Monday, March 14, 2011

TSUNAMI JEPUN : SELAMATKAN SEGERA RAKYAT MALAYSIA.

 Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia.

1.Di bawah ini adalah petikan kenyataan saya yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia mengenai malapetakan yang melanda Jepun. Saya menyeru agar tindakan segera diambil untuk menyelamatkan rakyat kita yang berada di sana.

2. Keadaan gempar bumi susulan berlaku lagi hari ini.

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan bertindak segera bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang berada di Jepun daripada ancaman letupan loji tenaga nuklear Fukushima.

Exco Pemudanya, Datuk Shohaimi Shahadan berkata, tindakan lebih proaktif perlu kerana kesan penyebaran radioaktif mampu membawa maut serta mengakibatkan pelbagai kesan sampingan berpanjangan.

Selain itu, beliau juga menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) dan korporat bersama-sama kerajaan dengan menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing bagi membantu rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana berkenaan.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, Shohaimi juga menggesa agar penuntut yang kehilangan tempat belajar diberi peluang menyambung pengajian di dalam negara atau luar negara melalui insentif khas.

"Sementara itu, rakyat Malaysia yang kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan juga perlu diberikan bantuan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan," katanya.

Akibat kesan gempa bumi Jumaat lalu, satu letupan berlaku di loji tenaga nuklear Fukushima mengakibatkan empat pekerjanya cedera dan bumbung sebuah bangunan yang menempatkan reaktor di loji tersebut dipercayai runtuh.

Berikutan itu, bahan radioaktif caesium yang biasanya menandakan kecairan reaktor telah dikesan di kawasan sekitar loji tersebut di Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo. 

Sepasukan juruteknik kini berusaha melepaskan tekanan suhu dari reaktor di loji itu untuk mengelakkan kecairan reaktor.

Kerajaan Jepun sebelum itu, memberi amaran mengenai kebocoran bahan radioaktif di reaktor nuklear yang rosak apabila gempa bumi kuat dan tsunami melanda kawasan pantai di timur laut negara tersebut, tetapi menyifatkan risiko pencemaran radiasi sebagai kecil.

No comments:

Post a Comment