SELEPAS Pulau Pinang, masjid-masjid di Selangor pula menjadi 'mangsanya'. Kecoh Jumaat lepas apabila dikatakan seluruh masjid di Selangor telah diarahkan untuk membaca teks khutbah bertajuk 'Jenayah Qazaf adalah berdosa besar'.
Dalam hal ini, pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) harus menyiasat siapakah yang telah membuat khutbah tentang isu qazaf seperti mana yang didakwa. Sewajarnya satu tindakan menyeluruh perlu dilakukan.
Ini demi mengelakkan khutbah Jumaat menjadi medan membela individu yang sedang dituduh kesalahan liwat dan telah terjebak dalam skandal video seks.
Walaupun khutbah tersebut ditulis dan diolah secara umum tetapi jika dibaca, sudah tentu semua faham maksud khutbah adalah untuk membersihkan nama orang yang terlibat dengan skandal video seks - iaitu orang kuat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan yang turut menyedari 'keanehan' kandungan khutbah berkenaan memberitahu Utusan Malaysia, khutbah itu turut mengecam tindakan pihak yang menyebarkan fitnah tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh.
Kandungan khutbah, kata beliau, menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.
"Pergerakan Pemuda UMNO sangat tidak senang hati dengan tindakan menjadikan mimbar sebagai medan menyebarkan propaganda kerana boleh menimbulkan salah faham di kalangan mereka yang bersembahyang di masjid.
"Wajarkah hanya kerana hendak memperjuangkan nasib seorang individu, khutbah Jumaat dijadikan alat? Pada zaman sains dan teknologi hari ini, video boleh dijadikan sebagai bahan bukti. Tidak timbul isu mahu mengaibkan individu tetapi rakyat perlu menilai moral individu yang dikaitkan dalam video seks tersebut," kata Sohaimi yang juga Exco Pemuda UMNO Pusat.
Menurut beliau, antara isi khutbah yang berkaitan yang sempat dipetiknya ialah: "Termasuk dalam kategori ini, mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka, dalam pelbagai bentuk dengan maksud menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah qazaf. Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa dan boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikannya mengikut ketetapan syarak."
"Fitnah boleh menjatuhkan maruah si tertuduh apabila disiar oleh media massa, media cetak mahupun media elektronik termasuk telefon bimbit. Lebih memburukkan keadaan, apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki terhadap orang yang dituduh.
"Orang yang memfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan akidah umat Islam sehingga hari kiamat."
"Adakalanya fitnah itu diulas, diperbesar dengan memetik kenyataan oleh pihak-pihak tertentu ke arah menggambarkan bahawa si tertuduh memang bersalah. Inilah budaya buruk sangka dan hasad dengki oleh mereka yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam.
Setiap individu yang bersama melakukan perbuatan terkutuk ini, atau mempercayai atau sama-sama menyebarkan akan menerima pembalasan dari Allah SWT."
"Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf, serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak.
"Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredai dan patuh kepada hukum syarak."
Tegas Sohaimi, apa pun yang jelas, kejadian semasa khutbah Jumaat itu telah secara terbuka melanggar titah perintah Sultan Selangor yang telah melarang sebarang bentuk ceramah politik di dalam masjid seperti mana yang dititahkan baginda sewaktu pilihan raya kecil di Hulu Selangor pada April 2010.
Sohaimi menarik perhatian mengenai kerisauan Pemuda UMNO akan 'penyakit' mempergunakan agama Islam sebagai alat politik yang semakin merebak ke negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.
Institusi masjid di Kelantan sememangnya sudah lama dipergunakan oleh Pas untuk melebarkan pengaruhnya sejurus mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada BN. Kini, Pulau Pinang pula sudah nampak menjurus ke arah itu dengan cuba 'mencipta' pilihan raya masjid.
"Ketika mata pada masa ini tertumpu ke Pulau Pinang, sebenarnya Selangor juga tidak terlepas daripada menjadikan masjid sebagai alat politik. Sebaik sahaja kerajaan pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri, institusi masjid kini 'dinodai' pembangkang.
"Jika tiada campur tangan ataupun titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sarifuddin Idris Shah, sudah lama masjid di negeri itu dijadikan pentas untuk menyebarkan pengaruh politik pakatan.
Namun, tindakan Sultan yang tidak mahu institusi masjid dirosakkan demi kepentingan politik wajar dipuji," kata Sohaimi.
Di Selangor ketika ini terdapat kira-kira 301 masjid dan hampir 2,000 buah surau. Masjid-masjid meliputi 24 buah di kawasan Gombak (24), Hulu Langat (38), Hulu Selangor (22), Kelang (31), Kuala Langat (29), Kuala Selangor (24), Petaling Jaya (53), Sabak Bernam (13), Sepang (19), Sungai Besar (27) dan Tanjung Karang dan Kuala Selangor (21).
"Kalau institusi ini terus dicemari dengan politik sempit, apa akan jadi kepada umat Islam. Tiada umat Islam di negara ini menolak Islam sebaliknya tidak mahu kesucian Islam dipersendakan oleh segelintir ahli politik yang bertopengkan Islam tetapi pada masa sama menggunakannya demi kepentingan perjuangan politik sempit," kata Sohaimi.
Masjid harus menjadi tempat untuk mengembangkan ajaran Islam. Bukannya menjadi medan untuk membela seseorang individu ataupun pihak tertentu.
No comments:
Post a Comment