AGENDA DAILY -Apa lagi pembangkang nak kelentong peneroka selepas ini tak tahulah kerana selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), perasmian Menara Felda berhampiran KLCC, ibarat melenyapkan segala pembohongan serta fitnah pembangkang terhadap Felda selama ini.
Bukan saja harga saham itu melonjak dengan premium 89 sen daripada harga asal pada Jumaat, Menara Felda setinggi 50 tingkat di kawasan perniagaan Segi Tiga Emas di ibu negara itu juga sudah catat keuntungan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan bangunan beharga RM700 juta itu Sabtu malam berkata, nilai semasa Menara Felda yang menjadi kebanggaan peneroka itu telah meningkat kepada RM965 juta.
"Belum masuk lagi sudah untung RM265 juta, bukankah ini satu keputusan yang menguntungkan...iaitu mencatat keuntungan 38 peratus," katanya.
"Sesiapa yang cuba menipu dan mengkhianati kita, nampaknya niat mereka tidak kesampaian. Kita telah membuktikan segala tuduhan bersifat palsu dan fitnah belaka," katanya berucap pada sambutan Hari Peneroka 2012.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi meraikan kira-kira 20,000 warga Felda termasuk 12,000 peneroka dari seluruh negara.
Najib berkata dua penipuan terbesar golongan yang disifatkan sebagai 'makhluk perosak' ialah Felda sudah bankrap dan tanah peneroka akan tergadai dengan penyenaraian FGVH.
"Mana ada syarikat bankrap boleh disenaraikan. Sekarang ini sudah senyap, tandanya orang tak terima (dakwaan itu), tak masuk akal. Hakikatnya tanah peneroka tak tergadai. Ini adalah penipuan paling besar dan mereka (pembangkang) sebenarnya mati akal," katanya.
Katanya, jika saham Facebook merudum, saham FGVH yang kedua terbesar selepas Facebook terus melambung naik.
Beliau berkata penyenaraian FGVH dan pembinaan Menara Felda yang siap dua tahun lebih awal membuktikan badan itu sudah berjaya melakukan transformasi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Najib berkata kejayaan itu disumbang peneroka yang tidak mudah tertipu dengan dakyah pembangkang untuk menggagalkan usaha memajukan Felda.
Sementara itu, Najib membayangkan kemungkinan memberi imbuhan tambahan kepada peneroka pada masa hadapan.
"Kita masih ada dana. Kita tak belanja semua dan kita masih banyak perancangan untuk jana kekayaan. Kita bela peneroka Felda. Kalau tuan puan (peneroka) baik, kita bagi lagi,”.
"Felda sudah berjaya. Kita nak beri mesej kepada makhluk perosak, kepada rakyat dan dunia bahawa Felda sudah berjaya dan boleh terus dapat manfaat daripada perjuangan, idea dan perancangan yang jitu," katanya.
Menurut Najib, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menjana lebih banyak kekayaan buat Felda dan membela nasib rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pembayaran kedua RM5,000 kepada isteri peneroka akan dibuat selewat-lewatnya bulan Ramadan ini, diikuti dengan baki bayaran kepada anak-anak mereka.-7/7/2012- OLEH ROSLAN BIAN
No comments:
Post a Comment