Wednesday, April 6, 2011

NGO DESAK PENUBUHAN SURUHANJAYA.

 KUALA LUMPUR 5 April – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta kerajaan menyegerakan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang agar ia tidak menjadi polemik politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd. Zaidi Aziz berkata, kes itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menimbulkan tanggapan negatif golongan muda terhadap politik tanah air.

“Ia boleh menyebabkan generasi muda tidak berminat kepada politik. Maka, suruhanjaya diraja itu berperanan menyiasat bagi membongkar kebenaran dalam isu itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, keanggotaan suruhanjaya hendaklah dipersetujui pihak yang terlibat bagi mengelakkan ia terus dipolitikkan.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, penubuhan suruhanjaya itu hendaklah disegerakan supaya dapat memberi keadilan kepada pihak yang dituduh dan menuduh.

“Pihak yang dituduh tidak perlu takut menerima cadangan penubuhan suruhanjaya itu bagi membuktikan dirinya tidak terlibat. Siasatan secara terperinci dapat dilakukan melalui penubuhan suruhanjaya yang bebas agar rakyat dapat mengetahui perkara sebenar,” jelasnya.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri pula berkata, isu rakaman video aksi seks tersebut hendaklah dihentikan segera dengan penubuhan suruhanjaya itu agar rakyat tidak terus keliru mengenainya.

“Rakaman video itu memberi pandangan yang tidak baik kepada generasi muda. Penubuhan suruhanjaya diraja sesuai kerana ia membabitkan orang penting yang mempunyai pengaruh dalam negara. 

“Suruhanjaya itu yang diberi kuasa khas menyiasat dapat memfokuskan dalam pelbagai aspek meliputi ketulenan, individu yang terlibat serta dakwaan-dakwaan lain,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment