Thursday, July 19, 2012

URUS SAMPAH TAK PANDAI, INIKAN PULAK URUS AIR.



Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan membidas kerajaan negeri Selangor kerana lebih sibuk mahu mencampuri hal pengurusan Syabas, daripada menumpukan usaha untuk menunaikan janji-janji pilihanraya mereka serta menambah baik sistem pentadbiran negeri Selangor yang kini dilihat semakin kucar kacir dan bercelaru.


Menurut beliau, tindakan pengambilalihan serta campur tangan kerajaan negeri dalam isu Syabas ini adalah semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada tertumpu kepada kegagalan kerajaan negeri,  dalam melaksanakan segala janji-janji dan manifesto mereka pada PRU yang lepas kepada rakyat di negeri ini.

“Kenapa kerajaan negeri Selangor sibuk-sibuk mahu ambil tahu tentang hal-hal pengurusan air, sedangkan mereka bukannya pakar dalam hal tersebut? Biarlah pakar yang uruskan hal itu. Masalah kutipan sampah pun masih tak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri,  sekarang ada hati pula nak uruskan hal air yang menjadi perkara penting dalam kehidupan rakyat.

“Kalau sampah pun tak mampu nak kutip, bagaimana nak uruskan hal air yang sudah tentu perlukan kepakaran yang lebih besar dari hal-hal kutipan sampah. Tindakan kerajaan negeri ini kelak bakal mengundang masalah bagi rakyat Selangor. Silap-silap haribulan,  isu air di Selangor akan menjadi lebih kritikal seperti mana yang  berlaku Kelantan hari ini,” tegas beliau di sini hari ini.

Sepatutnya  menurut beliau, kerajaan negeri perlu menumpukan perhatian terhadap isu-isu rakyat yang sehingga kini masih banyak lagi isu-isu  permasalahan rakyat yang masih belum selesai.

“Selesaikan dulu permasalahan rakyat dan tak payah sibuk-sibuk mahu ambil alih Syabas dan biarkanlah mereka saja yang menguruskan hal air ini kerana Syabas merupakan syarikat yang pakar dalam hal-hal pengurusan air,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, lihat saja isu penyelewengan yang berlaku dalam isu Talam Corporation apabila kerajaan negeri mula campur tangan dengan alasan kononnya untuk membantu syarikat tersebut.

“Kita sebagai rakyat di negeri ini, tidak mahu isu air yang menjadi punca utama kehidupan manusia dipolitikkan oleh kerajaan negeri sehingga memberi kesan terhadap kehidupan dan kesihatan rakyat. Kita di Selangor tidak mahu menjadi seperti rakyat di Kelantan yang menderita dan kesusahan apabila krisis air yang berpanjangan itu masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan seolah-olah tiada kesudahannya.

“Kami  nasihatkan Tan Sri Khalid sebagai ketua kerajaan, agar tidak sibuk-sibuk dengan hal Syabas, sebaliknya tumpukanlah perhatian bagaimana untuk melaksanakan janji-janji mereka yang sehingga kini masih banyak yang tidak dapat ditunaikan lagi,” akhiri beliau.

1 comment:

  1. Kerajaan negeri ada 30% saham dlm Syabas. Jika khalid kata Syabas gagal, bermakna kerajaan negeri juga gagal.

    ReplyDelete