Thursday, July 26, 2012

MERAIKAN PENIAGA GOLONGAN OKU.



Peniaga di kalangan golongan orang kelainan upaya (OKU) digesa membabitkan diri secara aktif di dalam persatuan supaya pelbagai aktiviti dapat dirancang untuk mereka selain meningkatkan sumber pendapatan menerusi peluang yang terhasil.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ia secara tidak langsung dapat menghindarkan mereka daripada terus berasa rendah diri dengan kekurangan yang dimiliki sebaliknya memberi tumpuan kepada kegiatan diusahakan demi mengubah taraf kehidupan masing-masing.

“Pada masa ini rekod menunjukkan golongan OKU masih kurang menyertai apa juga persatuan terutama yang khusus kepada mereka menyebabkan sering terpinggir daripada arus semasa. Peluasan skop kemahiran kendiri perlu dilakukan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan perniagaan yang bermanfaat kepada mereka serta keluarga.

“Kita lihat, mereka masih lagi bersikap rendah diri sedangkan mempunyai kelebihan deria istimewa berbanding manusia normal. Jika ia digilap, pasti akan membuahkan hasil yang lebih baik seperti penubuhan koperasi OKU dan sebagainya,” katanya pada majlis Nur Ramadan bersama Persatuan Peniaga-Peniaga Cacat Selangor yang turut dihadiri penaungnya, Abdul Malik Abdullah serta 50 peniaga OKU sekitar Selangor, di sini, malam tadi.

Beliau yakin kumpulan ini mampu melakukan lebih baik daripada apa yang ada sekarang kerana ramai yang sudah berjaya. Cuma jika digilap sedikit dan diketahui masalah mereka secara lebih tepat, mungkin ia dapat diselesaikan.

“Kita akan membantu memberikan motivasi serta bertukar-tukar pandangan dengan peniaga terbabit sebagai usaha membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan hidup serta meneroka dimensi baru perniagaan.

Saya sarankan kerajaan memberi insentif kepada mereka untuk membantu bersaing secara sihat. Jadi kita mahu mereka buktikan yang mereka tidak pernah mengalah walaupun serba kekurangan,” katanya.





SUMBER BLOGER SAHABAT GUNUNG.

No comments:

Post a Comment