialah kekurangan bekalan air terawat akibat permintaan yang meningkat,
bukan kerana kekeringan air sungai, air lombong atau air empangan. Memang tidak
logik jika berlaku krisis air kalau empangan banyak air atau pada musim hujan
sekarang ini.
Rakyat perlu faham bahawa pengeluaran air di
loji rawatan yang ada tidak cukup untuk menampung penggunaan yang semakin
meningkat kerana loji sedia ada hanya mampu merawat air dalam kapasiti tertentu
walaupun beroperasi pada tahap maksimum, 24 jam sehari tanpa henti. Kerana itu
ada kawasan yang terpaksa menerima catuan kerana bekalan air bersih dari loji
rawatan tidak mencukupi.
Untuk menyelesaikan masalah ini, sebuah loji
baru perlu dibina untuk meningkatkan pengeluaran air terawat. Ini bukan satu
gurauan, jika air empangan sedia ada disalurkan kepada pengguna seperti mana
saranan MB, tidak sampai 7 hari air empangan itu akan kering kontang.
Kita kesal kerana mempunyai Menteri Besar dan
barisan exco yang dangkal pemikiran, yang cetek ilmunya tetapi mahu menjuarai
isu air semata-mata survival politik dan mahu terus menipu rakyat. Kerajaan
negeri gagal dalam menjalankan tanggungjawab tetapi mahu menjadikan Syabas
sebagai kambing hitam.
Menteri Besar tidak perlu bersandiwara. Loji
adalah di bawah tanggungjawan kerajaan negeri malah ada syarikat loji rawatan
milik kerajaan negeri. Untuk pastikan
bekalan cukup juga adalah tanggungjawab kerajaan negeri. Syabas hanya
mengagihkan air yang dirawat oleh loji rawatan. Siapa yang perlu dipersalahkan
jika air tidak cukup: kerajaan negeri atau Syabas? Ini hanya taktik lapok mereka
supaya rakyat terus menyalahkan Syabas.
Meminjam analogi Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menggunakan padi dan beras sebagai
contoh: rakyat mahukan beras, bukannya padi. Air empangan ibarat padi manakala
air terawat ibarat beras. Kecuali Menteri Besar dan barisan exco mahu makan
padi, mereka boleh guna air dari lombong atau air empangan sedia ada. Bagaimana
mana mahu mendapatkan beras jika kilang memproses padi tidak mencukupi? Itulah
senario yang pelru difahami sekarang.
Kita hairan kenapa Exco Ronnie Liu hanya
menunjukkan air empangan yang penuh, kenapa tidak minum sahaja air empangan
itu? Ini kerana mereka hanya berpolitik dan bersandiwara untuk menipu rakyat
kerana mereka juga tahu air tersebut perlu dirawat terlebih dahulu sebelum
diminum. Air mentah yang belum dirawat mempunya risiko bakteria dan sebagainya.
Tambah pelik apabila Menteri Besar mahu
mengambil alih pengurusan Syabas dan mengumumkan pelantikan kumpulan professional yang tiada
pengalaman untuk meneliti operasi harian Syabas sedangkan hakikatnya mereka
mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat itu dan Syabas sendiri diaudit oleh
Audit Negara. Jadi apa relevan tindakan Menteri Besar ini?
Kerajaan negeri turut menuduh Datuk Seri Noh
Omar mempunyai kepentingan dalam syarikat yang akan membina Loji Langat 2.
Tuduhan ini sangat lucu kerana tender masih belum dibuka, bagaimana kerajaan
negeri tahu Datuk Seri Noh ada kepentingan dalam syarikat yang membina loji.
Buktikan tuduhan itu, jangan bersandiwara untuk menipu rakyat.
Kalau Menteri Besar telus, kita cabar beliau
buka tender membina Loji Langat 2. Jangan bersandiwara lagi. Kita yakin jika
Loji Langat 2 siap dibina kelak, harga
air tidak akan naik malah akan menjadi lebih murah kerana bekalan sudah banyak
dan lebih daripada mencukupi.
Belum buat loji macam mana Menteri Besar tahu
harga air akan naik? Buat dahulu baru
tahu. Kerajaan negeri hanya sedia tanah kerana kos pembinaan loji akan dikeluarkan
oleh Kerajaan Pusat. Malah selepas siap, loji tersebut akan menjadi milik
kerajaan negeri seperti mana loji-loji yang lain.
Kita nasihatkan Menteri Besar dan barisan
exco, cukup-cukuplah menipu rakyat. Kalau tidak mampu menjalankan
tanggungjawab, Menteri Besar dan exco boleh letak jawatan. Jangan nak berlagak
pandai tapi tidak ubah seperti ‘ayam berkokok ekor bergelumang tahi’.
Kita cabar Menteri Besar dan Exco agar tidak
lagi menggunakan air terawat, sebaliknya menggunakan air mentah yang disalurkan
terus dari lombong atau Sungai Klang. Barulah cakap serupa bikin! Justeru
rakyat jangan terus tertipu dengan permainan sandiwara pemimpin kerajaan
pakatan pembangkang ini.
DATUK SOHAIMI SHAHADAN
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS)
Air sunyai kelang tu saya rasa MB bukan kata nak but minum, nak buat mandi pun dia tak mahu..
ReplyDelete