Tuesday, March 8, 2011

PILIHANRAYA DAN PENOLAKAN RAKYAT TERHADAP PAKATAN.

Assalamualaikum wb dan Salam 1Malaysia 
 
1. Pertama sekali marilah sama-sama kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan iziNya maka Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan sekaligus mempertahankan kerusi DUN Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang.
 
2. Juga sekalung tahniah kepada pucuk kepemimpinan parti Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh jentera BN mahupun pihak media, baik media cetak, elektronik dan media baru kerana gerak kerja cemerlang bagi memastikan kemenangan BN.
 
3. Kemenangan ini semestinya memberi tekanan kepada pihak pembangkang apabila mereka sering kalah dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini. Ia juga bukti kepada keupayaan BN mengekalkan momentum kemenangan sebelum ini sekaligus sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.
 
4. Ternyata slogan "1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" diterima rakyat dan gerak kerja BN yang lebih menumpukan kepada usaha membela rakyat mendapat sambutan baik daripada rakyat.
 
5. Apa yang pasti, pihak pembangkang kini ketandusan isu dan idea untuk dijaja kepada rakyat, kemenangan BN di Kerdau dan Merlimau juga membuktikan bahawa segala isu yang didendangkan mereka dan segala pertuduhan jahat terhadap kerajaan ditolak pengundi.
 
6. Menyedari keadaan semakin kritikal, apatah lagi spekulasi mengenai pilihan raya semakin hampir, pakatan pembangkang terpaksa melancarkan 'Buku Jingga' sebagai 'gula-gula' baru mereka untuk memikat hati pengundi bagi menawan Putrajaya.
 
7. Buku Jingga berkenaan merangkumi janji-janji yang ditawarkan dan kononnya akan dilaksanakan pembangkang dalam tempoh 100 hari sekiranya berjaya membentuk kerajaan. Persoalannya mengapa perlu tunggu menjadi kerajaan pusat dan perlu 100 hari untuk melaksanakan semua itu.
 
8. Rakyat boleh menilai, kerajaan PAS Kelantan mentadbir negeri itu lebih 20 tahun, tapi kadar pengangguran masih lagi tinggi, peluang pekerjaan yang terhad dan masalah bekalan air masih belum dapat diatasi. Begitu juga Kedah, tarif air ingin dinaikkan kerajaan negeri itu.
 
9. Di Pulau Pinang, hampir tiga tahun DAP mentadbir negeri Pulau Mutiara itu kita boleh lihat bagaimana nasib peniaga di sana yang terus ditindas dan pelaburan juga semakin berkurangan.
 
10.Selangor, satu lagi bukti kepincangan pembangkang dalam mentadbir negeri, dalam tempoh tidak sampai tiga tahun pelbagai isu timbul di negeri ini. Isu curi pasir, rasuah, isu arak dan cubaan untuk menghapuskan 30 peratus kuota pemilikan rumah milik Bumiputera membelit kerajaan Selangor.
 
11.Itulah hadiah daripada kerajaan pembangkang di Selangor kepada rakyat selepas mereka dipilih membentuk kerajaan. Tiada buah tangan yang boleh rakyat negeri Selangor banggakan hasil perjuangan mereka. Segala kemudahan dan kejayaan yang dimiliki Selangor hari ini adalah hasil perjuangan BN sebelum ini.
 
12. Justeru tidak perlu menipu rakyat dengan pelbagai janji palsu melalui "Buku Jingga", kerana rakyat tidak akan termakan lagi dengan dakyah pembangkang dan apa yang pastinya PRU ke-13 nanti rakyat Selangor pasti akan menghukum kegagalan kerajaan pakatan pembangkang.

No comments:

Post a Comment