Tuesday, March 1, 2011

PAKATAN SELANGOR HAPUSKAN KUOTA 30%.

Assalamualaikum wb. dan Salam 1Malaysia.

1. Saya amat terkejut dengan laporan berita TV3 semalam yang mendedahkan hasrat kerajaan pakatan pembangkang Selangor mahu menghapuskan kuota 30 peratus hak Bumiputera bagi pemilikan rumah di negeri itu.

2. Pemuda UMNO menentang sekeras-kerasnya cadangan itu dan ia adalah satu penghinaan kepada Bumiputera apabila haknya cuba dinafikan oleh kerajaan negeri demi meraih sokongan politik.

3. Bagi saya apa yang dilakukan kerajaan Selangor membuktikan bahawa mereka kini dalam keadaan terdesak dalam usaha meraih kembali sokongan rakyat yang kian terhakis ekoran terdedahnya beberapa penyelewengan dilakukan kerajaan negeri pakatan pembangkang itu.

4. Justeru bagi memastikan pakatan terbabit terus berkuasa memandangkan ura-ura pilihan raya umum dikatakan semakin hampir, maka kerajaan Selangor sanggup menggadai hak Bumiputera untuk memastikan sokongan masyarakat Cina dan India terus memihak kepada mereka.

5. Jika ini benar berlaku, saya tidak tahu formula apa yang diguna pakai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung perkara ini keranaBumiputera masih belum menguasai 30 peratus agihan kekayaan ekonomi negara, nampaknya kerajaan Selangor mahu membiarkan Bumiputera terus ketinggalan.

6. Sedangkan kerajaan pusat sedang giat berusaha untuk memudahkan urusan pemilikan rumah kepada Bumiputera bagi memastikan mereka dapat memiliki kediaman sendiri yang mampu menjadi aset bagi mereka kurang berkemampuan.

7. Jika kita perhatikan Bumiputera hari ini masih ketinggalan dalam hal pemilikan rumah terutamanya di kawasan strategik ataupun di bandar-bandar utama.

8. Hari ini masih ramai Bumiputera yang berpendapatan sekitar RM3,000 dan golongan muda sudah berkahwin masih gagal untuk memiliki kediaman sendiri kerana tidak berkemampun disebabkan harga kediaman sentiasa meningkat.

9. Saya fikir jika perkara ini benar berlaku, hak Bumiputera digadaikan dan  Menteri Besar Selangor saya kira perlu melepaskan jawatan yang disandangnya kini kerana ternyata beliau tidak mampu mentadbir.

10. Sejak akhir-akhir ini kerajaan negeri Selangor sentiasa mengalami kegagalan, antaranya usaha untuk meminda undang-undang tubuh Selangor gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan usaha untuk menyingkir ADUN Pelabuhan Klang juga turut tidak membuahkan hasil.

11. Kelemahan ini sebenarnya dinilai rakyat, jadi untuk menutup kesilapan itu dan untuk memastikan sokongan terus memihak kepada mereka, maka cadangan untuk menghapuskan hak Bumiputera ini dibangkitkan.

1 comment:

  1. Ini peluang bagus untuk PAS menunjukan bahawa mereka membela nasib orang Melayu, bukan setakat menjadi barua tunggangang DAP.

    ReplyDelete